Makan kenduri, tolong jangan membazir - Utusan Malaysia

Makan kenduri, tolong jangan membazir

PEKERJA membersih dan mengemas dewan perkahwinan, Zemi Garden Wedding di Rasah, Seremban, Negeri Sembilan sebagai persediaan penganjuran majlis-majlis perkahwinan. - MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cuti sekolah bagaikan pesta kenduri kendara. Hampir setiap minggu dewan berhampiran rumah saya penuh dengan acara.

Kalau kenduri di bandar, biasanya undangan hanya diperuntukkan untuk dua orang, selalunya suami dan isteri.

Kalau tiada pasangan, anak atau adik beradik pun sudah memadai. Yang paling penting tidak boleh datang beramai-ramai, kata orang kena RSVP dulu, bukan pakai pergi sahaja.

Tuan rumah biasanya mengenakan ‘peraturan’ itu bukan semata-mata untuk memastikan peruntukan makanan mencukupi, tetapi saya lihat ia lebih kepada kelancaran dan privasi majlis.

Kalau datang beramai-ramai seisi keluarga, kita bagaikan makan di restoran atau di rumah saja sebab lebih selesa berborak sesama ahli keluarga sendiri.

Lebih daripada itu, segala-gala di bandar membabitkan kos.

Beruntung bagi sebahagian kenalan saya yang biarpun berada di bandar, tetapi jiran tetangga sanggup bergotong royong memasak.

Ada yang sanggup meminjamkan ruang kediaman untuk membolehkan tetamu makan dengan selesa.

Saya memang gemar memenuhi undangan majlis sebab suka melihat cara masyarakat kita meraikannya.

Pelbagai dan berbeza tetapi matlamatnya sama, iaitu mahu meraikan tetamu.

Namun murni hasrat tuan rumah meraikan tetamu, saya dapati masih ramai yang sama ada sedar atau tidak, kurang menghormati majlis iaitu membazir makanan.

Sedih melihat pinggan penuh dengan makanan. Ambil banyak tetapi makan seolah-olah hanya dicuit. Lepas itu tinggal begitu sahaja atas meja, seolah-olah tidak beradab.

Janganlah rambang mata. Kasihanilah tuan rumah dan kerana makanan tidak luak itu sudah pasti akhirnya akan dibuang begitu sahaja.

Membazir makanan pada sesebuah majlis ini bukan isu terpencil. Ia pernah dipaparkan dalam akhbar dan mendapat perhatian masyarakat.

Paling sedih bila perlakuan itu turut dilakukan oleh warga emas atau orang dewasa.

Ada yang kata, antara punca makanan dalam pinggan tidak dapat dihabiskan sebab katering menyediakan makanan yang kurang enak. Serba masin atau serba tawar.

Siapa yang pernah membazir makanan? Baik mengaku dan silalah insaf. Hormatilah tuan rumah sebab penyediaan makanan bukanlah murah bajetnya.

Kasihan jugalah kepada diri sendiri sebab menjadi sahabat syaitan lantaran melakukan sesuatu pembaziran.

Pucuk pangkalnya, kenalah ambil sedikit. Kalau sedap baharulah tambah lagi.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya