SEJAK kecil pegawai perubatan kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. RS Venna Magarita gemar menonton pelbagai program ratu cantik di televisyen (TV).
Siapa sangka akhirnya jelitawan berusia 32 tahun itu pula yang menguasai pentas peragaan dan membawa pulang mahkota ratu Miss Super Model Universe Malaysia 2023.
Tanpa berselindung, katanya, kehadiran wanita-wanita cantik banyak menyuntik semangat dan inspirasi untuk berubah menjadi versi dirinya yang terbaik.
BANGKIT KERANA EJEKAN GEMUK
Gelaran ratu cantik sering dikaitkan dengan keanggunan, kebijaksanaan dan kemasyhuran si empunya diri.
Namun, perjalanan meniti kejayaan itu bukan mudah kerana kebanyakan juara pertandingan berkenaan pernah berdepan situasi buruk dalam hidup mereka.
Antaranya, termasuk diejek gemuk oleh rakan-rakan, malah ada juga yang dihina hodoh dan lain-lain lagi.
Perkara sama turut menimpa Miss Super Model Universe Malaysia 2023, Dr. RS. Venna Magarita, 32, ketika zaman remajanya.
Beliau yang merupakan pegawai perubatan kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerap disindir badan (body shaming) semasa di sekolah menengah hanya kerana berlebihan berat.
Walaupun menjadi mangsa buli secara verbal oleh sahabat baik, tetapi tidak sesekali melemahkan semangat anak bongsu daripada dua beradik itu.
Sebaliknya, Venna Magarita menganggap ejekan itu sebagai kritikan konstruktif untuknya mentransformasikan diri ke arah lebih baik.
“Ketika di sekolah menengah, saya agak berisi dengan berat antara 60 hingga 70 kilogram (kg) dan seorang rakan sering mengecam saya gemuk.
“Sambil melihat diri di cermin, saya kaji setiap sindirannya itu dan ya, memang benar saya gemuk. Bermula dari situ, saya nekad untuk berubah dan tukar gaya hidup,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Venna Magarita berkata, langkah pertama yang dilakukan ialah mengawal pemakanan di samping rajin bersenam.
Katanya, sepanjang di tingkatan 1 hingga 3 dia kerap berkunjung ke gimnasium selain aktif dalam bidang sukan di sekolah.
Kongsinya, suntikan semangat untuk menurunkan berat badan makin membara apabila melihat kejelitaan para peserta pertandingan ratu cantik.
“Saya tonton program ratu cantik sejak kecil dan mereka (peserta) adalah sumber inspirasi saya untuk terus cemerlang dan menjadi versi diri yang terbaik.
“Menariknya, kejadian ini membuatkan saya lebih cekal dan rajin berusaha untuk mencapai impian dalam hidup, malah prinsip itu sudah sebati hingga kini,” katanya yang memiliki berat 52 kg.
KAJI SELOK-BELOK RATU SEJAK KECIL
Penglibatannya dalam dunia peragaan boleh dianggap lewat kerana kebanyakan peserta bermula selepas tamat pengajian peringkat sekolah dan universiti.
Bagaimanapun, Venna Magarita berkata, soal usia bukan halangan untuk seseorang melakukan transformasi mahupun mencipta haluan baharu dalam hidup.
Ujar beliau, didikan itu sudah diterapkan sejak kecil oleh ayahnya yang merupakan pesara pegawai tentera.
“Semasa berusia 16 dan 17 tahun, saya ada mencuba nasib ke pemilihan sebagai model tetapi gagal kerana ketika itu saya masih belum kurus sepenuhnya dan kurang keyakinan.
“Selepas tamat pengajian, saya perlu menjalani latihan klinikal di hospital dan kesibukan kerja menyebabkan impian itu tertangguh begitu lama,” katanya.
Menurut Venna Magarita, tempoh panjang itu dimanfaatkan untuk mengkaji selok-belok peragaan dan pertandingan ratu cantik seperti cara peserta berjalan, bergaul, bercakap dan menjawab soalan juri.
Tuturnya, kerjaya sebagai doktor membantu memantapkan aspek komunikasinya kerana sudah biasa mendekati dan berbual dengan pesakit.
“Persedian inilah yang digunakan bagi mempersiapkan diri sebaik sahaja mendaftar dalam Super Model Universe Malaysia, pada Disember tahun lalu.
“Menerusi komitmen dan kerja keras yang dilakukan, kualiti untuk jadi pemenang itu ada cuma saya tidak mahu terlalu berfikir, sebaliknya terus berusaha serta kekal positif sepanjang pertandingan berlangsung,” kongsinya.
Venna Magarita lega percubaan pertamanya menerusi platform ratu cantik itu membuahkan hasil apabila meraih tempat pertama sekali gus mengetepikan tujuh pesaing lain.
Selain gelaran ratu, wakil dari Kuala Lumpur itu turut merangkul dua lagi anugerah iaitu Miss Congeniality dan People’s Choice.
TONJOL VERSI DIRI TERBAIK
Sepanjang hampir sejam sesi temu bual itu, Venna Magarita berulang kali menyebut mahu menonjolkan versi dirinya yang terbaik.
Katanya, setiap apa yang dilakukan sama ada melibatkan kerjaya, minat mahu pun hobi, segalanya akan dilaksanakan dengan sehabis baik.
Malah, wanita berketinggian 174 sentimeter ini turut menekankan kepentingan berfikiran positif.
“Perjalanan hidup setiap orang berbeza dan pasti ada liku serta cabarannya. Tetapi paling mustahak, kita perlu memiliki minda yang positif di samping menanam tekad untuk menjadi versi diri yang terbaik,” ujarnya.
Sehubungan itu, Venna Magarita menyarankan setiap wanita untuk mencipta ruang dan peluang bagi membuktikan kemampuan serta keupayaan diri.
BIJAK URUS MASA
Kesibukan bukan alasan untuk seseorang tersekat dalam rutin harian mereka tanpa beralih kepada perkara yang menyeronokkan.
Jelas penuntut tahun kedua sarjana estetik ini, ilmu pengurusan masa sudah menjadi amalan ramai sejak kecil lagi apabila perlu pergi ke tuisyen di samping terlibat dalam aktiviti sukan dan persatuan selepas waktu persekolahan.
Beliau menambah, jika masa diuruskan dengan bijak dan seimbang, semua orang boleh melakukan apa jua aktiviti diingini buat diri, keluarga serta rakan-rakan.
“Saya ambil contoh semasa kita bersekolah dahulu, jadual sebagai pelajar cukup padat tetapi semua urusan itu lancar, jadi kenapa tidak amalan pengurusan masa diteruskan hingga dewasa?
“Sebab itu saya cuba manfaatkan setiap saat yang dimiliki saban hari. Tugasan di hospital bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang selain keperluan ‘on call’ dan tempoh rehat tengah hari diisi dengan makan selama 15 minit, manakala selebihnya bersenam di gimnasium.
“Di rumah pula, saya berehat seketika sebelum kembali bersenam untuk mengekalkan kecergasan atau keluar dengan keluarga dan kawan-kawan,” kongsinya.
Ujar Venna Magarita, seseorang tidak seharusnya meletakkan had atau batasan dalam rutin harian mereka semata-mata atas faktor masa.
GABUNG PERUBATAN, PERAGAAN
Menyifatkan dirinya masih hijau dalam bidang peragaan, namun Venna Magarita teruja dan seronok apabila berada di depan kamera dan di pentas peragaan.
Katanya, kerjaya sambilan itu diterokai bukan untuk meraih populariti, sebaliknya sebagai platform untuk mendapatkan ketenangan.
“Saya gembira dapat melalui proses pembelajaran baharu ini dan akan terus belajar, tetapi bukan bermakna mahu meninggalkan kerjaya sebagai doktor.
“Impian saya adalah untuk menggabungkan bidang perubatan dan peragaan, mungkin dengan membuka klinik estetik di masa depan seperti Dr. Nadzirah Abdullah (Dr. Nadz),” katanya. – UTUSAN ONLINE