WALAUPUN gajah dilihat sebagai haiwan gagah perkasa namun tetap ada mood kurang baik yang semula jadi.
Ada masa akan merajuk, degil, marah dan ada ketika sangat mendengar arahan tuannya.
Seperti dua ekor Gajah Asia di Zoo Negara, Siti dan Sibol yang dijaga oleh Mahut Gajah atau penjaganya iaitu Mohd. Fendi Radzuan, 41. Kedua-duanya ada tingkah laku moody pada waktu pagi sebelum diberi makan.
“Gajah seperti wanita kerana moody. Mood pagi sangat teruk. Kalau kita lihat ia goyangkan atau mengipas telinga bermaksud mood sangat baik sebaliknya kalau diam, telinga tegang dan belalai diletakkan di bawah, itu pasti ada sesuatu yang tidak kena.
“Ketika lapar, kalau gajah boleh dengar arahan, ia tidak akan usik makanan selagi kita tidak beri arahan. Tetapi, kalau mood tak baik, ia akan usik makanan dan sepahkan,” katanya kepada Seri.
Ujar Mohd. Fendi, jika haiwan lain boleh bermanja dan berkasih sayang tetapi gajah tidak sebegitu.
Gajah merupakan haiwan yang akan menganggap penjaganya sebagai tuan dan tidak boleh sebagai kawan. Sebab itu, beliau akan bersikap tegas dengan dua gajah betina yang dijaganya itu.
“Masa baik, gajah akan anggap kita kawan tetapi kalau sebaliknya, ia akan berubah menjadi lawan.
“Sebagai penjaga, kita akan bersikap tegas dan gajah akan tahu serta patuh pada tuannya. Apabila naikkan suara, ia akan ubah perangai jadi baik dan kawal kemarahan atau rajuknya sendiri,” katanya.
MANDI BOLEH KAWAL MOODY
Bagi mengawal keadaan moody Siti yang kini berusia 46 tahun dan Sibol, 47 tahun, Mohd. Fendi akan memandikan kedua-duanya untuk menyejukkan.
“Gajah suka main air, jadi cara paling mudah adalah mandikan untuk sejukkannya.
“Saya juga akan beri makanan kegemarannya seperti tebu, buah epal, betik dan sayur-sayuran. Ia akan kembali baik dan dengar arahan. Biasanya makanan akan diberi tiga kali sehari. Seekor gajah akan makan 300 kilogram makanan setiap kali makan,” katanya berat Siti dan Sibol kini cecah lebih 6 tan.
Berpengalaman lebih 10 tahun menjadi penjaga gajah, Mohd. Fendi pernah tercedera semasa mengawal haiwan herbivor itu.
“Saya pernah dihentak dengan gading dan tercedera.
“Setakat ini masih boleh mengawalnya. Tidak ada lagi yang teruk berlaku apabila menjaga dua ekor gajah betina ini, berbeza dengan mengawal gajah jantan.
“Penjaga kena faham apa yang gajah suka dan tidak suka. Kita tidak boleh terlalu percaya dengan perangainya yang kadang baik dan ketikanya kurang baik.
“Selalunya, elakkan untuk gajah melihat sesuatu yang ia takut. Siti dan Sibol akan jadi huru-hara, ‘angin’, bising dan lari sana sini apabila dapat detect sesuatu.
“Contohnya, gegaran lori yang lalu. Jadi, di situlah kita fahami. Itu tanda ia marah,” katanya.