Bagi peminat tempat rustik atau rumah ladang sudah tentu mengidamkan hiasan dinding Shiplap bagi melengkapkan suasana.
Shiplap merujuk kepada susun atur beberapa kepingan kayu yang dipasang rapat dan kelihatan seperti dinding sebuah kapal.
Ia merupakan salah satu rekaan alternatif pada bahagian rumah untuk membangkitkan suasana rustik dan klasik.
Berbicara mengenai harga, bagi rekaan Shiplap yang luas, ia memang memerlukan bajet tinggi.
Bagaimana pun, bagi penggemar dekorasi, Norpadilah Afandi, dia lebih gemar menggunakan konsep Do-It-Yourself (DIY) dalam menata rias kediamannya.
Bagi hiasan Shiplap pada dinding kediamannya, dia tampil berani dengan hanya menggunakan pen penanda jenama Sharpie.
Biarpun telah agak lama, namun garisan Shiplap itu masih kelihatan cantik dan tidak pudar.
Berikut dikongsikan langkah mudah menghasilkan hiasan mudah menggunakan pen penanda.
Bahan-bahan
Pen penanda dakwat kekal
Pembaris panjang
Penimbang air
Langkah-langkah
1. Ukur daripada atas ke bawah.
2. Ukuran lebar yang ideal adalah 14.5 sentimeter.
3. Tandakan dari atas sampai bawah.
4. Apabila sudah siap menanda, letak pembaris pada bahagian tanda palong atas dan letakkan penimbang air untuk menghasilkan garisan melintang yang lurus.
5. Ulang langkah sama sehingga ke bahagian bawah.