Wahai suami, kenapa sorok telefon tu... - Utusan Malaysia

Wahai suami, kenapa sorok telefon tu…

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAPA telefon pintar suami perlu ada kata kunci (password)? Sedangkan si isteri pula pada bila-bila masa sahaja boleh mengizinkan suami meminjam, memegang dan melihat telefonnya, tanpa perlu memberikan kod tertentu.
Tetapi tidak sebaliknya, bagi kebanyakan suami, apabila isteri mahu memegang telefon atau sekadar ingin melihat gambar yang dirakamkan suami, ketika keluar bersiar atau makan bersama mulalah suami jadi tak keruan. Gelabah tak tentu pasal.
Itu persoalan selalu bermain di fikiran seorang isteri melalui pengalaman yang kerap diceritakan kepada kaunselor perkahwinan atau pun sering dibincangkan secara terbuka dalam media sosial.
Kalau tidak ada apa-apa, kenapa gelabah dan muka si suami boleh tiba-tiba ‘berubah warna?’ Kalau sekadar mesej-mesej kerja dari kawan-kawan dan begitu juga gambar, tak akanlah sampai hendak berahsia sangat dengan alasan tolong jaga privasi suami.
Itu bibit-bibit yang sering berlaku pada hubungan yang akhirnya retak kerana ada orang ketiga, akui kawan Akak Seri seorang peguam syarie. Menurutnya, kecurangan tersingkap apabila mesej-mesej dalam telefon pintar itu dapat dibaca Isteri. Sebab itu, ketelusan suami isteri itu penting. Bagi mengelakkan perkara-perkara buruk yang boleh menjejaskan rumah tangga.

Isu Seri minggu ini mengupas tentang perlukah berahsia bila sudah menjadi suami isteri?
Sememangnya, privasi perlu dihormati. Tetapi kalau sudah bersuami isteri sepatutnya hubungan itu telus, tiada yang sulit dan tiada apa yang perlu dirahsiakan. Tolak tepilah segala prinsip privasi yang tak tentu hala itu.
Bukan setakat telefon pintar, apa-apa saja hal berkaitan kerja, kewangan, keluarga dan persekitaran, ia boleh dibincangkan tanpa tapisan dan berselindung.
Bukankah itu lebih menenangkan? Terlalu berahsia dan banyak sangat peraturan untuk mengekalkan priviasi pasangan, akhirnya ia boleh menimbulkan perasaan syak wasangka. Daripada tenang menjadi ribut.
Konsep perkongsian hidup sebagai suami isteri sepatutnya berkongsi segala-galanya. Jika hal wang, belanja makan, dapur dan anak-anak boleh dikongsi kenapa ada perkara-perkara tertentu mahu menutup rapi rahsia. Selain memahami dan hormat pasangan, ketelusan adalah ramuan utama dalam mengharmonikan hubungan. Kalau sentiasa telus dalam semua hal, tiada ruang untuk pasangan berprasangka buruk atau menuduh yang bukan-bukan.
Jarang juga kita melihat suami yang memberikan ucapan harijadi atau ulangtahun perkahwinan secara terbuka di media sosial. Selalunya si isteri yang membuat ucapan berjela-jela disertai gambar. Itupun ada suami yang tidak meninggalkan komen atau likes pun pada hantaran itu. Mungkin mahu menjaga privasi juga?
Adakalanya, ada pasangan menjadikan hubungan itu menjadi begitu rumit dengan ‘peraturan-peraturan’ yang tidak perlu pun dalam rumah tangga. Akhirnya peraturan itu menjadi ‘racun’ dalam hubungan.
Tidak susah pun menjadi telus. Ia tidak menuntut sebarang bayaran. Jika segalanya telus, tidak ada apa-apa yang perlu digentarkan atau ditakutkan, apatah lagi setakat isu remeh seperti isteri memegang telefon pintar suami, ia tidak harus dijadikan gurauan ‘satu mimpi ngeri’ konon.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya