SELAMA lebih dua bulan, Mary (bukan nama sebenar) yang merupakan seorang wanita dari etnik Kuki tidak mempunyai keberanian untuk membuat laporan polis.
Anak gadisnya yang berusia 18 tahun diculik di luar rumah mereka, dirogol secara berkumpulan dan kemudiannya dipukul beramai-ramai.
“Kumpulan penyerang itu mengugut saya untuk membunuh anak saya jika kes itu didedahkan kepada polis,” kata Mary.
Kes itu merupakan antara insiden keganasan seksual menyasarkan golongan wanita etnik Kuki yang dilakukan oleh penduduk etnik Meitei.
Baru-baru ini, tular satu video menunjukkan dua orang wanita Kuki diarak dalam keadaan bogel oleh sekumpulan lelaki di Imphal, India.
Insiden itu mencetuskan kemarahan pelbagai pihak, selain menyaksikan enam individu ditahan bagi membantu siasatan polis.
Kejadian itu juga membuatkan Mary ‘berani’ melaporkan insiden yang berlaku terhadap anaknya kepada polis.
“Saya perlu lakukan sekarang atau saya tidak akan mempunyai peluang lagi selepas ini. Saya pasti akan menyesal jika membiarkan penyerang anak saya hidup bebas tanpa rasa bersalah,” ujarnya.
JANGAN SAKITI WANITA
Video itu turut mendapat perhatian wanita etnik Meitei yang mengecam perbuatan tersebut.
Sinam Surnalata Leima yang mengetuai Meira Peibis, iaitu kumpulan pemimpin wanita di Manipur menyifatkan insiden yang berlaku terhadap dua wanita Kuki itu amat zalim.
Sinam juga mengetuai kumpulan wanita Meitei dalam melakukan protes membantah tindakan tersebut dengan membakar rumah suspek yang terlibat dalam insiden itu.
“Tindakan kami membakar rumah suspek adalah tanda kami membantah perbuatan menyakiti dan menghina wanita, tidak kira mereka dari etnik, bangsa dan agama apa sekali pun.
“Perbuatan mereka juga mencemari imej etnik Meitei dan bukan semua dalam kalangan kami mempunyai sifat kejam dan tidak berperikemanusiaan seperti itu,” kata Sinam.
Etnik Meitei dan Kuki sering berbalah sejak sekian lama mengenai hak tanah dan peluang pekerjaan.
Terdapat laporan menyatakan lelaki Meitei menyerang wanita Kuki kerana ingin membalas dendam selepas sejumlah wanita dari etik itu dirogol lelaki Kuki.
CARI KEADILAN
Abang kepada seorang daripada wanita Kuki yang diarak dalam keadaan bogel itu menceritakan, penghinaan terhadap keluarga mereka tidak berakhir di situ.
Katanya, kumpulan lelaki yang menyerang adiknya turut membunuh bapa dan adik bongsu mereka.
Dia dan ibunya terselamat kerana melawat saudara mereka ketika pertempuran berlaku.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk beritahu perasaan saya ketika ini. Abang dan adik saya dibunuh, adik perempuan saya pula diserang secara seksual.
“Sudah tentu saya mahu semua pelaku ditangkap dan dihukum dengan sewajarnya. Berlakulah adil kepada semua masyarakat tanpa mengira status mereka,” ujarnya.
DAPAT PERHATIAN
Seorang penyelidik etnik Kuki, Gracy Haokip berkata, jika bukan kerana video itu menjadi tular, sudah pasti isu menimpa wanita Kuki dan Meitei tidak akan mendapat perhatian pelbagai pihak, terutamanya kerajaan dan pihak berkuasa.
“Video itu mungkin menjadi pendorong kepada semua golongan wanita, terutamanya di Manipur yang pernah menjadi mangsa serangan seksual untuk tampil ke hadapan.
“Kami berharap, nasib kami akan terus dibela biarpun video yang tular itu sudah tidak lagi menjadi perhatian banyak pihak,” katanya.