Sudah saman kenapa ada diskaun? - Utusan Malaysia

Sudah saman kenapa ada diskaun?

Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dipenuhi kenderaan yang pulang bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Buat apa bayar saman cepat-cepat? Kejap lagi mesti ada diskaun.” Kenyataan ini pasti pernah terlintas difikiran kita, khususnya dalam kalangan pemandu yang setiap hari berada atas jalan raya dan pada musim perayaan ini.

Dalam kalangan orang berduit, saman dalam bentuk wang ringgit bukanlah menjadi persoalan yang besar. Duit banyak, apa sangatlah nilai ribuan ringgit kompaun dan saman.

Bagi yang berpendapatan sederhana, walaupun nilai saman boleh mengusarkan, tetapi mereka sanggup menunggu hingga tarikh diskaun diumumkan pihak berwajib. Sebabnya, kita mempunyai pilihan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan mengutip sejumlah RM21.36 juta bayaran saman tertunggak hanya dalam masa tiga hari, menerusi tawaran Kadar Khas Bayaran Saman sebanyak RM50, yang bermula Jumaat lepas.

Angka besar ini dipercayai disumbangkan menerusi kesalahan lalu lintas yang sebelum ini tidak boleh dikompaun seperti langgar lampu merah, melebihi had laju dan memandu di lorong kecemasan, selain kemudahan membayar saman secara dalam talian.

Angka jutaan ringgit itu turut membangkitkan persoalan, adakah ada orang kita memang suka langgar peraturan dan tunggu diskaun harga baru bayar saman? Dan kenapa tawaran diskaun diberikan selepas pesalah trafik dah sah-sah melanggar peraturan?

Saman dan kesalahan seharusnya memberikan pengajaran kepada pesalah. Bukannya seronok-seronok, tanpa rasa bersalah tunggu diskaun baru bayar.

Kalau begitu, sampai bila pun pemandu kita akan terus melakukan kesalahan dan penguatkuasaan undang-undang tidak akan mampu memberi kesedaran dan mendidik pemandu untuk berhemah di jalan raya sebab mereka ada pilihan.

Cuba jangan bagi pilihan. Bagi pesalah jalanraya yang kerap mengingkari peraturan kena naik mahkamah. Atau lesennya digantung. Tak perlu lama, seminggu gantung cukuplah untuk melihat hasilnya.

Saya pasti pemandu lebih ‘kecut perut’ dan sedar diri untuk mematuhi peraturan jalan raya.

Bukannya zalim, tetapi selalunya memang panas hati juga melihat pemandu lain yang sewenang-wenangnya tidak patuh arahan seperti guna lorong kecemasan. Ada juga yang suka pandu perlahan di lorong yang sepatutnya dipandu laju.

Dalam situasi sekarang ini, yang paling penting ialah sesuatu hukuman itu perlu memberikan pengajaran dan sedikit ketakutan. Kalau pemandu tidak takutkan duit, cubalah cara lain pula.

Begitupun kajian perlu diadakan sebelum senang-senang pemandu dikompaun.

Hari ini banyak laluan yang mengelirukan. Contohnya lokasi yang banyak simpang.

Laluan pendekpun kekadang tu sampai dua tiga kali perlu melalui lampu isyarat.

Ada juga jalanraya yang ‘cantik’ kosong tanpa kereta tapi ada had laju pula ditetapkan?.

Persekitaran dan lokasi pun kena ambil kira sebab pemandu ini manusia yang tidak lari daripada kelalaian.

Selain sikap, persekitaran turut jadi pencetus kemalangan dan kesesakan.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya