Dalam kehidupan yang sibuk ketika ini, ramai mula mencari ketenangan dengan mendekatkan diri pada suasana lebih alami.
Jadi, tidak hairanlah apabila semakin ramai pencinta dekorasi mula beralih kepada hiasan dalaman rumah yang bersifat lebih semula jadi dan diselitkan dengan unsur-unsur alam.
Antara konsep dekorasi yang banyak menyelitkan unsur alami dan semula jadi ialah Bohemian atau singkatannya Boho.
Konsep berkenaan turut menjadi pilihan pencipta kandungan hiasan rumah di media sosial, Nur Nadia Khairudin bagi menata hias kediamannya bersama suami, Hazman Afandi.
Sebagai kelainan, konsep Bohemian itu dipadankan dengan sedikit sentuhan moden.
“Memilih Bohemian kerana saya minat elemen-elemen dalam konsep itu yang menggunakan unsur-unsur alam seperti kayu atau rotan.
“Bagaimanapun, saya masih mengekalkan susun atur yang moden,” katanya kepada Seri.
Mengulas lanjut, kata Nur Nadia, dengan konsep yang dipilih itu, dia tidak perlu bimbang tentang penggunaan warna memandangkan konsep berkenaan ‘meraikan’ warna.
Katanya, konsep itu membolehkan pelbagai warna digunakan dalam sesuatu ruang, namun pemilihannya perlu dipertimbangkan agar tidak memberi kesan kepada keluasan ruang.
Bercakap mengenai elemen penting yang perlu ada pula, katanya, perabot kayu atau rotan memainkan peranan penting dalam melengkapkan tema berkenaan.
“Antara elemen penting untuk melengkapkan tema ini ialah pemilihan perabot atau barangan hiasan berasaskan kayu atau rotan.
“Penggunaan pokok-pokok atau dedaun hijau boleh membangkitkan kesan semula jadi di sesuatu ruangan,” kongsinya.
Mengulas mengenai penjagaan perabot pula, jelas Nur Nadia, perabot kayu dan rotan sememangnya mudah ‘menjemput’ habuk.
“Bagi saya tidak susah cuma kena rajin sebab barangan rotan akan keluar debu atau habuk. Biasanya saya lap dua minggu sekali dengan kain,” katanya yang tinggal di pangsapuri berkeluasan 918 kaki persegi.
Berkongsi tips pemilihan tema yang sesuai bagi sesuatu ruangan, katanya, tema minimalis sangat sesuai untuk memberi ilusi ruang lebih luas. -UTUSAN