kambing peliharaan manja

Abu periksa, kawal ketat tetamu wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CUBA bayangkan anda masuk ke rumah seseorang dan perlu menjalani pemeriksaan.

Namun, agak mengejutkan kerana proses itu bukan dilakukan pengawal, sebaliknya haiwan yang tidak pernah digunakan dalam kawalan keselamatan iaitu kambing.

Demikian situasi yang perlu dilalui setiap tetamu di kediaman Muhamad Zulkarnain Ismail, 42, dan Suhana Othman, 41, di Bandar Seri Impian di Kluang, Johor.

Menurut Suhana, rutin pemeriksaan itu bermula sejak dua bulan lalu oleh kambing peliharaannya, Abu yang kini berusia enam bulan.

Katanya, antara tetamu yang sering diperiksa Abu ialah pekerja penghantar barang di samping kakitangan syarikat penapis air.

“Sejak kecil lagi Abu gemar mendekati tetamu, malah tidak takut dengan manusia kerana dibesarkan dalam rumah.

“Tingkah laku Abu sentiasa menghiburkan kami dengan yang terbaharu berlagak seperti anggota keselamatan dan memeriksa mana-mana tetamu yang masuk,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Peniaga krep durian itu berkata, pemeriksaan terhadap tetamu wanita lazimnya lebih lama kerana kecenderungan dan minat kambing jantannya kepada kaum hawa.

Kasih sayang tidak renggang

Jelas Suhana, Abu bukan sekadar haiwan peliharaan, sebaliknya kambing jenis Barbados itu sudah dianggap seperti anak bongsunya.

Katanya, walaupun Abu kini ditempatkan di luar rumah berbanding sebelumnya, di bahagian dalam kediaman, tetapi keadaan itu tidak sesekali merenggangkan kasih sayang yang terjalin selama ini.

Ujarnya, perubahan habitat Abu itu dibuat atas faktor kebersihan memandangkan tidak lagi dipakaikan lampin pakai buang.

“Sebelum ini Abu dipakaikan lampin tetapi dengan saiz fizikal yang melebihi 30 kilogram, tiada lampin di pasaran yang sesuai untuk kegunaannya.

“Sesekali kita ada membawanya ke kandang, tetapi Abu canggung di sana, malah sentiasa mengembek seperti rasa terancam,” katanya.

Menurut Suhana, Abu menetap bersama keluarganya sejak berusia dua hari, malah turut tidur sebantal, sekali gus membuatkan kambing itu menyangka rumah adalah habitat semula jadinya.

Lebih manja berbanding kucing

Suhana yang turut memelihara enam ekor kucing menyifatkan Abu paling manja berbanding si bulus.

Katanya, sifat manja itu didorong oleh cara penjagaan yang diterapkan sejak kecil.

Ujar ibu kepada Aeisya Qistina Muhamad Zulkarnain yang berusia 13 tahun itu, Abu masih menyusu melalui botol, malah sentiasa mahukan perhatian dan layanan seperti kanak-kanak.

“Orang selalu kata kucing haiwan manja tetapi dalam situasi saya, Abu yang lebih menunjukkan sifat itu.

“Mungkin sebab hubungan kami yang terlalu rapat dan sering melakukan rutin bersama termasuk mengikut saya menghantar stok krep durian atau keluar bersiar-siar,” katanya.

Suhana berkata, anak bongsunya itu juga gemar merajuk jika tidak dilayan atau dibawa bermain di taman.

Rezeki murah jaga Abu

Menceritakan detik permulaan memelihara Abu, katanya, kambing itu merupakan kepunyaan ibu bapanya dan diserahkan sejak berusia dua hari.

Katanya, haiwan itu terpaksa menumpang kasih sayang keluarganya akibat kematian ibu selepas dilahirkan.

Ujarnya, pengalaman menjaga Abu selama enam bulan merupakan kenangan terindah setelah berbelas tahun tidak menguruskan bayi.

Paling istimewa, kongsinya, kambing itu dibesarkan di kediamannya di kawasan taman perumahan dan bukan di kandang ternakan.

“Sebenarnya bukan Abu yang menumpang kasih sayang kami, sebaliknya kami yang menumpang rezekinya.

“Walaupun sudah 10 tahun menjual krep durian, produk saya kurang dikenali ramai, tetapi permintaan terhadapnya melonjak selepas sebulan menjaga Abu yang sebatang kara,” katanya.

Reda jika dikorbankan

Suhana reda jika ikatan kasih sayang dengan Abu terlerai di masa depan.

Katanya, mereka sekeluarga sudah bersiap-sedia dengan kemungkinan kambing itu dijadikan haiwan untuk ibadah korban.

“Saya hanya penjaga sementara dan jika sampai masanya Abu dijual untuk korban, saya reda.

“Mudah-mudahan dengan pengorbanan menjaga Abu, Allah SWT dapat mengampunkan segala dosa-dosa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya