KERJA keras dan usaha tanpa penat lelah adalah kunci kejayaan. Orang hanya melihat empayar perniagaan yang gah dibina pada ketika ini sebagai ‘jalan singkat’ terus berada di kemuncak sebaliknya tidak berada bersama ketika menempuh pahit getir yang dilalui.
Pernah bekerja seawal zaman persekolahan dan diajar berdikari menjadi titik tolak buat Pengasas Hijabistahub, Nur Alwani Norazman, 28, berkecimpung dalam dunia perniagaan fesyen.
Jika remaja seusianya masih di rumah dengan keluarga dan bermain bersama rakan sebaya tetapi Nur Alwani atau lebih mesra dengan panggilan Wanie Elena sudah matang mencari duit poket menampung kehidupan dan belajar strategi perniagaan.
“Minat meniaga bermula sejak di bangku sekolah lagi. Ketika zaman persekolahan, saya dan juga adik-beradik yang lain sudah diajar untuk berdikari. Saya sudah mula bekerja secara sambilan mencari wang tambahan terutamanya pada cuti persekolahan.
“Pada ketika itu, saya bekerja di McDonalds. Tetapi saya bukan hanya kerja semata-mata untuk duit. Ketika itu saya sudah mula berfikir bagaimana sebuah perniagaan itu berlaku.
“Kerana minat, saya belajar selok-belok perniagaan. Jadi, pengalaman itu sedikit sebanyak beri satu pendekatan untuk saya belajar tentang bisnes,” kongsinya kepada Seri.
Ujar Wanie, walaupun pada ketika itu masih terlalu awal untuk memahaminya tetapi perspektif tentang bisnes telah memberi gambaran dan pendedahan awal apa yang akan dilakukan suatu hari nanti.
MODAL RM500 BINA JENAMA
Tidak terhenti di situ, tamat sahaja Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak kelahiran Kuala Terengganu ini memulakan perniagaan dengan menjadi dropship kepada jenama yang sedia ada di pasaran sewaktu di kolej.
“Dari situ pula, saya mula belajar secara praktikal permulaan tentang bisnes, jualan, pemasaran dan sebagainya.
“Selepas hampir setahun, saya mula memberanikan diri untuk mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM500 dan memulakan jenama sendiri pada usia 20 tahun.
“Hasil daripada keuntungan menjadi lipatan kepada modal yang seterusnya sehinggalah ke hari ini. Daripada penghasilan baju kasual kepada baju kurung, baju Melayu dan kanak-kanak,” ujarnya yang menjadikan minat terhadap fesyen sebagai pembakar semangat membina empayar dalam industri tekstil dan fesyen.
Bukan hanya berangan kosong, Wanie berazam untuk mencapai segala yang diimpikan.
Berbekalkan minat sejak kecil dalam bidang fesyen, beliau sering mengambil tahu tentang perkembangan fesyen tanah air dan juga luar negara.
“Walaupun tanpa latar belakang bidang fesyen tapi jiwa terhadap bidang ini sangat kuat dan memang permulaan bisnes juga adalah dengan fesyen. Saya juga minat kepada karya yang kreatif.
“Jika disebut tentang impian, impian saya adalah lebih kepada apa yang mampu dan manfaat untuk diberikan atau dihasilkan bukan hanya kepada keluarga dan team HijabistaHub tetapi juga kepada orang lain,” kongsinya.
Bercerita mengenai permulaan membangunkan empayar HijabistaHub, ujar Wanie, ia bermula setelah menamatkan pengajian pada akhir 2015 dan berkecimpung secara serius pada 2016 setelah melihat perkembangan fesyen remaja ketika itu.
“Hasil cetusan idea peragaan fesyen yang dikenakan oleh kebanyakan remaja pada ketika itu yang mula berpenampilan berhijab menjadi inspirasi saya untuk buat sesuatu kepada HijabistaHub.
“Jadi, saya perkenalkan pakaian kasual yang bersesuaian dengan gaya yang dipakai dan digayakan pada ketika itu. Model dan produk kami adalah target kepada golongan remaja terutama pakaian kasual atau pakaian harian,” katanya yang suka melihat sesuatu yang cantik, unik dan sangat menginspirasikan serta meminati wanita yang ada gaya penampilan menarik dan personaliti yang hebat.
TAK HENTI BELAJAR WALAU BERJAYA DI USIA MUDA
Tidak pernah mendabik dada apabila berjaya di usia muda kerana banyak lagi impian yang belum terlaksana.
Wanie tidak pernah merasakan diri adalah lebih baik meskipun boleh berbangga atas kepuasan dan kejayaan sendiri di usia muda kerana masih banyak yang perlu belajar dalam mengekalkan perniagaan atau bertambah maju.
“Tetapi yang lebih penting adalah membanggakan orang yang kita sayang terutamanya keluarga dan ibu saya. Kerana setiap yang dilakukan ini bukanlah untuk saya semata-mata tetapi hadiah buat mereka.
“Bagi saya, muda itu sebagai satu sandaran yang sangat subjektif bagi diri Wanie. Kematangan tidak diukur dengan umur tetapi dengan ilmu dan juga pengalaman.
“Sehingga hari ini, saya sentiasa belajar dan terus belajar. Setiap hari itu adalah pengalaman yang berharga untuk kita perbetulkan atau tambah baik. Jangan pernah rasa puas dengan apa yang kita kecapi. Jangan berhenti belajar walaupun sudah berjaya,” katanya.
Kongsi ibu tiga anak itu, kejayaan juga sepertimana yang selalu disebut oleh suami, Ahmad Syafiq Hilmi Zulkefly, 31, adalah kejayaan yang dihasilkan ini, ia bukan sebuah destinasi tetapi adalah sebuah perjalanan kerana tiada yang kekal abadi.
HUTANG CECAH 7 ANGKA KETIKA USIA 20-AN
Tipulah jika perniagaan yang dibina tanpa liku dan onak duri serta cabaran yang menimpa. Pelbagai pengalaman jatuh bangun telah dilalui Wanie Elena dan Ahmad Syafiq dalam membangunkan jenama HijabistaHub bersama.
“Jika nak disebut satu persatu terlalu banyak. Tetapi apa yang saya yang boleh dikongsikan mengenai pengalaman pada 2018 apabila kami mengalami defisit dalam perniagaan dan mula menghasilkan hutang. Pada usia awal 20-an ketika itu, hutang mencecah sehingga hampir tujuh angka iaitu RM1 juta.
“Kami seperti menemui jalan buntu, seolah-olah bermula semula dari awal. Paling tidak disangka, kami dapat bantuan daripada sahabat yang sanggup meminjamkan sejumlah wang termasuk bapa saudara yang bekerja sebagai nelayan menjual bot untuk beri modal supaya berjuang semula. Ibu kepada seorang rakan sanggup meminjamkan wang pampasan bersara kepada kami untuk bangunkan semula empayar ini.
“Saya tidak sangka ramai yang membantu di kala itu dan kami tidak akan sesekali melupakan budi mereka yang menghulurkan bantuan sehingga kami mampu berada pada tahap ini,” katanya.
TULANG BELAKANG
Wanie berpendapat, untuk menghasilkan sesebuah jenama mungkin mudah tetapi menjadikan jenama itu mampu dikenali dan diterima adalah paling sukar dan penuh dengan pelbagai cabaran.
“Nama HijabistaHub ini naik bukanlah kerana saya seorang tetapi secara berkumpulan. Ramai yang bekerja keras dan berusaha tanpa kenal erti penat lelah untuk jenama ini.
Setiap antara kami ada tugas peranan serta tanggungjawab masing-masing,” katanya yang kini mempunyai 100 lebih ‘orang kuat’ dalam syarikat dan mempunyai empat butik HijabistaHub serta akan membuka tiga cawangan lagi pada tahun ini.
Begitu juga yang dilakukan oleh Ahmad Syafiq yang sanggup melepaskan kerjaya sebagai pendidik demi mengejar impian bersama isteri tercinta.
“Pastinya tulang belakang utama adalah suami saya. Suami asalnya bermula sebagai seorang pengajar di salah sebuah sekolah yang kemudiannya berhenti kerja untuk bersama-sama bangunkan empayar ini,” katanya.