Bagi pengacara terkenal, Daphne Eleanor Iking

Daphne pertaruh nyawa demi anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Adakalanya dalam meniti kehidupan, kita terpaksa membuat pilihan yang benar-benar sukar. Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Apatah lagi jika pilihan itu membabitkan antara hidup dan mati! Sudah tentu bukan mudah untuk membuat pilihan yang pastinya menuntut pengorbanan cukup besar.

Bagi pengacara terkenal, Daphne Eleanor Iking, beliau pernah diduga dengan ujian hebat apabila terpaksa memilih antara nyawanya dengan anak keempat yang sedang dikandungannya ketika itu.

Daphne,45, berkata, doktor menasihatkannya supaya menggugurkan kandungannya itu kerana ia boleh mengancam nyawa disaat melahirkannya nanti.

“Sebenarnya selepas melahirkan anak ketiga, Isidore Daniel Iking, menerusi pembedahan caesarian, saya mengalami komplikasi pendarahan yang serius berikutan rahim sangat nipis.

“Masa pembedahan ceasarian, biasanya doktor akan potong tujuh lapisan. Namun, keadaan saya berbeza. Masa baru potong lapisan kedua, saya mengalami pendarahan sehingga pengsan. Jadi, doktor nasihatkan saya ikat peranakan untuk mengelakkan hamil lagi, “ katanya kepada Seri.

Bagaimanapun Daphne tidak melakukan prosedur mengikat peranakan seperti dicadangkan doktor dan memilih kaedah perancang keluarga lain. Biarpun sudah cukup berhati-hati, ditakdirkan Daphne hamil anak ke empat selepas tiga tahun.

Ketika diminta memilih antara nyawanya dengan anak dalam kandungan, Daphne bertekad untuk meneruskan kandungannya itu. Biarlah nyawanya menjadi taruhan tetapi naluri keibuannya tidak sanggup mengorbankan bayinya.

“Saya merasakan anak itu kurniaan Allah SWT. Orang lain susah nak dapat anak. Jadi, mengapa saya nak gugurkan? Walaupun masa itu kami berdepan kekangan kewangan tapi saya dan suami membuat keputusan mengekalkan kandungan.

“Memang sukar hendak buat keputusan ini tapi kami terus berdoa dan memohon petunjukNya. Alhamdulillah, saya selamat melahirkan Ilon Daniel Iking Azmi pada 21 Mei 2020 walaupun tidak cukup bulan,” katanya.

Tambah Daphne lagi, disaat melahirkan, beliau bertawakal sekiranya nafasnya terhenti disitu. Ketika itu juga negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Suaminya, Azmi Abdul Rahman, mulanya tidak dibenarkan masuk untuk menemaninya bersalin tapi selepas menjalani ujian covid dan memakai PPE, akhirnya suaminya dapat masuk menemaninya.

Sepanjang berada di hospital, anak sulungnya, Isobel Daniella Iking yang baru berusia 12 tahun mengambilalih tanggungjawab menjaga adik-adiknya, Iman Daniella Iking, 8 dan Isidore, 3, di rumah.

Mujurlah jarak antara rumah ke hospital hanya sekitar 10 minit. Apabila suaminya datang melawat, anak-anak di rumah dipantau menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Dilema membesarkan anak beza jurang usia

Membesarkan anak-anak yang jarak usia agak jauh terutama antara Isobel dan Ilon, seringkali mencabar kesabaran Daphne dan suami.

“Setiap anak-anak mempunyai kerenah dan keperluan tersendiri yang menuntut perhatian kami sebagai ibubapa.

“Sekarang saya sedang mencari kolej sesuai untuk Isobel mendaftar masuk tahun depan. Saya pula dalam dilema sebab keinginannya memilih jurusan pengajian bertukar-tukar. Sekejap dia nak buat undang-undang, lepas itu tukar senireka grafik atau pereka fesyen,” katanya.

Tambah beliau lagi, Ilon, 3, pula sangat berbeza dengan adik beradiknya yang lain. Ilon sangat aktif dan kreatif yang memerlukan perhatian Daphne dan Azmi.

“Dalam membesarkan anak-anak, kadangkala saya dan suami bercanggah pendapat. Suami lebih garang dengan gaya didikan cara lama. Tapi saya pula lebih mengutamakan komunikasi dengan anak-anak.

“Saya suka meluangkan masa dengan mereka. Sebagai contoh, duduk bersama anak, buat yoga atau senaman lain. Saya lebih suka berbincang dengan anak-anak berbanding terus menghukum mereka,” katanya.

Rezeki bertambah selepas berhijab

Daphne yang sudah mencecah usia 45 tahun mengakui perlu terus bekerja sekurang-kurangnya sehingga 20 tahun lagi untuk memastikan anak-anak berpeluang melanjutkan pengajian masing-masing.

Baginya pendidikan anak-anak amat penting dan kalau boleh, beliau ingin melihat anak-anaknya berjaya dalam bidang akademi.

Daphne amat bersyukur kerana rezeki sebagai pengacara majlis tidak pernah putus biarpun selepas memakai tudung.

“Mula-mula saya bimbang bila bertudung nanti saya tidak dapat tawaran bekerja sebagai pengacara lagi. Namun, saya bertekad terus berhijab kerana percaya rezeki tetap ada.

“Alhamdulillah, lepas bertudung ada saja tawaran kerja. Lebih mengejutkan, tawaran mengacara majlis dalam Bahasa Melayu bertambah-tambah,” katanya.

Daphne yang tampil anggun dengan selendang biru yang dililit kemas di kepala, mengakui masih kurang pandai menggayakan tudung.

Justeru, beliau lebih selesa menggayakan tudung bawal atau selendang daripada kain kapas sebab ia tidak perlu digosok. Selain itu, ia juga mudah dipakai dengan pelbagai gaya.

“Mula-mula pakai tudung memang senget-senget. Saya tidak suka tudung yang kena pakai banyak pin. Kalau boleh tudung diselit atau ikat saja. Selendang atau tudung bawal boleh digayakan labuh menutup dada atau dililit menjadi turban,” katanya.

Daphne yang berketurunan Kadazan berkata, hasrat berhijab timbul sejak Ramadan lalu apabila mula terfikir hala tuju hidupnya.

Beliau yang awalnya menutup rambut dengan topi atau turban kerana mahu menutup uban mula menimbangkan sama ada mahu kekal berhijab atau sebaliknya.

“Saya bersyukur kerana anggota kumpulan usrah yang saya sertai pada Ramadan lalu banyak membantu saya dalam hal ini. Saya turut menimba ilmu agama menerusi kaca tv dan belajar mengaji beramai-ramai dengan kumpulan mereka.

“Bagi Saya, semua orang ada perjalanan hidup masing-masing. Saya ada kawan-kawan yang sudah lama bertudung, ada yang baru berjinak-jinak nak pakai hijab, ada yang sedang berjuang untuk menunaikan perkara yang wajib ini. Sebaiknya kita beri ruang untuk mereka membuat perubahan secara perlahan-lahan,” katanya.

Belajar memasak rendang tok

Selama ini Daphne mengakui tidak pernah memasak untuk keluarga. Mereka sekeluarga lebih banyak membeli makanan dari luar.

Tambahan pula masing-masing bercita rasa berbeza. Suaminya lebih suka makan makanan pedas seperti sambal dan kari. Manakala anak-anak pula lebih gemar makanan barat. Daphne pula suka makanan lebih sihat.

“Sejak saya beli periuk yang moden yang dilengkapi program memasak, sekarang saya sering memasak. Saya masak nasi dagang dengan gulai ikan. Bayangkan orang Kadazan yang tak pernah buat kari semua, sekarang sudah boleh memasak nasi dagang.

“Saya juga cuba masak rendang tapi suami orang Kuala Kangsar, dia kata rendang tok lagi sedap. Pada saya sedap saja sebab rendang, kari sama saja rasanya. Saya tidak tahu beza, janji sedap di lidah saya,” katanya.

Demi memenuhi selera suami sempena Aidiladha, Daphne tidak segan untuk mempelajari cara memasak rendang tok daripada kakak sepupu sebelah suaminya.

Bagaimanapun, masakan rendang itu akan dimasak menggunakan periuk khasnya itu.

Minat juga turut diikuti anak sulungnya, Isobel yang kini sudah suka memasak. Bagaimanapun Isobel lebih gemar menyediakan pemanis mulut yang unik.

“Kalau boleh, saya hendak anak yang kecil juga membabitkan diri dalam aktiviti memasak sebab dia memang jenis memilih makanan.

“Selain merapatkan lagi hubungan keluarga, aktiviti memasak bersama memberikan pendedahan kepada anak-anak dalam proses menyediakan makanan mereka sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya