Dapur berpusat tangani masalah pemakanan kanak-kanak, remaja - Utusan Malaysia

Dapur berpusat tangani masalah pemakanan kanak-kanak, remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beribu netizen memberikan tanda suka pada perkongsian video This Is How Japanese School Lunches Are Made! oleh pempengaruh lelaki dari Jepun, Paolo from Tokyo.

Dalam video berkenaan Paolo berkongsi mengenai bagaimana penyediaan makanan di dapur berpusat untuk diedarkan kepada 2,700 sekolah sekitar bandar itu.

Dapur berpusat ditanggung kerajaan itu membekalkan menu seimbang dan berkhasiat dirangka pakar pemakanan menerusi penyeliaan kualiti dan kebersihan yang ketat.

Menu berbeza disediakan setiap hari bagi mengelakkan murid dan pelajar daripada berasa bosan dengan menu sama sepanjang minggu.

Proses memasak bermula jam 7.30 pagi. Jam 10.00 pagi makanan siap di pek itu, sedia untuk diedarkan ke sekolah-sekolah.

Pada waktu rehat pelajar dapat makan tanpa perlu terfikir-fikir nak makan apa dan nak beli air warna apa. Tiada Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Semua murid sama rata dapat makanan seimbang dan mengenyangkan. Senang tak banyak kerenah.

Saya yang bergelar ibu pun sangat senang hati. Sebabnya anak dapat makanan yang sama dengan kawan-kawan yang lain. Tidaklah nanti balik rumah mintak duit lebih sebab kawan A makan burger dan kawan B makan chicken chop. Kesihatan makanan pun terjamin sebab standard kantin di setiap sekolah, maaf cakaplah ada macam-macam gaya.

Lebih penting lagi, pemakanan sihat inilah kelak yang menentukan sejauh mana sihatnya generasi akan datang.

Sudah sampai masanya kerajaan memandang serius mengenai aspek pemakanan.

Banyak kajian menunjukkan makanan tidak seimbang menyumbang kepada masalah bantut, tidak cukup zat dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

Antaranya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019, mendapati satu daripada lima kanak-kanak bawah lima tahun mengalami masalah bantut.

Kanak- kanak yang terbantut lebih cenderung untuk jatuh sakit lebih kerap, terlepas peluang dalam pembelajaran sehingga menjejaskan prestasi di sekolah dan mempunyai keyakinan diri yang rendah.

Obesiti pun penyakit juga. Apa yang digeruni apabila ibu bapa obes, anak pun cenderung ke arah itu.

Sedangkan obesiti ini bukan sahaja memberikan kesan terhadap kanak-kanak pada waktu kecilnya, tetapi turut menjejaskan masa hadapan sewaktu mereka sudah dewasa kelak.

Antaranya mendapat penyakit yang pada kebiasaannya hanya berlaku dalam kalangan orang dewasa.

Orang Jepun tahu, bagaimana ekosistem makanan merubah generasinya. Kita bagaimana? Sampai bila negara perlu merangkul takhta juara obesiti di Asia?

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya