Azabnya 'bercinta' dengan pengkid - Utusan Malaysia

Azabnya ‘bercinta’ dengan pengkid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap orang memiliki masa silam, baik yang indah mahupun menyakitkan.

Masa lalu ini menjadi kenangan yang sangat berbekas bagi seseorang dan sukar untuk dilupakan.

Minggu ini saya kongsikan kisah Memey (bukan nama sebenar) yang berpengalaman selama tiga tahun bercinta dengan pengkid.

Meskipun masa silam itu sukar dilupakan, dia harus tetap fokus menjalani hidup di masa sekarang dan terus memperbaiki diri untuk masa depan.

Dalam pertemuan dengannya baru-baru ini, Memey mengakui bersyukur kerana Allah masih sayangkan dirinya dan tidak membiarkannya terus hanyut.

Menceritakan detik pertemuan dengan Shah, (bukan nama sebenar) yang berperwatakan seperti lelaki pada awalnya adalah perkenalan biasa sebagai pelanggan.

Tetapi lama kelamaan, Memey menyedari ada kelainan dalam layanan Shah terhadap dirinya.

Ketika itu Shah bekerja di sebuah kedai menjual telefon bimbit di pusat belah belah terkenal ibu negara.

Walaupun agak kekok dengan layanan Shah yang awalnya dianggap sebagai teman di telefon akhirnya berlarutan mengatur temujanji.

Kata Memey, di awal hubungan dia pernah bertanyakan Shah kenapa memilih menjadi pengkid. Dari apa yang diceritakan segalanya berpunca dari keluarga.

Shah dibesarkan dalam kalangan adik beradik yang kesemuanya perempuan. Disebabkan kedua ibu bapanya berkeinginan kepada anak lelaki menyebabkan dia dilayan seperti anak lelaki.

“Awalnya, saya berniat untuk mengubahkan Shah kembali menjadi perempuan. Pelbagai usaha dilakukan, namun apakan daya Shah lebih selesa menjadi pengkid,” cerita Memey.

Awalnya, dia tidak berasa apa-apa dengan hubungan mereka.

Namun lama kelamaan dia dapat merasakan Shah ada menaruh perasaan terhadapnya dan sanggup melakukan apa sahaja untuk meraih perhatian.

Segala-galanya terbongkar apabila pada satu hari, Shah melahirkan rasa cintanya kepada Memey. Malah turut berjanji melakukan apa sahaja demi Memey.

Berkongsi pengalaman sepanjang tiga tahun hidup bersama kekasih `pengkid’ Memey mengakui dirinya dilayan bak puteri. Terasa diri benar-benar dihargai dan disayangi.

Katanya, pada awalnya, dia cuma mahu rapat dengan Shah untuk melepas rasa sepi dan kekosongan jiwa, tetapi lama kelamaan bertukar menjadi sayang.

Memey mula menerima dan menyayangi Shah.

“Saya berjaya menyembunyikan hubungan itu hampir enam bulan, namun tidak lama kemudian dapat dihidu rakan-rakan serumah.

“Berlaku sedikit pergaduhan apabila mereka meminta saya memutuskan hubungan dengan Shah.

“Ketika itu saya tidak berfikir panjang. Kerana sayang dan cinta saya nekad keluar dan berpindah ke rumah sewa Shah,” ceritanya.

Sambung Memey, sejak menyewa bersama Shah, kehidupannya berubah 360 darjah. Mereka bagaikan pasangan suami isteri.

Sepanjang tempoh itu, Shah sedaya upaya menjadi lelaki terbaik buat Memey.

“Shah memang sangat-sangat mengambil berat. Dia melayan saya sangat baik. Dalam masa sama, perasaan cemburunya semakin ketara.

“Ini terutamanya jika ada rakan pengkid atau lelaki lain cuba mendekati saya,” imbasnya.

Bercerita lanjut kata Memey, salah satu faktor yang menjadikan dia lebih rela memilih Shah sebagai kekasih adalah kerana sikap mengambil berat yang ditunjukkan.

Disebabkan Shah juga adalah seorang perempuan, dia lebih faham dan arif tentang apa yang diingini Memey.

Cuma Shah sentiasa memainkan peranannya sebagai seorang lelaki.

Shah juga seolah-olah mengerti Memey yang baru sahaja berpisah dengan teman lelakinya itu suka dimanja dan diberi perhatian.

Kesempatan itu diambil Shah untuk cuba mendekati dan memikat Memey.

“Saya sedar perasaan dan hubungan itu salah di sisi agama. Bagaimanapun saya tidak dapat menepis perasaan kasih dan sayang terhadapnya.

“Saya anggap Shah begitu istimewa. Sikap dan layanannya benar-benar menggembirakan hati saya. Mungkin dia juga perempuan, dia amat memahami perasaan saya.

Kesempatan itu menjadikan hubungan mereka semakin jauh tersasar. Mereka turut melakukan hubungan sejenis, namun tidak ada nikmat apapun dirasakan.

Kata Memey, cemburu yang keterlaluan merupakan antara kelemahan Shah yang membuatkan dirinya kadang kala rimas.

Dia tidak dibenarkan untuk bercakap dengan rakan pengkidnya yang lain apalagi keluar dengan lelaki lain, termasuk rakan sekerja.

Benarlah ajal maut, jodoh pertemuan itu ditentukan Allah.

Pada suatu hari, Memey bertemu dengan Hanif (bukan nama sebenar) lelaki yang berjaya mencuri hati sekali gus membawanya kembali ke pangkal jalan.

“Mungkin Hanif adalah jodoh paling tepat yang dihantar Allah untuk saya. Selepas kecewa dan putus cinta dengan Wafi, saya sudah menutup pintu hati terhadap mana-mana lelaki, tetapi siapalah saya untuk menolak takdir jodoh yang ditetapkan Allah,” ujar Memey.

Kata Memey, bukan sesuatu yang mudah untuk dia meninggalkan Shah. Sepanjang tempoh itu pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi.

“Saya tidak cukup kuat untuk menghadapinya. Namun Hanif banyak membantu saya untuk keluar daripada percintaan songsang itu,” ujarnya.

Pada 31 Ogos ini, genap lima tahun Memey dan Hanif berumahtangga. Pasangan ini dikurniakan sepasang anak berusia tiga tahun.

Memey juga percaya, restu dan doa seorang ibu adalah senjata terpenting dalam menentukan siapa dirinya hari ini.

Katanya, selama ini dia banyak melukakan hati ibu lantaran perbuatan silamnya.

Dia juga bersyukur kerana Allah masih memberinya peluang untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Sebagaimana Firman Allah SWT: Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudiannya mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (An-Nisa: 17)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya