Ayam masak hitam selalunya dihidangkan masa kenduri kahwin atau apa saja keraian sebagai lauk yang boleh dimakan dengan pelbagai jenis nasi.
Bahan-bahannya banyak menggunakan herba dan rempah ratus yang biasanya digunakan dalam masakan warisan seperti halia, cengkih, pelaga dan bunga lawang, menjadikan hidangan ini enak rasanya.
Ia boleh dimasak dengan cili supaya rasa pedas bercampur dengan rasa manis-manis dan masin atau betul-betul pedas. Kalau ada anak kecil sebaiknya kurangkan cili supaya mereka juga dapat menikmati hidangan ini. Rasa pedas daripada cili kering boleh diubahsuai mengikut citarasa masing-masing.
Selain ayam, boleh juga gunakan daging sebagai bahan utama atau sumber lautan lain yang sesuai seperti udang atau ketam. Semuanya terserah kepada selera anda dan citarasa sekeluarga.
Selamat mencuba!
Bahan-bahan:
Bahan Perapan
1 ekor ayam yang telah dibersihkan dan dipotong (Potongan ikut kesesuaian
hidangan).
3 sudu besar sos tiram.
6 sudu besar kicap lemak manis.
Nota : Perapan perlu mengambil masa sejam ke atas untuk betul-betul meresap.
Bahan Tumisan
2 batang serai yang diketuk-ketuk untuk rasa dan aromanya.
2 kuntum bunga lawang.
1 kulit kayu manis.
3 biji buah pelage.
4 biji bunga cengkih.
Bahan untuk dikisar
7 tangkai cili kering yang telah dibuang bijinya dan direndam dalam air panas.
2 biji bawang besar.
5 ulas bawang putih.
2 inci halia.
Bahan Tambahan Rasa
2 sudu perisa tambahan.
Kicap Lemak Manis ikut citarasa sendiri.
Sedikit minyak masak untuk menumis.
2 sudu gula merah.
2 sudu kerisik.
Setengah mangkuk kecil air asam jawa.
1 mangkuk kecik air panas.
Cara memasak adalah seperti berikut:
1) Mula-mula, panaskan minyak dan tumiskan lima bahan tumisan sehingga naik bau. Kemudian masukkan bahan bahan-bahan kisaran tadi dan teruskan tumis sehingga pecah minyak.
2) Setelah pecah minyak, masukkan ayam yang telah diperap dan kacau sehingga semuanya sebati.
3) Biarkan ayam masak sebentar dan letak bahan-bahan tambahan rasa tadi. Pastikan semuanya cukup mengikut selera kita.
4) Tunggu sehingga pekat sedikit dan pecah minyak, barulah api ditutup dan sedia untuk dihidangkan.
5) Masakan ini sesuai untuk dimakan bersama nasi putih, nasi minyak atau nasi tomato.