Jadi pengacara perlu berilmu - Utusan Malaysia

Jadi pengacara perlu berilmu

Fara Hanim Razak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Fara Hanim Razak, 33 bukanlah nama baharu dalam arena pengacaraan tanah air. Apatah lagi program dihoskan gadis ini menjurus informasi membabitkan wanita.

Memiliki pakej lengkap dengan personaliti menawan, figura berhijab ini sememangnya mempunyai tarikan sendiri.

Ujarnya kepada saya, selain dunia pengacara, beliau kini giat memberikan fokus kepada bidang perniagaan berkonsepkan produk kosmetik yang dipeloporinya.

Pengasas farahanimbeauty ini mesra orangnya.

Ketika sesi fotografi, dia peramah dan petah berbicara.

Pemegang Iijazah Perhubungan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM), ini berkata minat dalam bidang keusahawanan, menyebabkan beliau memberanikan diri mencuba nasib dalam perniagaan kosmetik pula.

Baginya, wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan.

Yakin dengan jenama nama sendiri, Fara mahu farahanimbeauty menjadi legasi perniagaan keluarga khususnya untuk anak-anak.

“Persaingan bidang ini sangat banyak. Saya sendiri mengalami jatuh bangun apatah lagi negara baru sahaja diserang Covid-19 yang hampir melumpuhkan kegiatan ekonomi kita.

“Syukur kerana syarikat kecil saya tubuhkan kira-kira lima tahun lalu, saya dapat mengatasi kesulitan kewangan dan membantu para kakitangan saya. Alhamdulillah, perlahan-lahan saya bangkit semula dan mempromosi semula jenama saya.

“Walaupun hasil jualan tidaklah meletop seperti jenama-jenama lain tetapi permintaan itu ada dan semakin banyak. Ini kerana kebanyakan pelanggan saya adalah tetap dan mereka akan mengulang membeli dan kemudian berkongsi kebaikan dengan pengalaman baharu,” ujarnya.

Baginya, persaingan itu lazim dalam perniagaan. Pun begitu, kelainan dengan mengekalkan kualiti produk penting supaya pelanggan lama kekal membeli dan yang baharu bertambah.

Fara tidak kejar populariti

Rezeki dilamar menjadi pengacara berlaku secara kebetulan.

Mengimbau kenangan, katanya pengacaraan yang direntasnya kini tersasar jauh daripada matlamat dan visi asal beliau untuk jadi cikgu.

“Memang minat sangat dengan karier sebagai cikgu, tetapi nampaknya tidak berkesempatan,” katanya.

Fara berjinak-jinak untuk mendekatkan diri dalam bidang pengacaraan sejak di Universiti.

Namun, selepas tamat pengajian, beliau terlebih dulu menabur khidmat di sebuah syarikat minyak dan gas.

Pun demikian, isteri kepada seorang doktor gigi itu sempat menghadiri pelbagai uji bakat untuk menguji sejauhmana kemampuannya.

“Selepas beberapa kali berusaha dan mencuba, rezeki saya datang selepas bertahun-tahun menunggu. Penampilan sulung saya adalah dalam rancangan Soal Wanita ketika saya berusia 25 tahun,” katanya.

Mengakui mengacara bukanlah sesuatu yang mudah.

Fara bekerja keras untuk mengasah bakat dan menimba ilmu termasuklah dengan hadir ke kelas-kelas untuk memantapkan kemahiran.

Fara akui beraksi mengacara seorang diri memang cabaran besar buatnya.

Bagaimanapun, dia mengambil pendekatan sering berbincang dan bertukar pandangan dengan penerbit untuk idea lebih baik dan berkesan.

Berbicara soal populariti, Fara berkata, pembabitannya dalam bidang penyiaran sebagai pengacara hanya untuk mengetengahkan bakat.

“Pembabitan saya sebagai pengacara bukan untuk mengejar populariti sebaliknya sudah cukup gembira apabila kemunculan diterima baik penonton,” katanya.

Fara sentiasa yakin bakat adalah keutamaan dan populariti akan datang kemudian selepas berjaya mempersembahkan bakat sebenar.

“Pengacara perlu berilmu dan sentiasa sedia memperbaiki kelemahan diri.

“Manusia tidak sempurna dan teguran penting untuk muhasabah diri,” katanya.

Si kembar curi perhatian

Memiliki hampir sejuta pengikut dalam laman Instagram membuatkan apa sahaja yang dimuat naik oleh wanita berkulit mulus itu menarik perhatian para pelayar.

Pastinya yang paling menonjol adalah kelibat dua anak kembar perempuannya Amina Raissa Arif Aizudin (Nana) dan Amira Raissa Arif Aizudin (Rara) yang kini berusia tiga tahun yang dikenali dengan #RaissaTwins.

Ujar Fara, sebenarnya sama ada di pihaknya mahupun keluarga suaminya, tiada langsung genetik kembar.

“Bila difikir-fikirkan balik, kemungkinan besar semasa saya mengandung, saya sangat kerap dan suka melihat foto kanak-kanak kembar. Orang sebut sebagai ‘kenan’,” katanya.

Anak kelahiran Jengka, Pahang itu berkata, ketika mengandung si kembar, cabaran terbesar yang dihadapinya adalah terpaksa berjauhan dengan suami.

“Bayangkan, saya hadir pemeriksaan di hospital seorang diri. Waktu itu saya mampu menaiki Grab sahaja ke sana. Apabila lapar, saya perlu merangkak pergi ke peti ais untuk mengambil makanan dan susu.

“Memandangkan bayi kembar membesar dalam satu rahim, jadi saya perlu makan dan minum sebanyak mungkin kerana mereka perlu berebut untuk membesar,” imbasnya.

Bagaimanapun, dengan izinNya, segalanya berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi. Alahan semasa berbadan dua juga pun tidaklah seteruk mana.

Bekas model Muslimah ini mengakui, transisi dua zuriatnya memerlukan beliau bersabar, berfikiran positif dan tidak boleh merungut dengan amanah daripada Allah SWT.

“Ya, kadangkala saya mengaku, memang akan rasa down dan seakan-akan depresi, namun saya tenangkan diri kerana bukan semua orang mempunyai rezeki menjaga anak kembar,” katanya.

Mengenai nama samaran ‘tembikai‘ yang diberikan kepada ##RaissaTwins, Fara berkata, nama itu hanya sekadar suka-suka saja.

“Selepas habis pantang, muka Nana dan Rara sangat bulat. Sebab itu saya gelarkan mereka ‘tembikai’. Tak sangka ramai yang suka sehingga segala keperluan harian seperti baju, seluar, sepit rambut ada corak tembikai,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia mahu perniagaannya akan menjadi legasi anak-anaknya suatu hari nanti.

Nasihatnya pada wanita muda di luar sana khususnya anak Felda agar sentiasa yakin dan berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap yang dilakukan.

“Jika anda mahu jadi usahawan, lakukan sebaik mungkin. Mula dari sekolah dengan belajar bersungguh-sungguh.

“Jangan abaikan ibu bapa dan adik beradik apabila sudah berjaya. Ingatlah tempat susah senang kita dari kecil. Bantu keluarga sebaik mungkin.

“Bagi yang bergelar isteri, jadikan keluarga sebagai kekuatan utama,” katanya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya