Suami dilema, isteri pengotor, pemalas - Utusan Malaysia

Suami dilema, isteri pengotor, pemalas

Bagi Zack, rumah bukan lagi syurga tetapi umpama neraka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lima tahun pertama dalam perkahwinan adalah fasa paling menduga dan mencabar.

Ia adalah waktu suami isteri berdepan banyak konflik rumah tangga, bermasam muka, merajuk dan sebagainya.

Hanya kekuatan iman dan mereka yang benar-benar memahami tujuan perkahwinan sahaja, mampu bertahan.

Di sinilah juga fasa paling paling digeruni iaitu masing-masing mula nampak sedikit demi sedikit keburukan pasangan.

Minggu ini saya kongsikan kisah Zack, (bukan nama sebenar), yang masih buntu memikirkan bagaimana mahu menyelesaikan masalah rumahtangganya yang berpunca daripada sikap isteri yang pemalas dan pengotor.

Mahu bercerai, tetapi bimbang memberi gangguan kepada pembesaran anak-anak.

Menurutnya, sebelum ini dia bertahan dengan perangai buruk isteri namun sejak akhir-akhir ini dia seolah-olah tidak lagi boleh bertoleransi dan sabar.

Dia semakin tawar hati apabila sudah tidak lagi rasa bahagia dalam rumah tangga.

Yana, (bukan nama sebenar) dikahwini atas dasar cinta sejak empat tahun lalu.

Dalam emel yang dikirimkan kepada saya baru -baru ini Zack mem­beritahu, dia tawar hati dengan isteri apabila sesuatu perkara yang tidak disukai terjadi berulang kali.

Memang perkara itu nampak remeh, tetapi hal itulah jugalah selalu menjadi punca mereka bergaduh.

Akui Zack, dia tidak berhasrat membuka aib sesiapa, namun lebih kepada luahan dirinya yang buntu memikirkan jalan keluar kepada masalah dihadapi.

“Perihal isteri malas, pengotor bukan sahaja berlaku dalam drama, tetapi benar-benar wujud. Saya sendiri tidak pernah membayangkan jodoh saya dengan perempuan sedemikian rupa,” tulisnya dalam kiriman emel tersebut.

Selain malas mengemas rumah, Yana didakwa tidak pandai memasak dan pengotor.

Bukan dia tidak menasihati isteri tentang hal-hal urusan rumah tangga, tetapi ibarat mencurah air ke daun keladi.

Oleh kerana itu, tidak ada sebab lagi dia harus kekal dalam perkahwinan toksik itu.

Sebelum ini dia pejam mata, buat-buat tidak nampak keadaan rumah yang berselerak, tetapi sampai satu tahap dia berasa tidak tahan.

Lantai melekit, sofa berconteng, pakaian kotor berlonggok benar-benar menyakitkan mata.

Pada awalnya, dia cuba meletakkan isterinya di tempatnya yang kepenatan selepas seharian bekerja.

Namun, semakin hari tidak ada sebarang usaha isteri untuk berubah.

Setelah diperhatikan , Zack mendapati itulah sikap sebenar isterinya.

Cerita Zack lagi sebelum berkahwin dia pernah ke rumah bakal keluarga mentua. Agak mengejutkan melihat dapur berselerak dan tandas kotor.

Fikir Zack, mungkin selepas berkahwin dia boleh membentuk dan menasihati isteri tentang bab-bah kebersihan.

Sayangnya, sepanjang tempoh empat tahun berumahtangga, isteri tidak pernah berubah.

Pada hari bekerja isteri mungkin penat, tetapi pada hujung minggu isteri masih tidak berbuat apa-apa.

Isteri masih bersantai di depan televisyen sambil menonton TV.

Puas menonton, masuk bilik sambung main telefon.

Tambah Zack kebiasaannya isteri akan pulang lebih awal daripadanya.

Dia berharap isteri mempunyai masa untuk mengemas dan memasak setiap kali dia balik kerja.

Sayangnya, apa diharapkan tidak pernah berlaku.

Setiap hari keadaan rumah tidak terurus. Sudah ditegur banyak kali, namun isteri jenis tidak ambil kisah dan meneruskan perangainya.

Apabila ditanya ada sahaja alasan diberi termasuk kepenatan dan tidak sempat menguruskan rumah tangga.

Situasi itu menyebabkan rumah mereka tidak pernah dikunjungi tetamu.

Jangankan ibu bapa dan mentua, kawan -kawan jauh sekali.

Kata Zack nak mengadu kepada keluarga timbul rasa malu.

Seolah-olah membuka aib isteri sendiri. Disebabkan itu juga dia rela memendam perasaan.

Apa yang lebih merisaukan Zack adalah sikap malas dan pengotor isteri, mempengaruhi pembesaran dua anaknya mereka yang berusia 3 tahun dan setahun.

Mengimbas awal perkahwinan, Zack memilih Yana sebagai isteri kerana menepati ciri-ciri yang dicari iaitu lemah lembut dan penyayang.

Namun selepas kahwin, perangai dan sifat buruk isteri yang tidak pernah diperlihatkan sebelum ini terbongkar.

Namun Zack sedar setiap manusia tidak sempurna.

Kekurangan dan kelemahan pasti wujud termasuk dirinya sendiri.

Apa yang perlu dilakukan adalah tidak mengulangi kesilapan sama dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik.

Bagi Zack, rumah bukan lagi syurga tempat melepas lelah setelah seharian penat bekerja tetapi umpama neraka yang tidak berapi.

Setiap kali melangkah masuk ke dalam rumah, fikirannya kusut melihat persekitaran yang kotor dan tidak kemas.

Di hujung luahannya, Zack mengatakan mereka berdua sehingga hari ini masih cuba mempertahankan rumah tangga yang dibina.

Bagaimanapun kata Zack, dia sendiri tidak tahu dan tidak yakin selama mana ia mampu bertahan.

Jika takdir menentukan jalan perpisahan adalah yang terbaik maka dia reda dan akan teruskan kehidupan yang masih berbaki.

Masalah kebersihan yang serius dan tidak diatasi juga boleh menyebabkan perceraian berlaku.

Dalam Islam sendiri, aspek kebersihan amat dituntut.

Bukan sahaja kebersihan hati, bahkan kebersihan luaran.

Islam itu indah. Keindahan itu akan terserlah jika umatnya turut mengamalkannya.

Daripada Abu Malik al-Asy’ari R.A. beliau berkata, Rasullullah SAW bersabda bermaksud;
Kebersihan adalah sebahagian daripada iman. (Hadis Riwayat Muslim)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya