SEJAK dahulu lagi, India melahirkan ramai individu kreatif dalam pelbagai bidang antaranya penulis, penyair, artis, pengukir dan pemuzik.
Golongan ini dikatakan membentuk sejarah dan budaya negara itu.
Dalam dunia seni puisi, golongan wanita kurang dikenali memandangkan ia didominasi oleh kaum lelaki dengan menyumbang kepada kekayaan kesusasteraan India.
Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa wanita India juga kreatif dalam mencipta dan menyampaikan puisi sehingga berjaya menambat hati pendengar.
Berikut senarai penyair wanita yang berbakat besar dan dikenali di India:
Sarojini Naidu
Sarojini Naidu merupakan penyair dan aktivis politik dari India.
Beliau lahir pada tahun 1879 di Hyderabad.
Sarojini juga merupakan tokoh penting dalam perjuangan kemerdekaan India.
Selain penyair, Sarojini juga pernah menjadi penyokong hak sivil, kebebasan wanita dan idea anti-imperialistik.
Sarojini juga merupakan wanita pertama yang memegang jawatan Gabenor negeri di India.
Kerjaya beliau sebagai penyair terkenal membuatkannya mendapat jolokan Nightingale of India.
Puisinya terkenal dengan gaya tulisan melodi rima.
Antara buku puisi popular berjudul A Golden Threshold dan The Feather of the Dawn.
Balamani Amma
Balamani Amma merupakan seorang lagi penyair India terkenal yang menulis dalam bahasa Malayalam.
Beliau dilahirkan pada tahun 1909 di Punnayurkulam, Kerala.
Balamani yang dihormati dan disegani rakyat turut dikenali sebagai ‘pujangga keibuan’.
Walaupun tidak mendapat pendidikan formal seperti individu lain, tunjuk ajar bapa saudaranya serta koleksi bukunya membantu Balamani menjadi penyair.
Sepanjang kerjayanya, Balamani menerima pelbagai anugerah termasuk Sahitya Akademi Fellowship.
Nandini Sahu
Nandini Sahu merupakan penyair, penulis dan pengkritik terkenal di India. Dilahirkan pada tahun 1973 di Orissa, India.
Nandini menghasilkan beberapa buku dan puisi dalam bahasa Inggeris di bawah namanya.
Beliau juga merupakan profesor di pusat pengajian bahasa Inggeris di Indira Gandhi National Open University di New Delhi.
Nandini pernah menerima beberapa anugerah termasuk dua pingat emas dalam kesusasteraan Inggeris dan Shiksha Ratna Purashkar.
Antara karya popular beliau berjudul The Other Voice, a Collection of Poems dan The Silence.
Subhadra Kumari Chauhan
Subhadra Kumari Chauhan merupakan antara penyair India yang terkenal dalam sub genre veer ras.
Beliau dilahirkan pada tahun 1904 di kampung Nihalpur.
Subhadra merupakan seorang yang lantang mengkritik pemerintahan British di India.
Beliau juga pernah dihukum penjara dua kali kerana mengadakan protes.
Hampir semua puisi yang dihasilkannya berkisar mengenai patriotisme dan nasionalisme.
Antara puisi yang popular dan dikenang sehingga kini merupakan karya bertajuk Jhansi ki Rani.
Mahadevi Varma
Mahadevi Varma merupakan pejuang kebebasan, aktivis wanita dan penyair berbahasa Hindi yang sangat mahir.
Beliau merupakan antara empat penyair utama dari generasi chhayavaad iaitu zaman romantisme dalam kesusasteraan Hindi.
Mahadevi dilahirkan pada tahun 1907 di Farrukhabad.
Kecemerlangannya dalam bidang kesusasteraan membuatkan beliau meraih gelaran Padma Vibushan pada tahun 1956.
Malah, beliau juga merupakan wanita pertama menerima anugerah sastera tertinggi India bagi pencapaian seumur hidup iaitu Sahitya Akademi Fellowship pada tahun 1979.
Kesemua puisi dihasilkannya penuh dengan belas kasihan terhadap manusia dan haiwan.
Antara karya terkenal beliau adalah Madhur Madhur Mere.
Kamala Surayya
Kamala Surayya atau lebih dikenali dengan nama pena Madhavi Das dan Kamala Das merupakan penyair yang menulis secara besar-besaran dalam bahasa Inggeris.
Beliau dilahirkan pada tahun 1934 di Punnayurkulam, Kerala.
Kamala dikagumi ramai kerana berani dan bercakap jujur mengenai isu berbangkit dalam wanita dan keinginan seksual mereka.
Antara buku puisi beliau yang popular adalah Summer in Calcutta dan The Descendants.
Tidak ramai mengetahui bahawa Kamala pernah disenarai pendek bagi Hadiah Nobel untuk Sastera pada tahun 1984.