Gemarkan suasana segar dan ceria, mendorong pemilik kediaman, Nur Aima Mazlan memilih tema berkonsepkan warna merah jambu.
Bukan sekadar ceria, warna berkenaan juga katanya mudah untuk disuai padan dengan pelbagai tema yang menarik.
Antaranya adalah tema Bohemian, Rumah Ladang, Muji dan Tradisional Melayu.
“Sejujurnya rumah ini tiada konsep dekorasi khusus, kerana saya lebih gemar untuk suai padan dekorasi dalam bajet terhad.
“Bagi pemilihan perabot, saya lebih selesa memilih perabot warna putih, hitam atau warna kayu kerana mudah disuai padan dengan dekorasi warna merah jambu.
“Setiap barangan warna merah jambu yang menjadi pilihan saya adalah mesra poket dan masih dalam kategori dekorasi bajet,” katanya kepada Seri.
Rona fleksibel
Tambah Aima, warna merah jambu dalam dekorasi memberi mood ceria dan menarik.
“Ruangan hambar akan kelihatan berseri dengan adanya percikan pink.
“Contohnya di ruang tamu, saya letakkan pokok dalam pasu merah jambu untuk menceriakan dinding warna kelabu lembut yang kosong. Selain itu, warna merah jambu lembut yang menjadi pilihan saya mudah di suai padan dengan barangan lain,” katanya lagi.
Kongsi Aima lagi, pada mulanya koleksi warna merah jambu itu hanya tertumpu kepada barangan kelengkapan dapur.
Namun, lama kelamaan koleksinya itu mula bertambah kepada hiasan dekorasi, barangan rumah dan gajet elektrik.
“Kebanyakan barangan pink dibeli dalam talian dan lebih mudah didapati kerana mempunyai banyak pilihan.
“Namun demikian, barangan rona merah jambu lembut kebiasaannya susah didapati di kedai fizikal terutamanya barangan dapur. Jenama sedia ada pula terhad dan harganya kadang-kala agak mahal untuk konsep dekorasi bajet,” ujarnya.
Jelasnya, tidak sukar mengekalkan tema merah jambu yang dipilih memandangkan konsep suai padan yang dipilih bersama warna lain iaitu putih, warna kayu dan hitam.
“Saya juga tidak mahu warna merah jambu terlalu memenuhi segenap ruang rumah kerana akan nampak sarat.
“Dinding rumah dicat dengan warna putih, jadi keseluruhan dekorasi tidak nampak terlalu feminin,” jelasnya.