SIFAT cemburu ini wujud dalam setiap jiwa yang normal, bukan sahaja pada wanita tetapi lelaki.Cemburu buta lazimnya mudah mengheret individu ke aras yang lebih negatif, iaitu sikap agresif. Jika lelaki yang bersifat cemburu buta, maka maki hamun dan kekasaran fizikal mudah berlaku.
Berlainan halnya dengan wanita, yang biasanya bila cemburu buta, mereka akan menuduh pasangan sehingga membawa kepada ‘pergaduhan mulut’.
Kaunselor Berdaftar dan Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling di Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Yusni Mohamad Yusop, berkata, perasaan cemburu terhadap orang disayangi adalah normal dan lazimnya datang dengan sendiri atau dalam satu keadaan lain, ia bukti sayang.
“Cemburu normal bermaksud perasaan cemburu akan mereaksi apabila wujud suatu rangsangan atau punca yang munasabah untuk mengaktifkan rasa cemburu.
“Dalam dunia hari ini, banyak perkara yang boleh mengaktifkan rasa cemburu. Hal ini terjadi apabila perasaan tidak stabil atau emosi yang menakluki diri individu.
“Ketika ini secara automatik fikiran yang rasional gagal menguasai diri, lantas tindakan yang diambil lazimnya tindakan beremosi yang timbul dan hanya untuk memuaskan hati semata-mata tanpa mengira kesan tindakan tersebut,” katanya.
CEMBURU WARNAI KEHIDUPAN
Tambah beliau, hubungan normal antara lelaki dan perempuan membawa kepada perasaan kasih, sayang, cinta, cemburu, marah, sedih, kecewa yang akan berselang seli wujud sepanjang hubungan.
“Mengalami perasaan-perasaan ini pada keadaan tertentu adalah situasi normal yang mewarnai kehidupan malah bakal menghangatkan lagi hidup berpasangan.
“Hidup ini ada up and down, peristiwa yang membawa perasaan yang berlainan ini dapat mengajar pasangan untuk lebih saling mengenali lalu menjadikan mereka lebih matang.
“Mengalami perasaan berbeza inilah rencah hidup normal yang dapat mengekalkan hubungan pasangan jika mereka belajar dan sentiasa memperbaiki kelemahan,” katanya.
HUBUNGAN DINGIN PERLU DIPERBAIKI
Namun ujar Yusni, jika tiada perasaan cemburu langsung antara pasangan adalah satu tanda negatif dalam hubungan berkenaan.
“Satu hubungan yang ‘dingin’ dan ‘sunyi’ itu bukanlah keadaan biasa. Hubungan dingin yang berpanjangan lazimnya akan membawa kepada pengakhiran yang tidak diingini.
“Contohnya, jika lelaki atau suami tiada langsung rasa cemburu terhadap pasangan, ia tidak semestinya suami ada orang orang baharu atau wujud pihak ketiga.
“Kelemahan mungkin berpunca daripada satu pihak atau juga boleh berpunca daripada kedua-dua pihak. Memandangkan hubungan ini dibina oleh kedua-duanya, maka masing-masing perlu bertanggungjawab memeliharanya.
“Apabila keadaan ini berlaku, maka setiap pasangan harus lihat semula, check and balance apa berlaku dalam hubungan dan apa yang perlu diperbaiki,” katanya.
CEMBURU BUKAN TANDA SAYANG
Pegawai Psikologi di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Rafidah Sadarudin berkata, rata-rata suka mengaitkan cemburu tanda sayang namun sebenarnya cemburu bukan tanda sayang.
“Cemburu maknanya kita tidak pandai uruskan emosi. Merasakan pasangan akan beralih arah pada orang lain.
“Manakala cemburu buta pula adalah satu perasaan yang tidak dapat dikawal, dirasai oleh individu yang mempunyai rasa insecure atau tidak selamat pada pasangannya,” katanya.
Berdasarkan pengalaman beliau menguruskan kes pasangan yang belum berkahwin, ada antara mereka bukan sahaja cemburu malah naik tangan kepada pasangan.
“Mencintai seseorang yang mempunyai sifat cemburu mengakibatkan kita hilang arah. Kita sayang akan dirinya, nampak dia baik, sayang kita tapi tidak tahan dengan sifat cemburunya.
“Lelaki lain pandang kita juga buatkan dia cemburu sedangkan ia luar kawalan kita, itu hak orang untuk memandang. Ada kala sampai satu tahap dengan kawan perempuan juga dia boleh cemburu buta. Ini tahap cemburu yang kritikal. Biasanya, sifat cemburu ini boleh mengakibatkan dia naik tangan kepada kita.
“Akhirnya sebab sayang untuk menjaga hati dia, kita menjauhkan diri dengan ramai orang dan hanya dia yang perlu dilayan,” katanya.
Kata beliau, pasangan yang cemburu akan menunjukkan sikap mengawal, melindungi dan sayang yang berlebih-lebihan.
“Mula-mula kita akan rasa sweet, tapi apabila gerak geri diawasi, akhirnya kita akan sentiasa dalam ‘kawalan’ dia. Takut pasangan cemburu, akhirnya kita hilang diri sendiri dan tenggelam menjadi diri yang pasangan mahu.
“Untuk pasangan yang belum berkahwin, tanya pada diri, adakah hubungan sebegini yang diinginkan dalam melayari bahtera bersama? Sebelum ada ikatan sah, sudah naik tangan, bagaimana ketika menjadi ketua keluarga? Apa jaminan yang dia akan berubah?
“Cinta bukanlah segalanya, jika pasangan benar-benar sayang, kekasaran bukanlah jawapan penyelesaian. Banyak jalan lain yang boleh diambil. Fikir banyak kali sebelum keputusan besar dibuat dalam hidup,” katanya. Ukarnya jika mengalami situasi seperti ini, dapatkan bantuan profesional seperti kaunseling perkahwinan yang boleh membantu menangani isu yang dihadapi.
CARI JALAN KELUAR
Untuk terus berada dalam hubungan atau move on memerlukan perbincangan secara terperinci bersama pasangan. Jalani terapi bersama jika sayangkan hubungan dan rumah tangga yang dibina.
“Kekasaran bukanlah penyelesaian kepada masalah. Ia akan menimbulkan masalah rentetan daripada kekasaran yang dilakukan. Akhirnya kalah dengan emosi yang tidak diuruskan mengakibatkan sakit hati dan sakit fizikal pada pasangan yang tidak bersalah.
“Bagaimanapun, jalan keluar pasti ada dengan syarat masing-masing sedar dengan masalah yang ingin ditangani. Dengan kesedaran itu barulah tindakan lanjut menyusul.
Sedar dan akui dahului isu yang sedang dialami maka solusi akan timbul,” katanya.
LELAKI TANPA CEMBURU
Lelaki yang tiada sifat cemburu adalah kerana dia mempercayai isterinya.
Rafidah berkata, bila tiada cemburu, tidak semestinya suami ada orang lain. Saling mengenali inilah menyebabkan tiada apa yang mahu dicemburukan.
Peringkat perkahwinan jua memainkan peranan, mungkin awal perkenalan kita ada rasa cemburu namun setelah masuk fasa perkahwinan maka tiada lagi sifat cemburu. Masing-masing saling mengenali hati budi pasangan.
“Lelaki very simple, tidak suka pening-pening dan tidak suka serabut. Kerana itu wujudnya lelaki yang tidak cemburu. Mereka inginkan ketenangan. Kita patut bersyukur bila suami bukan kaki cemburu. Dia tenang kita jua tenang. Tidak ribut dalam perkahwinan,” katanya.