Kalau berkunjung ke Singapura tidak sah rasanya kalau tidak ‘pekena’ sup tulang merah yang sangat terkenal di negara republik itu.
Namun, sebenarnya ia tidaklah susah untuk dimasak, malah bahan-bahannya juga hanyalah bahan asas yang sedia ada di rumah.
Sous Cef Hotel Sheraton Petaling Jaya, Firdaus Kamaruddin berkongsikan resipi ringkas, penyediaan sup tulang merah.
Walaupun ringkas, namun rasanya tetap sahaja enak.
Bolehlah dijadikan hidangan untuk tetamu di musim perayaan ini, kan?
Bahan-bahan
1 kilogram tulang bahagian kaki kambing atau tulang lembu.
1/4 senduk tomato sos.
1/2 senduk cili sos.
1/4 senduk minyak untuk menumis.
5 ulas bawang merah.
5 ulas bawang putih.
1 inci halia.
1 sudu besar jintan manis.
1 sudu besar jintan putih.
1 sudu besar serbuk ketumbar.
Sedikit rempah kasar 4 beradik (bunga lawang, buah pelaga, cengkih dan kayu manis).
Garam secukup rasa.
Langkah penyediaan
Rebus daging sehingga empuk.
Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan empat beradik sehingga naik bau.
Kemudian masukkan jintan manis, jintan putih dan serbuk ketumbar.
Setelah pecah minyak, masukkan air anggaran satu liter.
Apabila air sudah mendidih masukkan sos cili, sos tomato dan garam secukup rasa.
Boleh masukkan daging dan masak sehingga sedikit pekat.
Sedia untuk dihidangkan.