Spesies ‘park’ depan pintu pagar sekolah punca sesak? - Utusan Malaysia

Spesies ‘park’ depan pintu pagar sekolah punca sesak?

MURID Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Seksyen 32 Shah Alam hadir bagi memulakan persekolahan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya melalui kira-kira lima buah sekolah kategori bandar dan luar bandar untuk perjalanan ke tempat kerja di Petaling Jaya.

Saya perhatikan, banyak kesalahan dilakukan ramai orang sekitar premis berkenaan, sama ada secara sedar atau tanpa sedar.

Lantaran pembangunan, ada sekolah yang depan pintu pagarnya sudah jadi jalan besar yang cantik bagaikan lebuhraya.

Makanya, berdesuplah kenderaan dipandu laju tanpa memikirkan had kelajuan 30 kilometer sejam.

Itu belum lagi dikira dengan motorsikal yang seolah-olah sengaja ‘dipress’ hingga mengeluarkan bunyi bingit.

Paling ketara ialah perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang sengaja meletakkan kenderaan betul-betul depan pintu pagar sekolah.

Sama ada waktu menghantar anak pada sebelah pagi atau menjemput anak pada waktu sebelah petang atau tengah hari, pasti ada. Yang peliknya spesies ini boleh buat ‘pekak’ sahaja bila pengguna lain membunyikan hon kenderaan, tanda perbuatan mereka itu menyusahkan pengguna lain.

Menunggu anak dilaluan yang boleh lalu tiga kenderaan, menjadi satu lorong sahaja, memanglah menyesakkan.

Tetapi kerana sikap segelintir yang pentingkan diri sendiri inilah yang menyebabkan kita yang tidak menjemput anak, terperangkap hanya disebabkan kenderaanya yang mengganggu.

Tidak boleh ke meletakkan kenderaan jauh sedikit daripada sekolah dan mengambil insiatif untuk berjalan kaki hingga ke pintu sekolah untuk mengambil anak?.

Kalau semua nak jemput depan pintu pagar, memang bersesaklah jalan raya sebab kesannya kepada pengguna jalan yang lain, yang tiada kiatan pun dengan sekolah.

Dalam pada itu saya lihat ada juga sekolah lapang dan besar, tetapi kenderaan ibu bapa dilarang masuk untuk urusan menjemput dan menghantar anak.

Kadangkala saya tertanya-tanya juga apakah fungsi ruang yang besar tetapi tidak digunakan itu?.

Berbalik kepada sesak tadi, bagaimana dengan peranan pengawal keselamatan? Saya kira ada baiknya sekiranya skop kerjanya diperluaskan untuk menjaga trafik untuk tempoh tertentu dalam sejam supaya trafik terkawal? Atau itu hanya atas kesedaran sendiri? Kalau rajin jaga dan kalau tidak, biarkan.

Ada sekolah yang pengawalnya membantu murid, tetapi ada yang sebaliknya. Kalau pekerjaan lain boleh dipelbagaikan skop tugasan, pengawal keselamatan pun perlu.

Lebih-lebih lagi kalau sesebuah sekolah tidak berkemampuan menyediakan polis bantuan di luar sekolah memantau kenderaan ibu bapa atau anak-anak yang melintas.

Kalau tidak dipantau, saya risau spesies yang suka letak kenderaan depan pintu pagar ini akan terus membiak dan menyusahkan orang lain.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya