Ketagih dadah angkara suami - Utusan Malaysia

Ketagih dadah angkara suami

Dia dipaksa untuk sama-sama mengambil dadah oleh bekas suaminya itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengalaman Ramadan dua tahun berturut-turut tanpa insan tersayang terasa hambar dan pilu. Salima (bukan nama sebenar), dari Slim River, mengakui jiwanya meronta-ronta ingin bertemu dua anak lelakinya berusia empat bulan dan dua tahun setelah dihantar ke pusat pemulihan.

Bagaimanapun Ramadan tahun ini berbeza apabila dia telah tamat menjalani program pemulihan dan membolehkannya menjalani ibadah puasa bersama keluarga.

Minggu ini saya kongsikan kisah Salima, yang terpaksa melalui tempoh tragik sepanjang bergelar isteri dengan seorang bekas penagih dadah yang kemudiannya menjadi penagih semula.

Bagaimanapun, Salima berjaya diselamatkan keluarga dan dihantar ke pusat pemulihan.

Kisah hidup Salima bermula selepas berumahtangga dengan Anuar (bukan nama sebenar), empat tahun lalu.

Walaupun mengetahui status lelaki itu dan mendapat bantahan keluarga, Salima nekad untuk menjadikannya suami.

Salima percaya Anuar boleh berubah.

Dia tidak pernah sekalipun terfikir bahawa keterbukaannya menerima Anuar yang dikatakan sudah insaf daripada menjadi penagih dadah akan menjerat dirinya sendiri.

Memulakan cerita, kata Salima, hanya selepas dua bulan berkahwin sikap sebenar Anuar terserlah.

Anuar rupa-rupanya masih menagih.

Pada awalnya bekas suami menafikan sikap buruknya itu dan mengakui telah berubah.

Tetapi lama-kelamaan dia tidak mampu lagi menyembunyikan tabiat buruknya.

Anuar bukan sahaja memeras ugut Salima agar menyerahkan kesemua wang gaji kepadanya, malah turut menjadi mangsa pukul sekiranya keinginan tidak dipenuhi.

Ketika itu timbul penyesalan dalam diri. Namun untuk Salima berundur sudah terlambat apabila dia disahkan hamil dua minggu.

Disebabkan itu Salima mengambil keputusan untuk terus mempertahankan rumah tangga mereka walaupun sedar hari-hari yang dilalui bagai hidup dalam neraka.

Keadaan Salima yang hamil langsung tidak mengubah sikap baran Anuar.

Ketika Salima sarat hamil, , kaki tangan Anuar masih singgah di tubuh kecilnya.

Sepanjang tempoh berpantang selama dua bulan Salima diletakkan di bawah jagaan kedua orang tuanya di kampung.

Sepanjang dua bulan berpantang, Anuar langsung tidak pulang ke kampung.

Ketika itu kata Salima dia benar-benar tertekan.

Bukan sahaja tertekan dengan keadaan suami, pada masa sama malu terhadap keluarga sendiri selepas apa yang berlaku dalam rumah tangganya.

Bagaimanpun kedua ibu bapanya tidak pernah mengungkit perkara itu.

Mereka menerima Salima dan anaknya dengan hati terbuka dan penuh kasih sayang.

Selepas habis berpantang, Anuar muncul untuk membawa Salima pulang semula ke rumah mereka di Johor Bharu.

Walaupun berat melangkah pergi, Salima kuatkan semangat selepas suami berjanji akan berubah.

Langit tidak selalu cerah.

Kurang tiga bulan kembali hidup bersama, Salima diuji lagi.

Salima terpaksa mengambil alih tugas ketua keluarga sepenuhnya apabila bekas suami hilang punca pendapatan selepas diberhentikan kerja.

Cerita Salima lagi walaupun sebelum ini bekas suami memang mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, kali ini dia benar-benar tertekan.

Ini kerana apabila suami semakin selesa menganggur dan tiada usaha mencari pekerjaaan itu, kembali menagih dan terlibat kegiatan mengedar dadah.

Ketika itu dia nekad untuk berpisah. Namun terpaksa melupakan sekali lagi hasratnya itu kerana dia disahkan hamil anak kedua.

Sehari, seminggu sehinggalah sampai saat Salima melahirkan anak kedua mereka, dia diuji dengan ujian lebih berat.

Semasa berpantang Salima tidak dibenarkan pulang ke kampung. Semasa tempoh itulah, Salima dipaksa untuk sama-sama mengambil dadah oleh bekas suaminya itu.

Hampir tiga bulan hidup mereka sekeluarga tidak terurus.

Bagaimanapun, Salima berjaya diselamatkan keluarganya.

Salima dihantar ke pusat pemulihan. Bagaimanapun Anuar dipenjara lapan tahun dan dikenakan sebatan kerana memiliki dan mengambil dadah.

Sepanjang tempoh dua tahun di pusat pemulihan, anak-anak di letak di bawah jagaan kedua ibu bapanya di kampung.

Salima mulai insaf dan sedar akan kasih sayang kedua ibu bapa terhadapnya.

Dalam masa sama dia mulai terfikir, kenapa Anuar menagih kembali padahal telah di terapkan ilmu-ilmu agama semasa dalam pusat pemulihan sebelum itu.

Apabila difikir kembali, ternyata kelemahan Anuar kerana tidak mendalami ilmu dengan betul dan hanya main-main.

Sekadar menjalani hukuman, apabila cukup tempoh masa pulang ke pangkuan keluarga.

Sepanjang tempoh berada di pusat pemulihan Salima insaf dan nekad untuk memulakan kehidupan baru.

Salima juga memfailkan permohonan perceraian iaitu secara fasakh.

Keputusan itu adalah untuk kebaikan diri dan anak-anak.

Apa yang diharapkan Ramadan kali ini Anuar menginsafi sesuatu agar tidak mengulangi kesilapan lalu.

Salima mengakui kesudiannya untuk berkongsi kisahnya bukan mahu mengaibkan sesiapa, sebaliknya memberi pengajaran dan kekuatan kepada wanita senasib.

“Saya amat bersyukur dan menganggap lebih bernasib baik berbanding wanita-wanita lain di luar sana.

“Ini kerana ada keluarga mengambil berat dan memulihkan semangat yang hampir hilang,” ujarnya mengakhir perbualan lewat tengahari itu.

Bagaimana pula dengan wanita lain yang masih belum terbela nasib dan tidak ada kesudahan kisah mereka?.

Hidup ini bukan sekadar untuk bertarung dengan sebuah rumah tangga semata sehingga melupai tujuan kehidupan sebenar.

Untuk itu, Islam mensyariatkan talak dan beberapa pintu lain fasakh untuk membolehkan seseorang keluar dari neraka kehidupan dan mencari ketenteraman jiwa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya