Konsep rumah ladang (farmhouse) antara yang menjadi pilihan ramai penggemar dekorasi kediaman ketika ini.
Namun, berbeza bagi Nur Syarina Abdul Hakem yang memilih untuk menggabungkan konsep rumah ladang dengan sedikit sentuhan moden supaya kelihatan malar segar.
Konsep rumah transisi moden rumah ladang menjadi pilihannya yang menggunakan elemen kayu dan warna putih sebagai asas dekorasi.
“Saya minat sangat dengan konsep rumah ladang tapi sebab tidak mahu kelihatan terlalu rustik, jadi saya cuba gabungkan dengan elemen moden sedikit.
“Melalui konsep yang dipilih ini, saya cuba untuk mewujudkan dekorasi yang tak lapuk dek zaman dan sesuai dengan peredaran masa,” katanya kepada Seri.
Hiasan lengkung
Katanya, bagi mencapai konsep berkenaan secara keseluruhan, beberapa elemen penting perlu diberi perhatian.
Pertamanya adalah perlu ada unsur-unsur kayu serta pemilihan warna lantai yang sesuai.
“Untuk rumah saya, saya pilih lantai jenis SPC bentuk herringbone dengan warna oak cerah.
“Hiasan lengkung pula diletakkan pada kabinet, jalan ke dapur basah dan kering dan siling untuk mewujudkan suasana moden kontemporari,” ujarnya lagi.
Tambahnya, pemilihan perabot juga dibuat dengan teliti kerana ia perlu mempunyai unsur-unsur kayu untuk melengkapkan konsep yang dipilih.
Ditanya daripada segi kekurangan tema yang dipilih, katanya warna-warna asas seperti warna putih dan cerah yang digunakan memerlukan penjagaan rapi.
Apatah lagi jika memiliki anak kecil yang sering menjadikan dinding atau sofa sebagai tempat melepaskan kreativiti mereka.
“Bila ada anak kecil ini memang akan ada masanya mereka terkotorkan sofa, langsir atau kabinet.
“Jadi, kami memang sudah sedia maklum tentang ini. Kami sudah persiapkan segala peralatan dan alat semburan yang sesuai untuk membersihkan kotoran berkenaan,” kongsinya.