AMELIA Earhart juruterbang wanita pertama membuat penerbangan solo merentasi Lautan Atlantik.
Wanita asal Kansas, Amerika Syarikat (AS) itu juga merupakan antara juruterbang pertama mempromosikan perjalanan udara komersial.
Namun, kehilangan Earhart masih kekal misteri sejak pesawat dinaiki beliau lesap ketika merentasi Lautan Pasifik Tengah lebih 85 tahun lalu.
Beliau bersama pembantu juruterbang, Fred Noonan menerbangkan pesawat Lockheed Model 10 Electra sewaktu ia hilang berhampiran Pulau Howland pada 2 Julai 1937, ketika Earhart dalam cubaan menjadi wanita pertama mengelilingi dunia.
#1 TERHEMPAS KE LAUT
Teori ini mendakwa Earhart berada pada peringkat terakhir melengkapkan misi mengelilingi dunia apabila pesawat dinaiki, terhempas secara tragis.
Menerusi mesej radio penerbangan itu, Earhart memaklumkan beliau bersama Noonan berada pada garis 157 dan 337 serta di utara dan selatan, sekali gus menggambarkan garis itu melalui destinasi ke Pulau Howland.
Teori paling popular adalah pesawat itu terhempas ke laut apabila kehabisan bahan bakar, sebelum ia tenggelam.
Teori itu mendakwa bangkai pesawat mungkin berada di bawah laut berhampiran destinasi dirancang, Pulau Howland atau pulau lain, sekitar 563.27km tenggara iaitu Nikumaroro.
Ada kemungkinan Earhart mengubah laluan pesawat ke arah Nikumaroro apabila tidak dapat mencari Pulau Howland sebelum terhempas.
#2 MENDARAT DI KAWASAN TERUMBU KARANG
Satu lagi teori mendakwa Earhart dan Noonan mungkin membuat pendaratan berhampiran terumbu karang di sekitar Nikumaroro dan sempat menghantar isyarat radio.
Menurut Group for Historic Aircraft Recovery (TIGHAR), Earhart menggunakan radio pesawat untuk menghantar beberapa panggilan kecemasan.
Seminggu selepas insiden kehilangan pesawat itu, terdapat sebanyak 120 laporan dari seluruh dunia mendakwa menerima panggilan kecemasan daripada Earhart.
Jelas TIGHAR, daripada jumlah itu, sebanyak 57 panggilan dikatakan boleh dipercayai manakala selebihnya palsu.
#3 DIMAKAN KETAM KELAPA
Satu teori lebih mengerikan dalam misteri kehilangan Earhart ialah dimakan ketam kelapa. Ketam daratan itu dikatakan terbesar dan paling menakutkan di dunia.
Spesies daripada keluarga umang-umang seberat empat kilogram (kg) dengan panjang hampir satu meter itu, mempunyai cakar besar yang kuat bertindak sebagai penghancur atau serupa dengan haiwan pemangsa lain yang memburu dengan menggigit.
Ketam kelapa ditemukan di beberapa pulau Pasifik, lokasi yang mana Earhart dan Noonan dipercayai hilang termasuk Nikumaroro.
#4 UBAH IDENTITI
Seorang penulis dikenali sebagai W.C Jameson mendakwa pesawat Earhart dilengkapi dengan kamera khas untuk merakam gambar aktiviti tentera Jepun di Kepulauan Pasifik.
Dalam buku berjudul Amelia Earhart: Beyond the Grave, Jameson mendakwa juruterbang wanita itu ditahan, namun dibebaskan pada 1945 sebelum menyamar dengan menggunakan identiti individu lain.
Jameson dalam buku itu turut mendakwa lebih 100 dokumen berkaitan kehilangan Earhart masih kekal dirahsiakan.
Dakwaan Jameson dipengaruhi oleh satu lagi teori tersebar luas sejak 1965 apabila veteran tentera Perang Dunia Kedua, Joseph Gervais bertemu dengan wanita bernama Irene Craigmile Bolam dari New Jersey.
Gervais mendakwa wajah Balam hampir mirip dengan juruterbang yang hilang dan mula menyiasat latar belakangnya sebelum membuat kesimpulan bahawa wanita itu adalah Earhart.
Malah, Gervais turut berkongsi hasil penemuan itu kepada penulis, Joe Klaas yang kemudian memuatkan dalam buku berjudul Amelia Earhart Lives yang diterbitkan pada 1970.
Bagaimanapun, Balam memfailkan saman berjumlah AS$1.5 juta (RM6.65 juta) dan mengemukakan afidavit mendakwa kisah diceritakan dalam buku itu adalah sebagai tidak benar, sebelum ia ditarik keluar dari pasaran. – AGENSI