Teruja melihat kediaman milik suri rumah, Norpadilah Afandi buat pertama kali. Dari luaran nampak sama seperti rumah-rumah kampung yang lain, tetapi dalamannya pula sarat dengan hiasan berkonsepkan rumah ladang.
Menggunakan warna putih sebagai asas, kediaman itu tampak sungguh menenangkan dan cozy bagaikan rumah di negara barat.
Lebih menarik, kebanyakan hiasan dan dekorasi di dalam kediaman yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu dihasilkan sendiri oleh Norpadilah.
Kebanyakan perabot seperti meja, almari, kerusi dan sofa dihasilkan secara Do It Yourself (DIY) menggunakan barangan terpakai dan kitar semula sejak lima tahun lalu.
Sofa yang tersergam indah di satu sudut dinding rupanya diperbuat daripada pintu kayu lama terbuang dan hiasan dinding shiplap yang biasanya menggunakan kayu hanya dibuat menggunakan pen sharpie.
Bukan sahaja menjimatkan kos, hiasan itu kelihatan cantik seakan diperbuat daripada kedai.
Minat hiasan rustik
Minat terhadap hiasan rustik atau kelihatan ‘lama’ juga menjadi pendorong kepada dirinya untuk menghasilkan sendiri barangan yang diingini.
Oleh kerana tidak mendapat pendidikan bertukang secara formal, dia banyak belajar berkenaan pertukangan dan penghasilan barangan menerusi Youtube dan Pinterest.
Setelah itu, dia akan menyesuaikan keinginan itu dengan kemampuan dan kemahiran sedia ada untuk memudahkan tugas menghasilkan barang yang diinginkan sekaligus menjimatkan kos.
“Ketika mula menghasilkan perabot, saya akui berdepan fasa berputus asa apabila berdepan kesukaran namun saya kuatkan hati sehingga dapat kuasai kemahiran menukang.
“Alhamdulillah bermula daripada menghasilkan meja kopi ketika sedang menjalani tempoh berpantang, kini pelbagai perabot dan hiasan dalaman berjaya dihasilkan daripada barangan terpakai dan kitar semula,” katanya kepada Seri.
Mengikut keperluan
Kebiasaanya barangan yang dihasilkan Norpadilah, adalah mengikut keperluan dalam kediamannya.
“Sebagai contoh, apabila memerlukan lampu dengan reka bentuk yang diinginkan, saya akan cari barangan bersesuaian yang boleh digunakan.
“Idea untuk menghasilkan sesuatu barangan itu diperoleh apabila menemui ‘sampah’ di tempat pembuangan,” katanya.
Norpadilah juga aktif berkongsikan DIY barangan hiasan rumah di Facebook miliknya.
Malah, hasil seninya itu turut semakin mendapat tempat dalam kalangan warganet yang berminat dengan barangan yang dihasilkan.
Barangan DIY nya kini menjadi salah satu sumber pendapatan sampingan buat dirinya.