Rokok, pod, vape atau apa sahaja panggilan untuk perbuatan berkenaan, semuanya membawa konotasi yang sama iaitu berbahaya dan tidak mendatangkan manfaat.
Lebih-lebih lagi kalau ia dilakukan oleh wanita. Bukan bertujuan menafikan hak yang kononnya dipanggil kebebasan individu. Tetapi sifat kewanitaan dimiliki, mendatangkan lebih bahaya sebab fizikal wanita yang perlu melalui proses kehamilan.
Perbuatan yang dikaitkan dengan ketagihan itu boleh mempengaruhi tahap kecerdasan bayi yang dikandung.
Ciri fizikal wanita pun, turut memberikan pendedahan kepada mereka untuk mendapat kanser payu dara dan pangkal rahim.
Dalam banyak temubual dengan pesakit kanser saya temui, nasihat ingin mereka sampaikan kepada pembaca, semuanya sama – Jauhi segala macam peralatan berkaitan ketagihan dan narkotin.
Kalau dapat diputarkan waktu ke zaman remaja, mereka tidak akan sekali-kali membabitkan diri dengan rokok dan segala produk seangkatan dengannya, apa lagi membiarkan diri terdedah dengan asap rokok kerana risikonya amat teruk.
Sebagai renungan, apa yang si ibu boleh nasihatkan kepada anak-anak supaya jangan merokok kalau diri sendiri pun, dua kali lima sahaja.
Saya membangkitkan isu ini berikutan hari ini saya lihat ramai wanita, tak kira lokasi dan penampilan bagaimana, bertudung atau tidak, ‘sama naik’ dengan budak lelaki.
Berkepul-kepul asap keluar dari mulut, tanpa ada rasa segan dan silu. Jangan tidak tahu, ada pilihan yang tidak ada asap, tetapi apa manfaatnya?
Penyakit sosial ini sesuatu yang amat mendukacitakan. Mana silapnya apabila produk sedemikian mudah sahaja menjadi mainan?
Dulu-dulu adegan merokok tidak dibenarkan ditayang televisyen, ada juga gadis-gadis merokok secara diam-diam.
Sekarang ni, atas nama kemodenan dan pendedahan berlebihan kepada media sosial, perbuatan itu dirasakan sangat hebat. Perasan sungguh.
Masalah ini perlu ditangani dengan serius. Sekadar peringatan, Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 2021 mendedahkan perokok dalam kalangan wanita Malaysia kini mengatasi jumlah perokok wanita di 16 buah negara lain.
Sebanyak 1.4 peratus daripada 15.92 juta wanita Malaysia merupakan perokok, sama ada jenis tegar atau ringan.
Angka berkenaan hanya membabitkan produk tembakau mengandungi bahan kimia nikotin yang merangsang ketagihan.
Kalau melibatkan pengguna peranti elektronik atau vape, setinggi mana pula angkanya?
Isu ini bukan isu kecil sebaliknya membabitkan isu moral dan kesihatan. Tak payah tengok jauh-jauh, anak si polan atau anak jiran tetapi lihat keluarga kita.
Bagaimana usaha kita menangani penyakit ini daripada terus parah?
Nor Afzan Mohamad Yusof Pengarang Rencana, Utusan Malaysia