DUA minggu lagi umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidilfitri tetapi sudah ada segelintir pasangan yang makan hati berulam jantung kerana tidak dapat menyambut Syawal bersama keluarga tersayang di kampung.
Walaupun giliran kali ini milik isteri, namun dengan mudah peraturan itu dilanggar si suami demi beraya di kediaman keluarganya.
Kalau pasangan saling keras kepala dan tidak mahu beralah, maka berlakulah perang dingin gara-gara tiada kata sepakat untuk pulang ke kampung siapa.
Bagi isteri yang malas bergaduh, terpaksa akur sahaja dengan kehendak suami, sedangkan hati sendiri terluka akibat memendam rasa kecewa dan marah.
Pendakwah terkenal, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim berkata, insiden perang balik raya tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan suami isteri kerana padahnya boleh menyebabkan keluarga kedua belah pihak bermasam muka.
Katanya, Ramadan merupakan bulan kasih sayang dan setiap pasangan seharusnya berbincang serta berlapang dada dalam banyak perkara.
Beliau turut menegaskan yang perbincangan mengenai giliran pulang beraya perlu dimuktamadkan daripada awal perkahwinan lagi dan bukan dilakukan secara tergesa-gesa pada Ramadan atau menjelang Syawal.
Katanya, langkah tersebut penting kerana hal-hal berkaitan giliran itu akan terpakai dan berterusan hingga pasangan suami isteri menginjak ke usia tua.
“Kalau semua patuh kepada jadual penggiliran ditetapkan pada awal perkahwinan, pasti tiada pasangan yang akan bergaduh hanya kerana isu remeh seperti balik kampung.
“Punca utama berlakunya perbalahan ini adalah kerana suami atau isteri mungkir janji dan tidak ikut perjanjian yang dibuat daripada awal mereka berumah tangga,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Amal sistem giliran, ganti
Sistem penggiliran bagi pulang ke kampung bagaimanapun boleh dipinda jika berlaku musibah yang tidak dapat dielakkan.
Kata Mohd. Izhar Ariff, pindaan boleh dibuat dalam kes-kes tertentu termasuk jika ada ahli keluarga pasangan yang sakit atau uzur dan ada keperluan untuk mereka beraya di sana bagi tujuan ziarah.
“Contoh lain ialah jika keluarga di sebelah isteri tidak ramai, jadi mungkin suami boleh bertolak-ansur untuk pulang ke rumah mentua bagi membawa lebih kebahagian dan keceriaan pada Aidilfitri.
“Memandangkan giliran sudah berubah, maka pasangan disarankan melaksanakan sistem penggantian pula iaitu menggantikan dua kali raya di rumah keluarga mereka selepas dua kali beraya di kediaman mentua,” katanya.
Usah zalimi pasangan, keluarga
Mohd. Izhar Ariff berkata, setiap keputusan dibuat dalam isu pulang beraya perlulah dilakukan secara adil dan bijaksana.
Katanya, suami atau isteri usah bersikap gopoh atau mementingkan diri, sebaliknya saling bertolak-ansur.
“Allah SWT tidak suka orang yang mementingkan diri, oleh itu apa jua keputusan pastikan anda tidak berlaku zalim kepada pasangan dan keluarga.
“Hargailah pasangan anda dan bersikap adil bagi membolehkan masalah perang raya dapat diselesaikan dengan harmoni tanpa melukakan hati sesiapa,” katanya.
Suami jangan guna kuasa veto
Mohd. Izhar Ariff turut menegur kalangan suami yang menggunakan kuasa veto bagi memastikan isteri dan anak-anak beraya di rumah keluarganya.
Katanya, tindakan menghukum isteri sebagai derhaka hanya kerana ingkar arahan untuk pulang ke kampung adalah tidak wajar sama sekali dan tidak seharusnya dijadikan normalisasi dalam masyarakat.
“Isteri memang perlu patuh kepada suami dan mereka yang ingkar termasuk dalam kalangan orang derhaka, tetapi saya beri peringatan kepada suami agar jangan cepat melatah dan menggunakan kuasa veto yang ada.
“Menuduh isteri derhaka tidak akan menyelesaikan peperangan antara mereka, sebaliknya menambahkan lagi kekusutan dalam keluarga menjelang Aidilfitri,” katanya.
Sambut raya berasingan
Menyambut Syawal secara berasingan bukan lagi asing dalam masyarakat hari ini terutama bagi segelintir pasangan yang tidak mahu beralah dalam isu perang balik raya.
Namun kata Mohd. Izhar Ariff, keputusan itu kurang bijaksana.
“Apa faedahnya menjadi suami isteri jika berbeza haluan termasuk dalam isu pulang beraya?
“Pokok pangkalnya ialah kedua-dua pihak perlu saling hormat-menghormati,” katanya.
Bercuti untuk lari daripada perang
Sementara itu, kaunselor perkahwinan dan keluarga, Hushim Salleh berkata, ada juga pasangan memilih bercuti ke pulau peranginan mahupun luar negara kerana gagal mencapai kata sepakat.
Bagaimanapun katanya, tindakan lari daripada perang balik raya tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya membuat pasangan memendam rasa dan bermonolog dalaman.
Lebih buruk, ujarnya, langkah itu turut mendidik anak-anak untuk melupakan amalan ziarah-menziarahi dan pulang ke kampung halaman pada Aidilfitri.
“Roh Aidilfitri ini luar biasa, walaupun sekadar balik sehari, sudah cukup membahagiakan seseorang kerana berpeluang berjumpa ibu bapa dan sanak saudara masing-masing.
“Jika tradisi itu ditukar dengan makan angin, bukan sahaja pasangan tidak gembira, malah anak-anak akan menganggap tiada keperluan untuk mereka beraya dengan ibu bapa di masa depan,” katanya.
Panggilan video pengubat rindu di pagi raya
Hushim berkata, sambutan raya menerusi panggilan video yang menjadi pilihan rakyat semasa pandemik Covid-19 lalu, boleh diteruskan lagi kini bagi pasangan yang masih berperang dan memilih untuk tidak balik ke kampung.
Katanya, keputusan beraya di kediaman sendiri adalah yang terbaik dalam peperangan itu terutama jika berdepan isu kewangan.
“Apa guna berperang balik raya jika kewangan pun tidak mencukupi hingga terpaksa pula berhutang.
“Kalau tidak boleh pulang ke kampung, buatlah panggilan video dengan insan tersayang,” katanya.