Meja di sebuah kedai makan saya duduk, bersidai empat lelaki muda sekitar usia 17 tahun. Entah apa butir dibualkan yang menangkap pendengaran saya ialah ketawa berdekah bersulam kata carutan.
Sedih sungguh apabila kata-kata kesat ini menjadi siulan anak muda kita. Adakah mereka tidak diajar, atau seronok bercakap sesuka hati, atas lesen kebebasan bersuara dalam dunia tanpa sempadan kini. Macam itu jugakah mereka berkomunikasi di media sosial?.
Masa kecil dulu kalau cakap kasar memang kena cubit dengan emak. Apa lagi kalau mencarut. Silap hari bulan memang makan cabailah jawabnya.
Takut dengan hukuman, percakapan memang kena jagalah.
Meneruskan ‘didikan’ itu, saya pernah meletakkan cili atas atas meja sebagai ingat kepada anak-anak saya untuk tidak berbahasa kesat. Memang menjadi.
Bahasa ini jiwa bangsa. Kalau tidak mahu melihat generasi akan datang berbahasa kurang sopan, segeralah kita cari kaedah penyelesaiannya.
Dalam isu lain tetapi masih berkisar kepada remaja, saya tertarik dengan perkongsian video seorang ibu yang berasa tertekan apabila anak perempuannya yang moody hanya kerana tudung tidak on point. (Merujuk kepada bentuk muka tudung kemas).
Ia turut mengimbau kenangan bersama anak perempuan saya mengenai mengapa dia sanggup membuang masa depan cermin, semata-mata untuk memastikan sengkuap tudungnya nampak sempurna.
Jawabnya mudah, kalau tidak sempurna dan elok terbentuk, dia akan diejek oleh rakannya, malah pernah dipulaukan hanya semata-mata tudungnya tidak menjadi.
Terkejut saya dengan jawapan itu. Kata saya, pada usia berkenaan, iaitu pada Tingkatan 1 dan 2, kami tidak pernah hiraukan pun soal penampilan.
Malah penampilan tidak pernah masuk bab perbincangan. Yang ada hanyalah keseronokan bersekolah dan mengenali rakan di sekolah baharu.
Begitupun, hal berkenaan saya selesaikan bersama gurunya.
Mana mungkin kita rela anak kita berasa tidak selesa untuk ke sekolah semata-mata kerana masalah tudung?.
Benar, mana-mana ibupun pasti sedih bila melihatkan anak-anak remaja perempuan mereka tidak semangat ke sekolah hanya disebabkan soal tudung tak menjadi.
Ingatkan kes berkaitan tudung selesai sekitar tahun 2014, sewaktu anak saya masuk ke tingkatan tiga, rupa-rupanya ada ibu yang hari ini membangkitkan isu sama.
Realitinya ejekkan, sebahagian daripada bentuk pembulian mental. Mangsa akan rendah diri dan rasa diperkecil-kecilkan.
Menangani masalah ini, selain sekolah, ibu bapa perlu perihatin perubahan anak-anak. Segera rujuk sekolah sekiranya ada yang tidak kena pada anak masing-masing.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia