Tulisan saya di ruangan ini minggu lalu mengenai rumah terbuka, seharusnya menjadi pesta silaturahim menerima pelbagai pandangan.
Ada yang suka ke rumah terbuka, bukan sebab nak makan tetapi menjadikan majlis sebagai platform cari jodoh.
Tak kurang yang juga yang melahirkan rasa geram bila ada tetamu yang suka, membazir makanan. Ambil banyak tapi tak makan.
Itu belum lagi yang datang bagaikan orang kelaparan. Jenis makan tak ingat orang belakang ni, memang kena mark.
Teguran saya di ruangan kecil ini bukan sembarono, sebaliknya berdasarkan pemerhatian sama ada di alam maya atau pun dunia realiti, dan berharap ia dapat mengajak pembaca berfikir bersama sejenak.
Sebab kita hidup bermasyarakat. Kalau segala-gala tempat dan lokasi kita pergi, kita buat macam rumah sendiri, memang tak kenalah.
Kata orang tak boleh di bawa ke majlis. Kalau isu tidak diberikan perhatian, dikhuatiri ia menjadi kebiasaan. Kalau terpuji tak mengapa, tetapi sebaliknya.
Dalam pada itu, usai Ramadan, saya perhatikan operasi kedai makan kembali rancak dengan kehadiran orang ramai khususnya anak muda yang datang makan pada lewat malam.
Mungkin sudah terbiasa pada Ramadan ‘bersahur’ waktu jam 10 dan ke atas. Siangnya kita berpuasa. Sekarang sudah masuk Syawal, tak kan nak bagi alasan sama? Sudah-sudahlah ‘bersahur’ tengah malam.
Tabiat makan larut malam ini sebenarnya boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan.
Lebih-lebih lagi sekiranya kita tidak menjalani gaya hidup seimbang.
Usia muda dan kadar metabolisme dikatakan masih tinggi, tidak seharusnya jadi alasan untuk kita tidak ambil kira isu kesihatan sebab usia hanyalah angka.
Kesilapan mengurus kehidupan boleh mengundang padah. Baru-baru ini, Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (NASAM), mendedahkan insiden strok atau angin ahmar dalam kalangan golongan muda dilihat kian meningkat dengan 15 peratus daripada kes membabitkan strok iskemik. (Strok iskemik berlaku apabila salur darah arteri ke bahagian otak tersumbat).
Sedangkan pada 2016, 40% daripada kes strok memerlukan kemasukan ke hospital melibatkan pesakit berusia 60 tahun ke atas.
Yang jelas, gaya hidup tidak aktif seperti merokok, kurang melakukan aktiviti fizikal dan tabiat pemakanan yang tidak sihat antara faktor penyumbang peningkatan peratusan itu.
Sesekali kalau balik kampung atau berjalan-jalan bersama teman, saya pun mengopi juga, tetapi tidaklah menjadikan ia sebagai kelaziman.
Majikan yang mengambil inisiatif menggalakkan pekerja bersenaman dan beraktiviti harus dipuji. Ia bukan sahaja untuk kesihatan individu tetapi penjimatan negara daripada segi kos kesihatan.
Perhatian dan prihatin ini besar ertinya buat pekerja. Bukan sahaja seronok tetapi kita pun rasa seolah-olah disayangi dan diambil peduli.
———–
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia.