wanita berani melawan keganasan rumah tangga

Awas lelaki, wanita makin berani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu keganasan rumah tangga atau lebih spesifik, keganasan terhadap wanita bukanlah sesuatu yang baharu untuk diperkatakan.

Namun, sejak kebelakangan ini wanita dilihat semakin berani untuk tampil ke hadapan bagi mempertahankan dirinya sendiri.

Ramai yang sudah tidak rela menjadikan diri mereka sebagai punching bag si lelaki.

Buktinya, banyak kes laporan mengenai keganasan dan kekerasan yang dilaporkan di media-media sosial menunjukkan wanita kini makin berani.

Noraniza Anwar

Berpan­dangan sama, Kaunselor Perkahwinan, Noraniza Anwar berkata, trend positif itu adalah disebabkan oleh perkembangan teknologi yang semakin pesat dalam kalangan masyarakat.

Katanya, teknologi pada hari ini berperanan memberi advokasi dan kesedaran kepada wanita untuk mempertahankan diri dan hak mereka sendiri.

“Zaman dahulu, internet sangat terhad tetapi tidak lagi hari ini. Semua maklumat hanya di hujung jari.

“Oleh itu, ia bukan sahaja beri kesedaran tetapi juga celik akal kepada wanita untuk bertindak sesuai dengan keadaan,” katanya kepada SERI.

Kebangkitan ini juga dilihat sebagai satu petanda amaran kepada lelaki untuk tidak sewenang-wenangnya menggunakan kekerasan terhadap wanita tidak kira sama ada isteri, kekasih, keluarga atau kenalan.

Bagi wanita pula, disarankan agar tidak terlalu berlembut atau mudah memberi peluang kedua mahupun ketiga kepada lelaki yang sering menggunakan kekerasan sekiranya berlaku konflik dalam perhubungan.

“Bila pasangan mula naik tangan sama ada sebelum atau selepas berkahwin, tanya kepada diri sendiri kenapa kita beri peluang kepada orang lain untuk melanggar batas diri kita.

“Perjalanan hidup yang bagaimana yang kita inginkan. Perkahwinan bukan hanya perlu ada rasa disayangi tetapi perlu juga untuk rasa selamat.

“Banyak juga dalam sesi kaunseling saya jumpa pasangan yang tidak ada rasa selamat. Rumah tangga tidak bahagia bukan beri kesan kepada pasangan sahaja tetapi juga kesan kepada pembentukan karakter anak-anak,” jelasnya.

Hal ini katanya kerana anak-anak sering kali akan belajar sesuatu daripada perkara yang berlaku di rumah.

“Kita tidak mahu penyakit keturunan di mana ibu ayah bergaduh dan kemudian hari anak-anak berkahwin mereka pula akan melakukan perkara sama kerana sudah terbiasa daripada kecil.

“Oleh itu, wanita kena ada keberanian menamatkan keganasan itu untuk mengelakkan kejadian berulang dalam kehidupan anak-anak kita nanti,” tegasnya.

Tamatkan kepercayaan tidak boleh buka aib

Amnani Abdul Kadir

Sementara itu, Pengarah Pembangunan dan Kerjasama, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Amnani Abdul Kadir berkata, kepercayaan untuk tidak membuka aib sudah tidak boleh digunapakai lagi.

Kepercayaan lama itulah katanya, yang selama ini membelenggu wanita untuk terus bertahan dalam perhubungan toksik.

Sedangkan, perhubungan toksik terutamanya membabitkan keganasan kadangkala boleh membawa kepada kematian.

Lihat sahaja beberapa kes dilaporkan sebelum ini melibatkan suami memukul dan mencederakan isteri sehingga mendatangkan maut.

“Kita tengok trend positif ini bermula dengan generasi X dan Y yang semakin peka dengan hak diri masing-masing dengan kewujudan sosial media dan sebagainya.

“WAO sendiri pun banyak menerima panggilan daripada ramai wanita dan kanak-kanak, termasuk lelaki juga yang prihatin dengan keadaan jiran atau orang sekeliling yang mengalami keganasan rumah tangga,” jelasnya.

Sebab itulah katanya, kepercayaan untuk tidak buka aib dan jangan jaga tepi kain orang tidak lagi relevan untuk dipakai di zaman ini.

Tindakan membuka aib dan menjaga tepi kain orang itulah kadangkala menjadi penyelamat kepada pemandiri (survivor) untuk keluar daripada kehidupan yang menyeksakan.

Tambahnya, wanita juga semakin terbuka untuk menerima maklumat dan mencari bantuan untuk diri mereka sendiri.

Malah, sokongan dalam komuniti wanita melalui laman sosial juga semakin memberangsangkan menjadikan institusi wanita semakin kuat.

“Ini bukan 30 tahun lepas, bukan zaman dahulu. Wanita sekarang bekerjaya dan boleh menjaga anak sendirian.

“Sokong wanita yang ingin meninggalkan situasi atau hubungan toksik kerana perkara sebegitu amat membantu mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih bahagia dan aman,” jelasnya lanjut.

Untuk rekod, WAO telah pun membantu seramai 17,000 mangsa semasa pandemik COVID-19 sehingga kini.

Khidmat bantuan yang disediakan termasuk tempat perlindungan, bantuan guaman, kaunseling, bantuan perubatan, program pemantapan kemahiran pemandiri dan program berkaitan kanak-kanak yang diberikan secara percuma.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya