Wanita diuji sewaktu suaminya susah, lelaki pula diuji saat senang.Ada yang sanggup tinggalkan isteri tua kerana sudah tidak seperti dulu sedangkan isteri tualah yang hidup bersama di awal-awal kesusahannya dahulu.
Dari mula perkahwinan segala ujian sudah menjadi biasa.
Hidup susah, serba tak cukup, namun berjaya dilalui dengan hati yang sabar dan cekal.
Sehinggalah hidup mula berubah selesa.
Senang daripada hidup yang dahulu, muncul pula orang ketiga yang jauh lebih muda.
Minggu ini saya kongsikan kisah Julie (bukan nama sebenar) yang diceraikan suami pada usia 50 tahun setelah hampir 25 tahun hidup bersama lelaki itu.
Suami menceraikannya kerana tidak tahan godaan isteri kedua yang mendesak dia memilih salah seorang daripada mereka.
Sejujurnya, Julie agak terkejut apabila suami, Fairuz, (bukan nama sebenar), memilih melepaskannya dan kekal bersama isteri muda.
Pun begitu dia reda dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
Menceritakan kisah pahit dalam rumah tangga, Julie sememangnya tidak pernah menyangka suami yang disifatkan sebagai seorang pendiam dan tidak banyak cakap, sanggup menduakannya.
Akui Julie, mengetahui suami curang memang menyakitkan.
Rasa kecewa dan marah meluap-luap hingga pernah terfikir mahu menyerang wanita berkenaan.
Tetapi dia enggan bertindak seperti orang hilang pertimbangan.
Bukan dia tidak berusaha cuba memisahkan suami dan wanita berkenaan, namun semuanya tidak berhasil.
Mahu tidak mahu, suka atau sebaliknya, dia pada akhirnya membenarkan suami berkahwin dua.
Akui Juie, walaupun jiwanya kosong, hati berkecai dan hancur ketika itu, dia tetap mahu mempertahankan rumah tangga yang dibina.
Mengimbas di awal perkahwinan, dia dan suami disatukan atas dasar cinta.
Sepanjang tempoh itu, kehidupan rumah tangga mereka berlangsung aman dan cukup baik.
Mereka bahagia dan dikurniakan dua anak berusia 23 dan 20 tahun.
Akui Julie, apabila anak-anak sudah besar mereka sibuk dengan urusan masing-masing.
Suami semakin selesa dengan pangkat, kedudukan dan harta benda.
Maka ramailah wanita ingin menjadi pendamping.
Mula-mula berbual kosong, lepas itu bercerita hal peribadi.
Kemudian perasaan itu berubah menjadi kasihan dan lama kelamaan ruang dibuka semakin luas.
Itulah detik awal perkenalan suami dengan Farah (bukan nama sebenar) yang pada akhirnya membawa kehancuran dalam rumah tangga mereka.
Pada mulanya, Julie tidak dapat menghidu kecurangan suami.
Suami pergi kerja, pagi balik petang seperti biasa.
Cuma pada hujung minggu, suami sering bertugas di luar daerah.
Berikutan desas-desus suami ada perempuan lain di luar, Julie bertanyakan secara terus kepada suami.
Hancur hati Julie saat suami mengakui perkara itu.
Allah sahaja yang tahu bagaimana rasanya dikhianati.
Suami memujuk dan menjelaskan wanita itu adalah rakan sekerjanya.
Mereka mula rapat selepas wanita itu diceraikan suami dan berhasrat untuk berkahwin bagi mengelakkan berterusan membuat dosa.
Hampir seminggu Julie memujuk hati dan mengumpul kekuatan menerima kenyataan bahawa ada orang ketiga dalam hidup mereka.
Dari segi luaran, Farah nampak bersopan dan tutur katanya lemah lembut.
Berkali-kali dia meminta maaf kerana hadir dalam hidup mereka.
Dia menjelaskan tidak ada niat untuk menghancurkan rumah tangga mereka, tetapi sekadar menumpang kasih.
Entah mengapa Julie tiba-tiba menjadi simpati kepada Farah.
Lebih-lebih lagi ketika wanita itu menceritakan bagaimana dia menjadi mangsa dera bekas suami.
Menurut Farah, dia terpikat dengan suami kerana sikap mengambil berat dan mengutamakan keluarga.
Malah wanita itu langsung tidak malu mengakui bahawa dialah yang mula mendekati suami.
Setelah mendengar penjelasan mereka, maka Julie mengizinkan mereka berkahwin dengan syarat suami perlu adil.
Sayangnya, selepas setahun hidup bermadu, Farah jadi semakin tamak.
Tamak kasih sayang, tamak masa, wang dan segala-galanya.
Suami pula bagai kerbau di cucuk hidung.
Menurut sahaja kehendak isteri kedua tanpa membantah.
Sejak dari itu, Julie mula merasakan suami tidak berlaku adil pada dirinya.
Setiap kali pulang ke rumah mereka, suami marah-marah dan ada sahaja yang tidak kena di matanya.
Julie menjeruk rasa dan terus bersabar.
Sepanjang tempoh itu, dia sering berdoa agar suami berubah dan berharap kembali menjadi lelaki yang mula-mula dia kenal dahulu.
Siapalah dia untuk menolak takdir. Jodohnya bersama suami tidak panjang.
Akhirnya, Julie diceraikan talak satu.
Selepas diceraikan, bukan tidak ada lelaki lain cuba mendekati dan mahu memperisterikannya.
Namun bagi Julie, Fairuz adalah suami pertama dan terakhirnya.
Julie yang baru sahaja bersara sebagai pendidik pada pertengahan Januari lalu mengakui sangat-sangat menantikan saat itu.
Dia kini mempunyai lebih banyak masa untuk dihabiskan bersama anak-anak dan cucunya, selain mendalami ilmu agama, memanjakan diri dan melancong ke luar negara.
Julie yakin setiap apa yang berlaku dalam hidupnya ada hikmah di sebaliknya.
Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksu:
Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita.(At-Taubah: 40)
Ringkas namun sangat mendalam maksudnya.