SOALAN
Saya ada anak perempuan 11 tahun. Satu hari saya perasan lukisan anak saya di dalam biliknya. Saya lihat lukisan anak penuh serabut, bergaris hitam dan sukar untuk difahami.
Anak saya seorang yang pendiam. Adakah anak saya ada masalah. Bagaimana untuk saya membantunya.
Ibu Keliru
JAWAPAN
Sedarkah kita, kanak-kanak perlukan tempat untuk meluah rasa suka,sedih, gembira dan marah.
Seperti orang dewasa, kanak-kanak juga ingin meluahkan apa yang terbuku di dalam hati.
Salah satunya melalui lukisan. Apabila luahan melalui lisan jarang didengari dan tersekat, salah satu caranya kanak-kanak akan melahirkan emosi melalui lukisan.
Dari situ dapat menggambarkan warna emosi mereka. Apa yang boleh puan lakukan ialah mula dekati anak puan. Maafkan kesilapan dan kekurangan dia. Akui kesilapan diri sendiri.
Kurangkan penggunan gajet kepada anak puan. Gajet bukan jalan terbaik untuk penyelesaian masalah anak puan.
Cari masa yang sesuai untuk luangkan masa bersamanya. Contoh, pergi bercuti. Cuba cari masa hanya untuk dia seorang kalau boleh.
Dalam pada itu, cuba bertanya apa perkara yang buat dia gembira dan perkara yang buat dia sedih. Jangan paksa, dan beri ruang dan peluang dari hari ke hari.
Berjumpa segera dengan kaunselor bertauliah dan dapatkan terapi jika perlu.
Isteri menjalin cinta lelaki lain
SOALAN
Saya tahu tentang skandal isteri dengan seorang lelaki apabila terbaca mesej mereka.
Isteri menafikannya bahawa telah lama berhubung. Pada masa yang sama isteri saya ingin berpisah. Dia sudah tidak mahu meneruskan perkahwinan ini.
Saya pula masih sayangkan isteri, walaupun saya tahu isteri saya ada lelaki lain. Saya mahu bina rumahtangga semula dengan isteri dan anak-anak. Saya buntu.
Suami Setia
JAWAPAN
Selain kes suami ada kekasih gelap di belakang isteri. Saya juga kerap menerima kes diam-diam isteri tersuka lelaki lain.
Bila mengatakan tentang setia dalam rumahtangga, saudara lebih memilih untuk setia bersama isteri dan anak-anak walau tahu sikap isteri sebegitu.
Kegigihan saudara mahu mempertahankan rumahtangga adalah sangat baik dan dipuji.
Dalam rumah tangga pasti ada pasang surut dan ujian silih ganti dan menjadi tanggungjawab pasangan untuk bertindak mempertahankan rumahtangga sehabis boleh dengan cara menambah ilmu, berbincang dan bertanya dengan mereka yang lebih berpengalaman.
Apa yang saudara boleh lakukan adalah;
1. Minta isteri berikan sebab-sebab yang kritikal mengapa harus berpisah dengan saudara.
2. Amalkan zikir pelembut hati dan mujarabnya doa seorang suami yang betul-betul ikhlas. Dapatkan pengaruh dari keluarga isteri dan saudara. Sokongan dan perhatian keluarga boleh membantu isteri berubah fikiran.
Ada masalah? Emelkan keraguan
anda kepada kami di [email protected]