Urus emosi, penat ketika Ramadan - Utusan Malaysia

Urus emosi, penat ketika Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kedatangan bulan Ramadan yang penuh keberkatan dinantikan setiap tahun. Selain mengajar erti kesabaran, Ramadan juga seringkali dikatakan sebagai waktu yang sesuai untuk mengeratkan kembali hubungan sesama keluarga, terutamanya dalam perhubungan suami dan isteri.

Bagaimana pun, untuk mencapai objektif itu, ada perkara penting yang seringkali ramai terlepas pandang menyebabkan tujuan berkenaan tidak dapat dicapai.

Berkongsi kepada Seri, Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustazah Nazirah Abu Bakar berkata, tidak dinafikan Ramadan sememangnya bulan yang penuh dengan keberkahan namun ia juga merupakan bulan yang memenatkan.

Penat yang dimaksudkan adalah setiap umat Islam pastinya tidak ingin melepaskan peluang untuk mengejar amal ibadat untuk pahala yang berganda.

“Oleh itu, soal penat pasti akan timbul terutamanya ibu-ibu yang menguruskan rumahtangga dan dalam masa yang sama mempunyai tugas hakiki yang lain.

“Penat inilah yang perlu diurus dan dirawat dengan baik supaya tidak menimbulkan perbalahan yang tidak perlu dalam perhubungan,” katanya.

Punca perbalahan

Merungkai bagaimana penat dikatakan menjadi punca perbalahan, Ustazah Nazirah berkata, penat yang tidak dirawat dengan baik akan mengakibatkan ‘ia’ naik ke mata.

Dari situ, isteri atau suami akan mula melihat kekurangan pada pasangan yang menambahkan punca untuk berbalah.

“Kemudian dari mata akan turun pula ke mulut menyebabkan isteri atau suami ini mula untuk berkata-kata sesuatu yang akan menyakitkan hati pasangan.

“Ramadan yang sepatutnya menjadi ruang-ruang kebaikan akhirnya berubah kepada situasi yang mudah untuk mencetuskan pergaduhan antara pasangan,” jelasnya.

Lapang dada, rancang ibadah

Tegasnya, suami dan isteri harus berlapang dada sebaik sahaja memasuki bulan Ramadan dan harus saling memahami.

Paling penting adalah untuk merawat keletihan diri masing-masing agar tidak mudah mencetuskan perbalahan.

Antara yang boleh dilakukan adalah suami dan isteri harus berlapang dada dan memahami bahawa setiap individu mempunyai tugasan masing-masing dan soal keletihan tidak seharusnya dipertikaikan.

“Isteri kena faham kita tidak tahu apa yang suami lalui sepanjang hari. Begitu juga suami, mereka harus faham isteri mempunyai banyak kerja dalam satu hari dalam menguruskan rumahtangga, anak-anak dan kehidupan seharian.

“Merancang ibadah bersama keluarga juga adalah perkara terbaik yang boleh dilakukan sepanjang Ramadan supaya banyak momen-momen indah dapat dicipta,” jelasnya.

Suami ponteng puasa

Isu suami ponteng puasa, menjadi dilema bagi sesetengah wanita apabila tibanya bulan puasa.

Namun, menurut Ustazah Nazirah, isteri perlu faham bahawa mereka tiada upaya untuk mengubah seseorang manusia kerana di dalam Al-Quran juga ada menyebut bahawa hati manusia dipegang oleh Allah S.W.T.

Oleh itu, isteri tidak perlu keterlaluan dalam menghadapi isu suami tidak puasa sehingga mendatangkan tekanan kepada diri sendiri dan juga perhubungan.

“Dari segi logik sains pula dikatakan individu yang tidak berpuasa ini mungkin disebabkan oleh trauma dari kecil atau mungkin cara dia dibesarkan.

“Kita tidak boleh ubah orang lain, tetapi kita boleh ubah diri sendiri menjadi lebih baik dan mungkin pasangan kita itu adalah jalan kita ke syurga,” katanya.

Bagaimana pun, ada beberapa ikhtiar boleh dilakukan isteri seperti menegur dengan nada yang baik dan sering berkongsikan mengenai perihal agama Islam kepada suami agar suami terbuka hati untuk menerima.

“Kenapa tidak boleh tegur secara terus? Sebab lelaki ini ada ego dia sendiri dan dia tidak suka wanita menegur dengan nada seakan mengajar.

“Selalu kongsikan video-video atau ceramah alim ulama dan selalulah bercakap kepada suami mengenai amalan-amalan baik supaya mereka lebih mudah terima,” katanya lagi.

Ringankan beban pasangan

Sementara itu, Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Utara Malaysia (UUM), Faezah Nayan berkata, mind set memainkan peranan penting dalam membantu isteri menguruskan emosi dengan baik sepanjang bulan mulia ini.

Sebagai seorang ibu dan isteri, tidak dinafikan wanita memainkan peranan yang penting dalam menguruskan rumahtangga dan anak-anak.

“Tidak dapat tidak, mungkin ada sesetengah ibu yang akan rasa tertekan tetapi apabila muncul sahaja perasaan itu cuba rasionalkan kembali pemikiran.

“Anggap ini adalah peluang yang terbaik untuk kita melipatgandakan ibadah dan pahala. Bukankah menyediakan makanan kepada orang berpuasa itu besar ganjarannya?,” ulasnya.

Selain itu, pengurusan masa juga penting bagi membolehkan setiap perkara dilaksanakan dengan baik.

Dalam masa sama, kata Faezah, huluran bantuan daripada suami juga dapat menjadikan hubungan lebih harmoni.

“Jika tiada masa pada bulan lain kerana kesibukan kerja, cuba cari masa ketika bulan Ramadan kerana kebiasaannya keluarga akan berbuka bersama-sama.

“Bila suami membantu, isteri bahagia, layanan juga semakin baik maka bahagialah hendaknya hubungan suami isteri di dalam bulan Ramadan yang penuh dengan kenikmatan,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya