SESIAPA sahaja yang melihat Nurida Suraya Mohd. Suhaimi pasti terdetik dalam hati beruntungnya dirinya dapat memakai pakaian cantik setiap hari.
Suri hati pereka fesyen terkenal, Rizman Nordin ini, bertuah bila penampilannya terjaga malah sentiasa menanti disiapkan oleh suami.
Akui Nurida beliau sangat beruntung kerana dilayan seperti puteri raja sejak berkahwin dengan Rizman yang begitu teliti dengan penampilannya.
“Syukur menjadi isteri kepada Rizman. Dia bukan sahaja seorang suami yang bertanggungjawab, malah mementingkan penampilan saya. Paling penting dia yang merealisasikan gaya saya setiap hari. Selalu orang kata, kalau nak isteri cantik terjaga, suamilah yang harus ‘melabur’ untuk isterinya dan itulah yang dilakukan oleh Rizman.
“Seperti yang ramai tahu, Rizman seorang yang sangat teliti dan perfectionist, setiap apa yang dipakai akan diperhalusinya. Kalau ke majlis atau ke mana-mana, memang Rizman akan pantau apa yang saya pakai daripada kepala hingga ke kaki. Pendek kata, saya hanya cuci kaki saja. Semua disiapkan,” katanya kepada Seri.
Ibu kepada Rizqaa Rizman yang kini berusia tiga tahun ini, meskipun dirinya seorang yang ringkas dalam bergaya namun beliau tidak pernah menolak setiap pilihan gaya yang ditentukan oleh suami.
“Kalau ikutkan saya bukanlah jenis cerewet bab gaya dan memang jenis yang simple. Alhamdulillah, saya bertuah apabila ada suami yang sudi menjadi personal stylist kerana ia menjadi kebanggaan semua wanita dan isteri.
“Saya tidak pernah mengeluh atau rasa susah untuk tampil cantik selalu kerana ia lumrah wanita sukakan kecantikan dan dimanjai,” katanya.
SENTIASA BERSAMA RIZMAN
Meskipun persis belangkas, bergerak ke mana sahaja bersama suami, Nurida berkata, itulah tanda sokongan beliau dan secara tidak langsung menjadi tulang belakang Rizman membangunkan perniagaan Rizman Ruzaini.
Malah beliau turut membantu secara langsung dalam menggalas tugasan sebagai ketua pegawai operasi (COO) di Rizman Ruzaini.
“Walaupun saya sedar tanggungjawab ini sangat besar dan tidak mudah tapi saya sanggup kerana mahu bersama-sama suami membangunkan apa yang telah dia mulakan.
“Saya pun tahu inilah juga cara untuk saya sentiasa ada masa dengannya walaupun ketika di pejabat atau hanya menemaninya bekerja. Apa yang orang nampak sekarang, jenama Rizman Ruzaini sedang membangun dan berkembang dengan pesatnya. Tentulah saya mahu menjadi sebahagian daripada kejayaan yang dilakar itu. Siapa tidak bangga apabila menjadi tulang belakang pada kejayaan perniagaan,” katanya.
Rizman Ruzaini adalah label gabungan bakat kreatif dua pereka, Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil.
UMPAMA TANGAN KIRI KANAN SALING MELENGKAPI
Kata Nurida, apabila menjadi isteri yang dilayan dengan cukup baik bukan bermakna perlu menjadi malas dan melepaskan tanggungjawab.
Sama juga seperti pasangan suami isteri lain, Nurida dan Rizman umpama tangan kiri dan kanan yang saling melengkapi.
Beliau juga ada tugasan dan tanggungjawab melengkapkan semuanya untuk keluarga kecil dan sudah pasti akan mengikut rancangan daripada suami.
“Sejujurnya, memang Rizman yang akan lebih banyak merancang persiapan raya kami seperti juadah raya, dekorasi dan aktiviti yang akan dilakukan sepanjang raya. Saya pula akan bantu melengkapkan perancangannya. Tapi boleh dikatakan kami sama-sama sibuk.
“Rizman jenis yang akan bercerita kepada saya sebelum membuat keputusan dan kami akan sama-sama bincang mengenai juadah apa, kuih raya, dekorasi dan lain-lain. Kami memang saling melengkapi antara satu sama lain, maka mudahlah sesuatu kerja itu disiapkan mengikut citarasa bersama. Paling penting jangan bergaduh dan saling berbincang,” katanya.
Menyentuh detik perkenalan Nurida dan Rizman, kedua-duanya tidak bercinta seperti orang lain.
Hanya berkenalan secara serius dalam setahun sahaja sebelum membuat keputusan untuk berkahwin pada September 2019.
“Mungkin sebab waktu itu pun kami sudah dalam usia yang matang jadi hubungan yang berlangsung pun sudah ada objektifnya.
“Bukan lagi mahu sekadar mencuba nasib atau fasa ‘sentap, merajuk dan memujuk’. Alhamdulillah dari fasa berkenalan dan akhirnya diakad, semuanya dipermudahkan,” katanya.
AIR TANGAN SUAMI
Kalau tiba sahaja raya, orang lain sudah memikirkan persiapan balik beraya ke kampung malah terpaksa hadap sesak jalan raya, tapi berbeza dengan Nurida sekeluarga yang beraya di Kuala Lumpur sibuk menyiapkan hidangan raya menjadi keutamaan terutama air tangan Rizman.
“Seperti selalunya kami akan beraya di Kuala Lumpur sahaja bersama keluarga sebelah Rizman terlebih dahulu. Kemudian akan ke rumah keluarga saya.
“Kalau raya tidak menang tangan. Dari segi hidangan raya, kami memang masak sendiri dan tidak akan membuat tempahan. Pilihan menu kebanyakannya selera utara kerana Rizman anak kelahiran Pulau Pinang.
“Selalunya tetamu yang datang memang akan minta kami masak menu seperti nasi Kandar. Air tangan suami memang marvellous. Saya banyak belajar memasak daripada dia,” katanya.
TIDAK SUKA SEDONDON
Ujar Nurida, pasti ramai yang membayangkan menjadi seorang isteri pereka fesyen wajib mengikut tema dan warna sama ketika raya tetapi sebenarnya mereka bukanlah sejenis yang suka sedondon warna baju.
“Kebiasaannya, kami akan berbincang bersama termasuk keluarga besar. Kalau kata tahun ini semua mahu warna pink, jadi kami hanya memilih sendiri pakaian warna pink masing-masing yang ingin digayakan.
“Tiada tema tertentu untuk ditetapkan dan kami bukanlah selalu sedondon. Paling penting raya tetap diraikan dengan meriah,” katanya mengenangkan pengalaman raya yang tidak boleh dilupakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu apabila terpaksa beraya bertiga sahaja.
BERI TERBAIK UNTUK ANAK
Dikurniakan seorang anak perempuan yang semakin membesar membuatkan Nurida dan Rizman bersyukur kerana Rizqaa sangat mudah dijaga dan mendengar kata.
Malah mereka berdua merancang untuk memiliki cahaya mata.
Rizqaa juga bertuah kerana dilayan begitu sempurna oleh kedua-duanya, selalu kelihatan eksklusif, kemas dan bergaya.
“Rizqaa tidak banyak kerenah walaupun agak clingy dengan kami. Dunianya hanya dengan saya dan Rizman. Dia juga seperti kanak-kanak lain. Walaupun ada pembantu yang menjaga tapi dia tetap mahukan salah seorang daripada kami untuk ada selalu dengannya.
“Kalau ditanya berapa orang anak kami mahu, mengikut Rizman, dia mahu dua atau maksimum tiga sahaja.
“Kalau ikut saya tidak kisah. Tapi kata Rizman dia mahukan kualiti dalam membesarkan anak-anaknya sebab dia seorang bapa yang mahukan yang terbaik untuk anaknya dari segala segi,” katanya.