Seni kait hasilkan pendapatan

Afni ‘mengait’ jenama sendiri

Minat yang bertukar menjadi kerjaya untuk Afni
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Emak saya dulu isteri kepada tentera dan kami tinggal di berek atau kuaters dalam kem. Saya masih ingat walaupun umur baru masuk darjah satu, waktu petang saya suka duduk mengendeng mak dan jiran-jiran wanita yang duduk berkumpul sambil mengait menggunakan “benang bulu kambing”.

“Macam-macam yang mereka kait, antaranya alas meja, alas televisyen, baju bayi, stoking, kasut dan saya leka dan terus jatuh cinta walaupun umur baru masuk tujuh tahun.

“Saya tidak peduli bila mak melarang sebab saya masih kecil masa tu, lagi pun saya agak lasak macam budak lelaki tetapi jiwa suka pula dengan hasil kerja seni yang akhirnya menjadi salah satu hobi sehingga ke hari ini,” ujar Norafni A Shani, 42.

Bercerita mengenai hobi mengaitnya itu, beliau gembira kerana Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah mengazetkan istilah baharu yang dikenali sebagai sulaman kait.

Ini sekaligus katanya menyuntik semangat kepada pengemar seni kemahiran tangan sepertinya terus berkarya.

“Kalau ikut pengalaman, sudah lama saya dalam bidang ini walaupun di peringkat awal dahulu mak tidak mahu saya belajar mengait . Saya degil dan tetap curi-curi usik apa yang mak kait walaupun selepas itu kena marah. Saya tidak putus asa dan mengambil masa setahun untuk terus belajar secara tidak formal. Saya kait sahaja, bila salah, saya buka benang dait lagi.

“Proses sama terus berulang beberapa kali, sebelum saya betul-betul mahir. Mak melihat kesungguhan saya walaupun masa itu baru berumur lapan tahun dan agak terkejut melihat saya terang hati. Akhirnya mak bersetuju dengan hobi yang saya pilih dan mengajar teknik dan asasnya.

“Apabila sudah mahir rekaan dipelbagaikan dan berani mengambil tempahan. Disitulah bermulanya hobi saya yang akhirnya menjadi salah satu sumber pendapatan,” katanya yang mahir menghasilkan saprah, alas meja, hamparan dan beg tangan pelbagai jenis.

Mesra disapa Afni, beliau mengakui, hobi berkaitan dengan seni kraf tangan sangat dekat di hatinya terutama mengait malah memberinya ketenangan dan kepuasan.

TERAPI DIRI

Bahkan dalam waktu tertentu, bila fikiran berserabut dengan pelbagai masalah, dia akan mencari peralatan mengait dan menumpukan sepenuh perhatian dan sedikit demi sedikit, hatinya lapang.

“Apabila sudah mahir, saya sanggup menyudahkan kerja mengait berjam-jam lamanya dan jika tempahan bersandarkan produk yang sudah ada, hanya dua hari masa diperlukan untuk siap termasuk asas dan kemasan. Bagaimana pun untuk produk yang ditempah khas, masa diperlukan antara tiga ke empat minggu .

“Selain rasa seronok apabila terhasilnya produk selepas berhari-hari mengait saya merasai kemahiran tersebut meningkatkan keyakinan diri. Saya berkongsi kegembiraan dengan kawan-kawan.

“Pada awalnya saja suka-suka tetapi apabila sudah ada permintaan dan mereka meminta saya mengenakan bayaran, saya terfikir mungkin lebih elok dilakukan secara professional dengan bayaran setimpal,” katanya.

Tambahnya, mengait mendorong dirinya lebih fokus, sabar dan memahami kemahiran tersebut memerlukan asas terlebih dahulu. Apabila melibatkan pecahan produk, beliau memberi tumpuan kepada pembuatan beg yang pelbagai rekaannya.

“Kemahiran sulaman kait hanya memerlukan asas mengait dan apabila sudah menguasainya terpulang si pembuatnya memilih produk bagaimana yang mahu ditekuni.

“Saya dulu di awal penglibatan pun tidak tahu memilih sebab lebih banyak menyudahkan kerja-kerja kraf yang mak buat,” katanya yang menjenamakan produknya dibawah label Nas@.

CABARAN BESAR

Ditanya mengenai cabaran untuk merealisasikan produk daripada benang kait beliau mengakuinya memang wujud sama ada sebagai hobi atau memenuhi tuntutan pelanggan yang menempah.

“Cabaran terbesar apabila melibatkan bahan mentah kerana lazim saya membelinya dari luar negara dan tempoh masa yang agak lama untuk sampai ke tangan.

“Ujian lain jika mahu menyiapkan rekaan customized, kerana akan mengambil masa lebih kurang dua minggu hanya untuk membuat penyelidikan sebelum proses pembuatan sebenar dilakukan.

“Sebabnya apabila sudah memulakan proses mengait harus dipastikan bahan asas mencukupi, warna sudah dikenal pasti, bentuk beg juga sudah diputuskan dan paling penting memenuhi apa yang dipersetujui bersama.

Bukan sekadar isu teknikal kraf tetapi perlu menguasai ilmu komunikasi yang baik dan kita benar-benar faham untuk menjelaskan mengenai material dan aksesori berkaitan.

“Saya menitik beratkan kepercayaan kerana di disitu wujudnya permintaan kerana beg yang digayakan hasil kreativiti kita itu akan dibelek dan diperhatikan banyak mata,” ujarnya yang turut dilantik sebagai tenaga pengajar kraf oleh beberapa agensi kerajaan.

Mendapat sokongan dan dorongan sepenuhnya daripada suami, Afni yang telah berada dalam industri sulaman kait secara serius lebih 20 tahun berkongsi kegembiraan kerana ibunya yang dulu menentang diawal pembabitan telah memberi restu.

“Keberadaan saya kekal dalam bidang ini juga untuk membuktikan kepada mak apa yang saya pilih ini walaupun bermula daripada hobi tetapi jika dibuat bersungguh-sungguh memberi pulangan yang baik bahkan memberi manfaat pula kepada kumpulan lain yang berminat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya