Jadikan openhouse pesta silaturahim - Utusan Malaysia

Jadikan openhouse pesta silaturahim

LAKSAMANA Saad (kiri) bersama ahli keluarganya menghiasi rumah pusaka diwarisi mereka di Kampung Abi Tengah, Kangar, Perlis bagi menyambut ketibaan saudara-mara semasa Aidilfitri. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“AKU ‘puasa’ menjenguk media sosial artis. ‘Makan hati’ tengok orang buat open house. Meriah macam pesta,” keluh kawan saya berkongsi cerita selebriti, sewaktu kami minum petang bersama baru-baru ini.

“Dah kenapa nak makan hati, namapun selebriti. Entah-entah mereka tidak keluarkan duit sebab orang terkenal ni, ramai pihak suka menaja. Teknik mengambil video yang cantik dan betul pun, mungkin menjadikan acara biasa dianjurkan, nampak luar biasa. Tak buat open house pun kita boleh beraya. Buat cara kita, cara orang biasa-biasa,” panjang ulasan saya, mahu menenangkan dirinya yang kelihatan sugul sebab suaminya hanya membenarkan penganjuran open house secara kecil-kecilan, dihadiri adik beradik dan jiran dua tiga buah rumah.

Alasan suaminya realistik. Harga barang basah naik mencanak. Kalau tahun sebelum ini dua tiga ribu boleh jamu ramai orang, hari ini, dengan harga sama, beberapa kerat sahaja yang boleh diundang.

“Tak kan nak buat pot luck. Liat orang nak datang sebab kena bawa makanan. Kenalah istimewa sikit, nak jamu orang kot. Tak kan mihun dan mi kari je?.” Katanya yang memang suka menjawab, lebih-lebih lagi kalau sesuatu itu tidak berkenan dihatinya.

Ringan sahaja mulut nak menjawab, tanpa rumah terbuka pun Syawal tetap kita lalui. Tetapi tidak sampai hati sebab niatnya murni, mahu menjamu tetamu.

Hari ini, realitinya begitulah. Rumah terbuka seolah-olah tiket, menjemput orang ke rumah kita. Kalau tidak, tetamu tak mahu berkunjung ke rumah kita, walaupun pada Hari Raya.

Sebenarnya, segala-galanya berpunca daripada sikap masyarakat yang suka mengkomersialkan sesuatu hingga ia seolah-olah jadi sesuatu yang wajib.

Minda kita sudah diset, kalau bukan open house, makanan dijamu pun kurang meriah. Kita ikat acara itu dengan pesta makan-makan, sedangkan rumah terbuka pesta silaturahim.

Mindset itu turut mengundang ‘padah’ bila kita tuan rumah naik segan menyajikan sajian-sajian ‘biasa-biasa’. Kita lupa niat kita, adakah kita mahu bersilaturahim, bersedekah atau ikut trend?

Tahun 80an dulu, tiada pun istilah rumah terbuka. Setiap rumah sentiasa mesra menerima kunjungan.

Makanan dihidangkan pun sekadar ala kadar sebab yang paling penting kita dapat bersua muka dan bertukar-tukar cerita.

Sambut raya pun tak sampai sebulan. Seminggu dua pun dah lebih daripada memadai.

Hari ini, lepas Syawal pun masih mahu ‘kredit’ nama rumah terbuka sebab di situ ada lubuk pelbagai menu.

Bagi yang mahu buat jamuan meraikan tetamu, dalam zaman serba mahal dengan kos hidup meningkat, buatlah ikut bajet.

Cadangan potluck pun elok juga, tetapi suka saya sarankan sebelum ingin membawa makanan, maklumkan kepada tuan rumah terlebih dahulu kerana itu lebih manis.

Kalau saya, saya suka berkunjung di luar lingkup open house sebab selalunya tuan rumah akan sibuk melayan tetamu.

Sudahnya kita hanya dapat berborak dengan suami dan anak-anak sendiri. Nak bercerita banyak, kena setlah hari lain pula.

——
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya