KETIKA filem Barbie hangat ditayangkan di pawagam, pasti ramai yang melihat rona merah jambu dikenakan peminatnya di seluruh dunia tanpa mengira usia.
Dek terlalu obses dengan karakter Barbie, Dena Daniels juga mengakui tidak segan bergaya seperti anak patung terkenal dunia itu walaupun ketika usianya sudah mencecah 54 tahun.
Warga emas yang sudah bergelar nenek itu juga langsung tidak merasa segan ketika merealisasikan impiannya bergelar sang Barbie veteran dan enggan mempedulikan pandangan orang lain.
Bersama keyakinan dan percaya diri yang tinggi seperti ditunjukkan dalam karakter lakonan Margot Robbie, Daniels gigih menghias keseluruhan kediamannya persis rumah mainan Barbie.
Daniels mengecat seluruh rumahnya dengan warna merah jambu dan memilih untuk menukar seluruh busana di dalam almarinya kepada seleksi rona mawar dan magenta.
Ibu kepada dua anak yang berasal dari Arkansas, Amerika Syarikat (AS) itu turut digelar Barbie oleh penduduk tempatan.
Malah dia lebih selesa hidup dengan caranya sendiri dan langsung tidak terkesan dengan cakap-cakap orang walaupun ada yang menganggapnya ‘gila’.
“Saya tidak melakukan apa-apa yang membahayakan sesiapa, saya hanya meluahkan seni dan jiwa saya,” ujarnya.
Daniels kini mempunyai lebih 65,700 pengikut dalam talian di akaun media sosialnya.
Lebih 846,900 orang turut memberi tanda suka pada video yang dimuat naik baru-baru ini tentang kehidupan hariannya yang diwarnai dengan semua peralatan rumah berwarna merah jambu.
Ramai yang menonton video berkenaan turut teruja melihat Daniels bersarapan menggunakan teko kopi, pembakar roti dan mengeluarkan makanan dari peti sejuk sebenar yang semuanya kelihatan sama seperti alatan permainan Barbie.
Apabila dia keluar, Daniel memandu kereta VW Beetle yang dicat warna serupa sehingga ke bahagian roda.
Bagaimanapun, Daniels mengakui gembira hidup sendiri di kediamannya tanpa mahu ada kehadiran ‘Ken’ disisinya.
Tidak menghalang cinta untuk hadir ke dalam hidup, wanita itu merasa tidak dapat menjadi diri sendiri dengan kehadiran suami.
Katanya, dia sangat gembira hidup sebagai jelmaan Barbie dan merasa mungkin sukar bagi lelaki sebenar untuk tinggal kediaman merah jambu miliknya. – AGENSI