Rumah: Beli atau sewa lebih jimat? - Utusan Malaysia

Rumah: Beli atau sewa lebih jimat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USIA makin meningkat, kawan-kawan di sekeliling semuanya sudah memiliki kediaman sendiri. Hati sering terdetik sampai bila mahu menyewa?

Namun, apabila memikirkan kadar dasar semalaman (OPR) yang terus melonjak, impian membeli rumah terus terkubur.

Tahun lalu sahaja, OPR naik sebanyak empat kali dan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan kembali meningkatkan semula kadar berkenaan kepada 3.0 peratus, Mac ini.

Situasi itu tentunya memberi kesan terhadap komitmen bulanan individu termasuk pinjaman perumahan mahupun perbelanjaan sewa.

Pengasas Financial Faiz, Faiz Azmi berkongsi pandangan adakah berbaloi untuk seseorang membeli rumah pada masa ini atau terus kekal menyewa.

Persediaan

Isu harga rumah tinggi sudah diperkatakan sejak dulu lagi. Bagi yang mahu membeli kediaman, pastikan anda benar-benar bersedia untuk menanggung hutang selama 35 tahun.
Persoalan lain perlu diambil kira ialah sejauh mana minat untuk menetap di situ dalam jangka masa panjang. Kenal pasti juga tujuan pembelian sama ada untuk menetap atau pelaburan.

Deposit rumah

Pembeli rumah perlu memiliki sejumlah wang untuk pembayaran deposit dan jangan sesekali menggunakan simpanan kecemasan. Jika wang berkenaan tiada, maka anda belum layak lagi untuk berbuat demikian.

Komitmen mendatang

Penambahan komitmen mendatang kerana membeli rumah bukan dibayar sekali atau cuma setahun, tetapi berterusan selagi pinjaman belum selesai. Jika anda faham dan bersedia, maka ini membuktikan anda di landasan tepat untuk memiliki aset itu.

Nilai secara keseluruhan

Menilai secara keseluruhan tujuan utama mahu membeli rumah. Ambil kira situasi semasa hingga tempoh persaraan. Adakah rumah itu selesa untuk didiami hingga bersara? Atau sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 tahun. Usah terburu-buru membeli semata-mata untuk mengelak kerugian akibat menyewa.

Pilih bank terbaik

Ambil masa berjumpa dengan pihak bank yang menawarkan pinjaman untuk mendapatkan maklumat lanjut. Jangan hanya tertumpu kepada satu bank sahaja sebaliknya bandingkan tawaran diberikan bank-bank lain sebelum membuat sebarang persetujuan.

Sewa lebih fleksibel

Ada segelintir berpendapat menyewa lebih mudah kerana seseorang tidak perlu pening kepala memikirkan kos pinjaman perumahan yang tinggi di samping perbelanjaan tambahan seperti cukai, penyelenggaran dan lain-lain.

Kaedah ini juga fleksibel bagi yang sering bertukar kerja selang beberapa tahun. Seseorang tidak perlu menghabiskan masa yang lama dari pejabat ke rumah yang terletak di daerah atau negeri berbeza, kerana boleh berpindah rumah sewa pada bila-bila masa. Malah, harga sewa lebih rendah berbanding bayaran pinjaman.

Di samping itu, individu juga tidak berdepan risiko jika rumah dimiliki ditimpa musibah banjir, retak atau isu sosial setempat.

Ikut pilihan masing-masing

Sama ada mahu beli atau menyewa, keputusan terletak di tangan anda. Tiada jawapan betul atau salah kerana anda yang menilai kelebihan dan kekurangannya.

Jika mahukan wang tambahan dan enggan terikat dengan komitmen hutang selama 35 tahun, menyewa adalah lebih baik. Membeli rumah bukan seperti membeli sayur di pasar, buat pertimbangan dengan bijak.

Beli rumah lepas kahwin

Selepas berkahwin, kebanyakan pasangan suami isteri cenderung untuk membeli rumah, terutama bagi yang menumpang di kediaman keluarga. Tiada istilah terlalu awal atau lewat membeli aset itu, pastikan rumah yang dipilih sesuai termasuk dekat dengan pejabat dan lain-lain.

Usia ideal beli rumah

Tiada usia spesifik sebaliknya ikut situasi. Ada segelintir yang sesuai membeli ketika masih muda, namun ada yang sesuai memilikinya ketika sudah tua.

Kemampuan, bukan gaji

Konsep membeli rumah berdasarkan gaji tidak sesuai diguna pakai kerana komitmen masing-masing berbeza. Ada yang perlu menyara ibu bapa, memiliki anak ramai dan lain-lain. Ada juga yang membeli rumah mahal, tetapi terpaksa mengurangkan belanja anak-anak misalnya untuk aktiviti kelas tuisyen, muzik dan lain-lain kemahiran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya