Doa, kasih sayang ibu penguat semangat

Doa, kasih sayang ibu penguat semangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang ibu sanggup melakukan apa sahaja demi anaknya, walaupun terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang ringgit.

Begitu juga dengan Rohani, 37, (bukan nama sebenar) ibu kepada bekas pelajar Henry Gurney, Melaka yang tidak pernah meninggalkan anaknya keseorangan di saat sedih dan kecewa.

Adham (bukan nama sebenar) menjadi penghuni sekolah berkenaan selama tiga tahun atas kesalahan pecah rumah yang dilakukan ketika usianya 15 tahun.

“Sejahat manapun, dia tetap anak saya. Ibu mana tidak sedih, anak yang ditatang bagai minyak penuh, diberi pendidikan, akhirnya terpaksa menghuni pusat yang dilabelkan sebagai tempat remaja nakal,” katanya dalam pertemuan baru-baru ini.

Walaupun menempuh ujian berat, kasih sayang sebagai ibu tidak pernah pudar.

“Allah dah tulis takdir hidup saya begini dan saya percaya ada hikmah di sebalik semua yang terjadi.

“Saya tidak tidak salahkan sesiapa atas semua yang berlaku kepada Adham. Sebagai ibu, saya lebih melihat kekurangan diri sendiri,” ujarnya perlahan.

Menyambung cerita, kata wanita kelahiran Manjong, Perak itu, dia sedar apa yang berlaku berpunca akibat cara didikan dan membesarkan Adham.

“Adham dibesarkan tanpa seorang bapa sejak usianya enam tahun. Sayalah ibu dan bapa kepadanya. Selama ini saya rasa sudah cukup baik mendidiknya, tetapi saya silap.

“Setiap ibu mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Sama seperti saya. Selama ini saya sangka kemewahan boleh membeli jiwa dan kebahagiaan Adham,” sambungnya lagi.

Menceritakan kisah hidupnya, Rohani mengakui melalui episod hidup yang buruk selepas suami menghilangkan diri secara tiba-tiba kira-kira 15 tahun lalu.

Dia tidak menyangka, lelaki yang dikahwini itu merupakan penjenayah paling dikehendaki pihak berkuasa.

“Sepanjang tempoh bercinta dan hidup bersama, makan sepinggan, tidur sebantal, saya langsung tidak mengetahui kegiatan suami.

“Suami sangat baik dan bertanggungjawab. Saya dan Adham yang ketika itu berusia lima tahun hidup dalam kemewahan dan kasih sayang,” ujarnya.

Sambung Rohani, hidupnya semakin sukar apabila disisih keluarga dan kawan-kawan selepas tembelang suaminya bocor.

Tetapi dia tidak patah semangat, dengan sedikit wang simpanan yang ada, dua beranak itu berhijrah ke Kuala Lumpur.

Rohani yang sebelum ini tidak bekerja, terpaksa berdikari dengan melakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung kehidupan mereka.

Dia bekerja siang malam untuk memberikan yang terbaik kepada Adham termasuk kasih sayang, pendidikan dan agama.

Namun, naluri ibu kuat menyatakan ada sesuatu tidak kena dengan Adham, walaupun hatinya cuba menidakkan perasaan itu.

Adham sering menunjukkan sikap agresif keterlaluan, kemurungan yang teruk dan tidak mahu bergaul dengan orang lain.

Ketika di sekolah rendah, kanak-kanak itu mula menunjukkan sikap memberontak, malah sering terlibat dalam masalah disiplin seperti membuli dan ponteng sekolah.

Keadaan itu berlarutan hingga ke sekolah menengah.

Kata Rohani, hatinya hancur apabila mendapat tahu Adham ditangkap polis atas kesalahan pecah rumah pada usia 15 tahun.

“Sukar saya bayangkan apa di fikiran Adham sehingga sanggup melakukan jenayah itu, sedangkan selama ini segala kemahuannya dituruti,” ujarnya.

Dalam luahan itu, Rohani berkata, apapun kesalahan dilakukan Adham, dia tidak pernah membuang anak tunggalnya.

“Saya tak pernah malu memiliki anak sepertinya kerana itu ujian Allah kepada saya,” katanya.

Rohani berkata, sebagai ibu dia sentiasa mendoakan yang terbaik kepada anaknya itu.

“Macam mana pun keadaan keadaan anak, kita kena terima. Marah memang marah, tetapi kalau bukan keluarga sendiri mahu menerima , siapa lagi?” soalnya.
Jauh disudut hati seorang ibu, dia berharap kehidupan di sekolah itu dapat mengajar anaknya memperbaiki diri .

“Saya bersyukur sangat-sangat, walaupun pahit tetapi ada hikmah di sebaliknya.

“Saya bukan ibu yang sempurna, namun sentiasa berusaha menjadi ibu terbaik buat Adham,” ujarnya.

Ditanya mengenai status terkini suaminya, Rohani berkata, peristiwa itu sudah hampir 15 tahun berlalu dan dia tidak berharap lagi.

“Saya sendiri tidak tahu sama ada suami masih hidup atau sudah meninggal.

“Apa yang penting, sekarang saya mahu menghabiskan masa bersama Adham dan memperbaiki kekurangan dalam hubungan antara ibu dan anak,” ujarnya.

Adham kini menyambung pengajiannya dalam bidang kulinari di kolej swasta di ibu negara.

Dalam setiap sujudnya, dia sentiasa mendoakan Adham berubah menjadi anak yang lebih baik dan bertanggungjawab.

Sesungguhnya doa seorang  wanita yang bergelar ibu adalah satu anugerah mulia daripada Allah.

Ini dapat dibuktikan dengan banyaknya ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi yang menceritakan mengenai kemuliaan seorang ibu.
Allah SWT telah berpesan dalam surah Luqman ayat 14:

“Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya, ibu yang telah mengandungnya dalam keadaan lemah dan bertambah-tambah, dan menyusuinya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya