Masih sayang bapa yang hilang

Gadis tidak berdendam terhadap bapa kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memaafkan mungkin mudah, tetapi tidak untuk melupakan terutama bagi insan yang pernah disakiti.

Tambahan pula jika kesalahan tersebut dikategori sebagai agak berat dan sangat-sangat menguris hati dan perasaan.

Demikian juga dengan Maisara, (bukan nama sebenar) gadis yang ditinggalkan bapa kandung sebaik sahaja dia dilahirkan kira-kira 25 tahun lalu.

Akui Maisara, dia tetap memaafkan bapa kandung, Imran (bukan nama sebenar) yang menghilangkan diri secara tiba-tiba namun tidak pernah sesekali melupakan perbuatan lelaki itu.

Maisara yang saya temui baru-baru ini juga mengakui tidak sabar bertemu bapa kandung yang akan menjadi wali pada hari pernikahannya pertengahan Jun ini.

Menurutnya, meskipun terkilan dengan peristiwa lalu sehingga membuatkan ibu, Zaleha (bukan nama sebenar) terpaksa menjalani kehidupan memeritkan, dia tidak pernah menyimpan dendam.

“Sepanjang saya dan abang dibesarkan sehinggalah ibu menghembuskan nafas terakhir pada pertengahan Oktober tahun lalu, ibu tidak pernah sesekali bercerita buruk tentang bapa.

“Walaupun pada hakikatnya apa yang sering diulang cerita oleh ibu dan bapa saudara, ibu ditinggalkan sendirian semasa hendak melahirkan saya di hospital.

“Selain menunaikan amanat arwah ibu, apa yang penting sekarang saya dapat bertemu bapa pada hari pernikahan nanti,” ujar Maisara yang menunjukkan riak wajah gembira.

Menurut Maisara, ketika bapa menghilang secara tiba-tiba, abangnya, Masrol (bukan nama sebenar) berusia lima tahun.

Abangnya sangat rapat dengan bapa apatah lagi dia merupakan zuriat pertama dalam keluarga.

Namun kebahagiaan mereka tidak kekal lama.

“Saya tidak pernah merasai kasih sayang bapa. Berbeza dengan abang yang sempat bersama bapa walaupun sekejap.

“Mungkin penerimaan kami berdua terhadap bapa juga sedikit berbeza. Namun saya yakin, abang adalah orang yang paling tidak sabar bertemu bapa,” ujar Maisara.

Kata Maisara usaha mencari bapa kandung dibuat selepas dia merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan.

Ketika itu juga kesihatan ibu semakin merosot selepas disahkan menghidap kanser payu dara tahap empat.

Kata Maisara hampir enam bulan dia mencari bapa kandungnya itu dengan pelbagai cara termasuk menggunakan media sosial.

Sehinggalah pada satu hari seminggu selepas ibu meninggal dunia, dia dihubungi seseorang dari Sandakan, Sabah yang mengakui salah seorang anak daripada keluarga baru bapa.
“Ketika itu perasaan saya bercampur baur sejurus mendapat tahu bapa masih hidup. Teruja, sedih, marah dan gembira,” ujarnya.

Mengimbas kisah lalu, selepas ibu ditinggalkan, bermulalah episod hidup mereka tiga beranak.

Menurut cerita daripada ibu dan bapa saudaranya, ibu dikatakan hampir mengalami simptom kemurungan selepas bersalin.

Mujurlah adik beradik ibu, termasuk datuk dan nenek bersama-sama memberikan kata-kata semangat dan membantu ibu menghadapi masalah.

Ibu cepat bangkit dan cuba ‘menghidupkan’ semula dirinya.

Maisara turut berkongsi cabaran dan kecekalan ibunya sebagai ibu tunggal.

Sejak ditinggalkan , segala tanggungjawab sebagai ibu dan bapa berpindah kepada ibu.

“Ibu tidak pernah bekerja. Dari zaman anak dara sehinggalah berumah tangga.

Apabila ditinggalkan bapa, ibu terpaksa bekerja keras untuk membesarkan mereka dua beradik yang masih kecil.

Walaupun nenek dan datuk serta adik beradik ibu sentiasa ada ketika susah senang, ibu enggan berterusan bergantung harap kepada mereka.

Cerita Maisara lagi, dengan pertolongan bapa saudara, ibu mendapat pekerjaan di kantin sebuah sekolah rendah di kampung mereka.

Pendapatan sebanyak RM250 sebulan sebagai pembantu tukang masak itulah digunakan ibu untuk perbelanjaan mereka tiga beranak.

Dua tahun selepas itu ibu nekad berhijrah ke Kuala Lumpur.

Di sana ibu bekerja di sebuah kedai roti dan kek milik kenalan bapa saudaranya.

“Alhamdulilah, berkat usaha gigih, selepas setahun ibu diberi kepercayaan menguruskan perniagaan dan hidup kami lebih selesa berbanding sebelum itu,” cerita Maisara.

Sepanjang perbualan hampir dua jam itu, Maisara sentiasa memberi kata-kata pujian dan rasa kagum terhadap ibunya.

Kata Maisara, walaupun sibuk, ibu tidak pernah mengabaikan soal pelajaran mereka berdua.

Daripada peringkat sekolah rendah, menengah sehinggalah mereka berdua berjaya menyambung pengajian ke peringkat universiti.

Ujar Maisara, sehingga ke hari ini dia tidak tahu dari mana datangnya kekuatan ibu selepas melalui pelbagai ujian dalam hidup.

Ibu bukan sahaja terpaksa membesarkan anak-anak sendirian selepas ditinggalkan suami, tetapi juga disahkan menghidap kanser payu dara tiga tahun lalu.

Namun Maisara masih ingat dengan kata-kata ibunya, jika seseorang itu berpaut kepada Allah, mereka tidak akan takut atau rasa sedih dengan kehilangan kerana dunia ini dicipta untuk menguji manusia.

Jiwa seseorang akan menjadi kuat , sebab sentiasa berpaut kepada pemilikNya bukan kepada makhluk lain.

Selalu bersangka baik dengan Allah dan setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Sebelum menghembuskan nafas terakhir, ibu masih sempat berpesan agar memaafkan bapa tanpa sebarang dendam di hati,” ujarnya Maisara mengakhiri perbualan lewat petang itu.

Sesungguhnya, memaafkan kesalahan orang lain adalah dituntut dalam agama Islam.

Sebagaimana dalam surah Ali’ Imran ayat 133 dan 134 memiliki makna bahawa manusia akan diberikan ampunan dari Allah SWT dan syurga seluas langit dan bukit apabila orang itu berinfak, mampu mengendalikan kemurkaannya dan memaafkan kesalahan orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya