Puteri sulung kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ini antara anak ahli politik terkenal dan menjadi perhatian di media sosial.
Lebih-lebih lagi apabila beliau aktif menggunakan platform berkenaan dalam menyuarakan pendapat mengenai isu semasa serta hal-hal berkaitan bapanya.
Bercakap kepada Seri, Nurulhidayah menjelaskan kelantangannya itu bukan disengajakan sebaliknya hanya untuk memperbetulkan beberapa perkara yang dirasakan perlu.
“Niat saya sebenarnya bukan hendak lantang tetapi sebab saya rasa ada benda atau isu yang perlu saya suarakan.
“Contohnya bila ada cerita yang keluar pasal abah (panggilan untuk Ahmad Zahid) yang saya rasa saya perlu perbetulkan, saya akan suarakan.
“Saya akan suarakan benda yang orang tidak tahu, sisi lain Ahmad Zahid Hamidi yang orang tidak tahu,” katanya.
Bagaimana pun, kata anak sulung daripada lima beradik itu, dia tahu had dirinya sebagai seorang anak.
Nurulhidayah hanya menyuarakan pandangan dan pendapat dirasakan perlu dan tidak akan sesekali menyentuh perihal perbicaraan mahkamah bapanya yang sedang berlangsung, supaya tidak menganggu proses berkenaan.
“Saya tahu had dan menyuarakan pendapat bagi perkara dalam pengetahuan dan pengalaman sahaja.
“Bagi kes perbicaraan abah, saya tidak akan sentuh kerana saya tahu ia di luar kepakaran saya. Biar pakar buat kerja mereka. Situasi sama dengan isu semasa juga,” katanya.
Sebagai seorang yang gemar bersosial di media sosial, Nurulhidayah turut terpanggil untuk berkongsikan pengalaman dirinya.
Antara yang pernah tular adalah mengenai pengalamannya melalui poligami.
Isu berkenaan mendapat reaksi berbeza daripada netizen yang sebahagiannya kurang senang dengan perkongsian itu, biarpun ia berkisarkan tentang keindahan hidup bermadu.
“Saya akan bagi pendapat atau respon sesuatu isu melalui pengalaman dan pengetahuan saya sahaja.
“Bukanlah hendak kata saya pakar dalam poligami, tetapi saya kongsi sebab saya pernah melaluinya,” katanya yang pernah menjadi isteri kedua kepada kepada Datuk Saiful Nizam Mohd. Yusoff.
Bagaimana pun, madunya, Allahyarhamah Datin Bahazanariah Baharudin menghembuskan nafas terakhir tiga tahun lalu akibat kanser.
Pedulikan kata negatif
Memilih untuk tidak larut dalam emosi negatif, figura itu mengambil pendekatan tidak terlalu mempedulikan kata-kata negatif yang dilemparkan.
Bagi dirinya, kesihatan mentalnya adalah lebih penting untuk dijaga.
Segala tohmahan dan kata negatif diterima dijadikan seperti angin lalu yang tidak membawa sebarang makna kepada dirinya.
“Semakin meningkat dewasa ini saya semakin faham yang setiap orang melalui pengalaman dan latarbelakang pendidikan yang berbeza.
“Jadi, saya rasa bila orang tidak suka sesuatu yang saya suarakan itu biarlah, setiap orang berbeza,” katanya lagi.
20 tahun penuh erti
Baru-baru ini Nurulhidayah menawarkan diri bertanding Jawatan Exco dan Ketua Wanita Bahagian Bagan Datuk dalam Pemilihan UMNO 2023-2026.
Bercakap mengenai pembabitannya secara rasmi dalam politik, ujarnya ia sebenarnya merupakan penantian selama 20 tahun untuk menikmati saat yang penuh bermakna dalam hidupnya itu.
Lebih-lebih lagi katanya, dibesarkan sebagai anak ahli politik bukanlah suatu bonus lantaran ia tidak menjanjikan laluan mudah buat dirinya untuk menceburi dunia berkenaan.
Malah, akuinya, hasratnya itu pernah mendapat tentangan daripada bapanya.
“Saya ambil masa selama 20 tahun bagi yakinkan abah untuk masuk politik.
“Saya faham abah tidak begitu menyokong pembabitan saya dalam politik kerana beliau tidak mahu saya rasa apa yang beliau rasa, memandangkan liku-liku dalam politik terlalu sukar,” jelasnya.
Bagaimana pun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu tahu perkara yang ingin dilakukannya.
“Pembabitan saya dalam politik bertujuan membantu lebih ramai orang yang memerlukan melalui program-program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
“Politik adalah salah satu platform untuk saya dikenali. Bila orang dah kenal, lebih mudah untuk kita minta bantuan atau dana melalui program CSR, contohnya untuk badan bukan kerajaan (NGO).
“Jadi, tujuan utama saya adalah untuk jadi pemudahcara bagi tujuan sebegitu. Sekarang ini bukan mudah hendak minta bantuan jika tidak dikenali sebab orang akan ingat scammer,” jelasnya.
Memasuki usia 45 tahun, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini, masih sahaja kelihatan awet muda dan bertenaga.
Walaupun sibuk menguruskan keluarga dan kerjaya, namun aspek penjagaan diri tetap menjadi keutamaan.
Antara amalan kecantikan adalah untuk sentiasa membersihkan wajah selepas bersolek.
“Saya tidak akan biarkan wajah saya bermekap sehingga lebih enam jam. Saya akan pastikan wajah bersih daripada solekan supaya kulit dapat bernafas.
“Saya turut mengamalkan pengambilan makanan tambahan seperti Vitamin B, C dan D untuk kekal cergas.
“Saya percaya kecantikan bukan sahaja diperoleh daripada produk penjagaan wajah, tetapi juga pemakanan dan dari dalam,” ujarnya.