Kucing garang jadi manja dalam tempoh mengawan - Utusan Malaysia

Kucing garang jadi manja dalam tempoh mengawan

Breeding setahun sekali untuk pastikan setiap keluaran kucing akan menjadi rebutan, bukan lambakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCING yang ingin mengawan akan menjadi terlebih manja daripada kebiasaan. Selalunya, pencinta kucing boleh mengenal pasti ‘perangai’ kucing yang dijaga.

Menurut Pemilik dan Pengasas Pocatz Petshop, Md. Hidayatullah Fazrin Che Wil, tingkah laku kucing yang selalunya berlagak ‘diva’, sombong dan garang akan bertukar menjadi manja ketika datang masa mengawan.

“Biasanya, bila datang masa mengawan kucing ini akan auto manja tapi apabila habis masa itu perangai ia akan kembali kepada asal atau menjadi normal semula.

“Selain itu, tanda-tanda mengawan, kucing jantan atau betina akan membuat bunyi ‘meow’ tanpa henti seolah-olah memanggil pasangan masing-masing dan perkara ini akan berlaku sekitar satu hingga dua minggu.

“Bagi kucing jantan, sekali mengawan, ia akan kerap mengawan dalam tempoh 24 jam. Dan bunyi ‘meow’ akan membuatkan kita jadi pekak telinga. Ini semestinya sangat bising dan dipanggil caterwauling. Justeru, kucing jantan perlu diasingkan terus daripada melihat kucing betina atau terhidu hormon betina,” katanya.

MD. HIDAYATULLAH FAZRIN CHE WIL

Daripada segi fizikal biasanya kucing betina akan mula terguling dan tertonggek kemudian akan mengesel-gesel pada tuannya atau kucing jantan.

“Manakala untuk kucing jantan berkelakuan normal namun akan ‘meow’ memanggil pasangan dan seboleh-bolehnya cuba pikat kucing betina sampai berjaya,” katanya.

Sebagai breeder berdaftar sejak 2012, menguruskan kucing mengawan bukannya boleh dilakukan sesuka hati.

“Kita perlu tahu apa yang kita mahu breed. Maksudnya, fahami baka yang kita nak breed dan kita kena ada breeding plan untuk mengenalpasti masalah atau risikonya kepada kucing.

“Biasanya dalam proses mengawan, saya akan buat breeding plan yang mana kucing akan mate dahulu dan seterusnya mengikut tempoh yang sepatutnya. Dalam breeding kucing kita tidak boleh sewenang-wenangnya kahwinkan kucing sesuka hati tanpa mengikut rules yang telah ditetapkan oleh mana-mana kelab kucing.

“Proses mengawan atau kahwinkan kucing hendaklah dilakukan sebanyak tiga kali sahaja dalam tempoh dua tahun atau untuk lebih selamat hanya breed setahun sekali. Kenapa perlu buat seperti itu adalah untuk pastikan induk betina dan jantan cukup umur, gemuk dan sihat sebelum siap untuk mengawan, bunting dan melahirkan,” katanya.

Melakukan breed terhadap kucing sesuka hati tanpa mengikut peraturan ditetapkan, mengundang pelbagai risiko terhadap induk betina.

“Dalam cattery, tahap survival anak-anak kucing adalah rendah jika induk betina tidak bersedia, sihat dan cukup umur. Selain itu, risiko ke atas induk betina akan kekurangan zat dan nutrien yang akan menyebabkan dia terlalu kurus dan boleh menghidap penyakit.

“Apabila induk bertina tidak sihat, automatik anak kucing akan jatuh sakit. Peraturan ini ditetapkan untuk menjaga kualiti. Biar breeding setahun sekali untuk pastikan setiap keluaran kucing akan menjadi rebutan bukan lambakan.

“Ini akan menjadikan breeder lebih beretika. Jadi, kelab kucing akan membenarkan anak-anak kucing kelahiran daripada cattery berdaftar untuk mendapatkan sijil,” katanya.

TANDA KUCING BETINA BERSEDIA MENGAWAN

 Menggesel kepala di atas lantai

 Memanggil semula kucing jantan

 Menggesel ke arah kucing jantan

 Berguling-guling atas lantai

Pada saat ini kucing jantan akan menangkap kucing betina dari belakang dan menggigit tengkuk kucing betina tersebut. Proses mengawan selalunya berakhir dengan cepat dan kucing betina selalu akan berpaling ke arah kucing jantan tersebut dan menyerangnya.

FAKTA KUCING MENGAWAN

Tanda mengawan bagi setiap baka lebih kurang sama sahaja kecuali bagi kucing jantan dominan akan kencing atau menanda kawasan biasanya pada dinding, penjuru rumah, kerusi dan katil.

Ini untuk memberi tahu kucing jantan lain agar tidak masuk atau ceroboh dan pikat kucing betina di kawasan itu.

Proses mengawan kucing mungkin kelihatan sedikit pelik dan ganas di mata manusia.

Ada pemilik kucing risau kucing betinanya akan mati dikerjakan oleh si jantan walaupun sebenarnya kedua-dua ekor kucing tersebut hanya sedang mengawan.

Bunyi caterwauling adalah bunyi kucing yang luar biasa seperti berada dalam kesakitan.

Tetapi pemilik kucing yang baharu hanya perlu bertenang dan jangan panik kerana ia tanda kucing ingin mengawan dan bukannya sedang mengerang kesakitan.

MENGAWAL KUCING MENGAWAN

Masalah boleh dikawal dengan menggunakan minyak kelapa dara.

Sapu sekerap mungkin di hidung kucing supaya bau minyak itu dapat mengurangkan dan menapis bau hormon jantan atau betina.

Boleh bawa ke klinik veterinar dan dapatkan suntikan ubat perancang yang akan buat kucing cool down dalam tiga bulan.

Ini hanya untuk kucing betina dan biasanya tiada ubat perancang untuk kucing jantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya