Suami isteri, perlukah berahsia? - Utusan Malaysia

Suami isteri, perlukah berahsia?

Kalau pasangan menerima konsep berahsia, bukan satu masalah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja Amira (bukan nama sebenar) mendapati dirinya sudah tidak mengikuti akaun Facebook dan Instagram suaminya.

Entah bila ‘persahabatan’ itu ditamatkan pun, tidak dapat Amira kenal pasti. Tahu-tahu sudah tidak follow.

Sebelum ini, suaminya bertindak memadam gambar-gambar perkahwinan yang dimuat naik kira-kira empat tahun lalu.

Malah, suami turut berahsia berkaitan maklumat di dalam telefon pintar termasuk mesej-mesej di aplikasi WhatsApp dan e-mel selain media sosial.

Menurut kaunselor perkahwinan dan keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Nathir Mehamad, pendekatan berahsia setelah bergelar suami isteri berisiko mencetuskan salah faham dan andaian silap.

Katanya, lama-kelamaan pasangan mudah berkonflik akibat perkara remeh dan tiada persefahaman hingga kerukunan rumah tangga mulai goyah.

“Bagi saya, kewujudan elemen privasi adalah sangat minimum apabila seseorang berkahwin dan bergelar suami isteri.

“Jika kesetiaan, kejujuran dan ketulusan sudah wujud dalam rumah tangga, maka tiada lagi istilah rahsia atau privasi, sebaliknya semua perkara boleh dikongsikan secara bersama,” katanya.

Nathir berkata, rumah tangga bahagia dan sejahtera dibina berlandaskan sikap pasangan yang saling menjaga kerukunan institusi itu.

Katanya, ia berikutan setelah berkahwin, kehidupan tidak lagi tertumpu kepada ‘engkau’ atau ‘aku’, tetapi berkisar mengenai ‘kita’. Malah sifat setia, saling percaya dan jujur pasangan mampu mengelakkan isu kecurangan dalam rumah tangga.

Menurutnya, terdapat kes kecurangan pasangan bermula dengan menukar nama seseorang kepada jantina berbeza di telefon pintar bagi mengelak dikesan oleh pasangan.

“Perbuatan itu akhirnya menjadi kebiasaan dan pelaku tidak rasa bersalah sehinggalah dapat dihidu oleh pasangan dan akibatnya hubungan berdepan krisis rumah tangga yang parah sehingga menyumbang kepada pembubaran perkahwinan.

“Sebagai kaunselor keluarga, saya sarankan suami isteri agar sentiasa memantapkan hubungan mereka dan saling melaksanakan hak serta tanggungjawab hidup berpasangan bagi mengelakkan kecurangan,” katanya.

Ujarnya, pembubaran perkahwinan membawa banyak kesan negatif kepada anak-anak yang sedang membesar dan rapuh emosi mereka dalam melalui episod hitam sebuah keluarga bermasalah.

Langgar peraturan tidak bertulis
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Kluster Pembangunan Profesional) E-Kaunseling Perkhidmatan Awam, Dr. Rusni A. Ghani mengakui kebanyakan suami tidak gemar berkongsi maklumat peribadi dengan pasangan berbanding isteri yang terbuka dalam hal tersebut.

Katanya, tindakan golongan berkenaan bagaimanapun telah melanggar peraturan yang tidak bertulis dalam perkahwinan.

Sedangkan, ujarnya, dalam perkahwinan ada peraturan, fungsi dan pola interaksinya yang perlu dipatuhi setiap pasangan.

“Kalau peraturan pasangan itu menerima konsep berahsia, maka itu bukan satu masalah. Tetapi jika mereka bersetuju untuk berkongsi maka tindakan berahsia akan menyebabkan keluarga berkenaan bermasalah.

“Kesan pelanggaran tidak bertulis itu, akhirnya mendorong isteri mencari maklumat daripada telefon bimbit suami, media sosial dan sebagainya,” katanya.

Berahsia ada kebaikan, keburukan
Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh dalam reaksinya berkata, segelintir suami tidak selesa berkongsi gambar isteri dan keluarga di media sosial kerana bukan satu kewajipan untuk berbuat demikian.

Katanya, tindakan itu bukan bermakna mahu menyembunyikan status perkahwinan atau mencuba pasaran, sebaliknya hanya mahu mengekalkan privasi.

Sehubungan itu, ujarnya, ada kalanya amalan berahsia mempunyai kebaikan tetapi tidak dinafikan ada juga keburukannya dalam rumah tangga.

Katanya, golongan suami diwajarkan berbuat demikian sekiranya melibatkan perkara remeh yang tiada implikasi buruk kepada harta atau hak pasangan.

“Dalam Islam, walaupun sudah berkahwin, kerahsiaan itu masih perlu, cuma ada batasan tertentu kerana setiap individu memiliki pasangan, masalah dan persekitaran berbeza.

“Contohnya, jika isteri cemburu tidak bertempat, sedangkan suami perlu berhubung dengan rakan-rakan wanita untuk melancarkan urusan kerja maka, hal tersebut boleh disenyapkan.

“Namun, bukan semua benda perlu berahsia kerana tindakan itu boleh menimbulkan curiga. Apabila perasaan negatif itu wujud ia boleh menjadi permulaan kepada keretakan hubungan suami isteri,” katanya.

Bagaimanapun ujar Mohd. Shahid, isteri tidak seharusnya syak wasangka terhadap suami, jika hubungan mereka berjalan baik selama ini tanpa sebarang isu membabitkan kesetiaan.

“Tindakan drastik mengintip telefon pintar suami, disebabkan paranoid dengan isu poligami dan kaki sondol yang hangat diperkatakan kini, tetapi ia boleh menggugat keharmonian rumah tangga.

“Jika suami soleh dan bertanggungjawab, wanita jangan pula cari ‘penyakit’ memeriksa telefon pasangan melainkan suami kantoi ada hubungan. Carilah jalan untuk mengatasinya dengan berbincang.

“Isteri usah gopoh mengikut nafsu marah dengan menyerang kaki sondol atau maki hamun di media sosial kerana tindakan itu boleh mencalarkan maruah keluarga dan mengundang isu lain termasuk kemungkinan bercerai awal di samping kesan kepada anak-anak. Langkah terbaik adalah berbincang secara berdepan dengan pasangan dan merahsiakan keburukan yang berlaku,” katanya.

Mohd. Shahid berkata, Islam menawarkan jalan kebahagiaan bagi mana-mana isteri yang dikhianati sehingga bermadu akibat ketidaktulusan suami termasuk boleh menuntut cerai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya