Rindu Zack terlerai dek keegoan - Utusan Malaysia

Rindu Zack terlerai dek keegoan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Syawal banyak keistimewaan yang sayang sekali tidak dimanfaatkan ramai orang, setelah Ramadan berlalu.

Salah satu keistimewaan bulan ini, biasanya ia diisi dengan pelbagai aktiviti seperti pulang ke kampung halaman dan saling bermaafan sesama ahli keluarga, jiran tetangga dan teman-teman.

Kesempatan Syawal turut diambil Zakaria (bukan nama sebenar) untuk kembali semula kepada keluarga yang ditinggalkan sekian lama.

Zakaria yang hanya mahu dikenali sebagai Zack mengakui, Syawal tahun ini sangat bermakna untuk dirinya.

Setelah hampir tujuh tahun meninggalkan tanahair membawa diri kerana merajuk, tahun ini dia dapat berkumpul bersama ibu bapa dan ahli keluarga.

Zack berkata, apabila dikenang kembali kisah lalu, dia terasa amat-amat berdosa dan malu kepada kedua ibu bapanya.

“Sebagai anak, saya tidak sepatutnya berkecil hati atau merajuk dengan orang tua sendiri.

“Syukur, Alhamdulilah. Allah masih memberi peluang dan ke­sempatan untuk saya bertemu dan memohon keampunan ke­pada mereka,” ujarnya dalam per­temuan dengannya baru-baru ini.

Sempena Syawal, Zack nekad melupakan kisah lalu dan mahu menghabiskan masa bersama orang tuanya.

Menyingkap kisah lalu, menurut Zack setiap keluarga pastinya mempunyai cerita masing-masing, tidak terkecuali dirinya.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini mempunyai seorang abang dan seorang kakak.

Akui Zack, dia membawa diri ke luar negara berikutan merajuk selepas ibu dan bapa tidak bersetuju dengan niatnya untuk memilih bekerja daripada menyambung pengajian.

Biasalah ikut darah muda. Usianya ketika itu memasuki 18 tahun dan memutuskan untuk membawa diri ke Selangor dan bekerja di sebuah kilang di Shah Alam.

Selepas dua tahun menimba pengalaman sebagai pekerja kilang, Zack berhijrah ke Australia dan bekerja sebagai pemetik buah.

Menurut Zack, sebab utama dia memilih untuk ke luar negara mengikut kawan-kawan yang lain bukanlah tertarik dengan gaji lumayan ditawarkan, tetapi lebih kepada ingin membawa diri.

“Khabarnya indah, tetapi realiti sebenar sebagai pemetik buah hanya mereka yang melaluinya sahaja yang tahu.

“Bayangkan saya terpaksa berkerja keras untuk mendapatkan hasil lumayan dan ianya bukan sesuatu perkara yang mudah.

“Mula-mula datang timbul juga rasa kesal kerana perlu bersusah payah, tetapi bila sudah serasi dengan kerja ini, ditambah pula dengan perasaan marah yang terbuku, semangat jadi lain macam,” kongsinya.

Tuah menyebelahi Zack.

Sepanjang tiga tahun berada di sana, Zack bertemu dengan Sarina (bukan nama sebenar) anak kepada salah seorang ejen pencari kerja di Australia yang juga merupakan rakyat Malaysia.

Kurang enam bulan berkenalan, mereka sepakat mendirikan rumah tangga.

Setelah dua tahun berumahtangga mereka dikurniakan sepasang anak kembar perempuan.

Walaupun masih muda ketika itu, atas kepercayaan dan kesungguhan ditunjukkan Zack, bapa mentua menyerahkan tanggungjawab kepadanya menguruskan salah satu daripada perniagaan dalam perkhidmatan penghantaran.

Berkat kerja keras Zack dan sokongan bapa mentua, perniagaan dijalankan semakin maju.

“Saya kaya harta dan hidup bahagia bersama isteri dan anak-anak yang comel.

“Namun entah kenapa, seolah-olah masih ada kekurangan dalam diri. Kebelakangan ini, saya sering mimpikan ibu dan ayah,” ceritanya.

Akui Zack,sepanjang tempoh meninggalkan kampung halaman segala khabar berita mengenai kedua ibu bapanya diketahui melalui kakaknya.

Dalam tempoh itu, sudah ba­nyak kali abang dan kakak memu­juknya untuk pulang, namun pelbagai alasan diberi.

Sehing­galah pada Ramadan tahun ini, dia terbuka hati untuk kembali semula ke tanahair.

Segala persiapan termasuk tiket penerba­ngan balik diuruskan lebih awal bagi memastikan niatnya pulang menyambut hari raya bersama ibu ayah tercapai.

“Pada awalnya, timbul keraguan andai ibu dan ayah tidak menerima kehadiran apalagi memaafkan saya.

“Namun abang dan kakak menyakinkan, mereka tidak pernah berkecil hati dengan saya,” ujarnya.

Sehinggalah pada Ramadan ke 28, Zack pulang ke kampung bersama isteri dan dua anaknya.

Lobi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa, menjadi saksi kerinduan seorang anak kepada ibu dan ayah terubat.

Zack mengakui, selama ini dia terlalu ego, pemarah dan mengikut darah muda sehingga melupakan jasa dan kebaikan ibu ayahnya selama ini.

Mengakhiri perbualan Zack sempat menitip pesan, hargailah ibu bapa sementara mereka masih bernyawa.

“Saya bersyukur kerana masih mempunyai ibu bapa untuk saya peluk cium dan memohon ampun kepada mereka.

“Sama-sama kita menghargai orang di sekeliling terutama kedua ibu ayah selagi mana hayat di kandung badan,” ujarnya.

Tambah Zack berdasarkan pengalaman serta merujuk kepada individu yang arif soal-soal agama semasa berada di luar negara, seorang anak mempunyai hak untuk merajuk terhadap ibu bapa mereka sebagai seorang yang mempunyai perasaan.

Bagaimanapun, kata Zack, walaupun seseorang itu mempunyai hak berbuat demikian, namun wajib ke atas mereka menuntut hak itu dengan lemah lembut, penuh sopan santun, kemuliaan dan penghormatan kepada orang tua.

“Saya benar-benar insaf dan menyesal kerana menderhaka kepada kedua ibu ayah selama hampir tujuh,” ujarnya dengan nada sebak.

Sesungguhnya, derhaka kepada orang merupakan perbuatan yang sangat dibenci Allah SWT.

Sebab itu, Islam memandang tinggi peranan orang tua, kerana merekalah yang membesarkan kita sedari kecil hingga dewasa.

Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud:

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.
Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanm, maka janganlah engkau berkata, kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Al-Isra:2).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya