Kuih koci Dalila Diana Zainal Abidin, 36, pernah viral di media sosial kerana rupanya yang comel kerana meminjam rekaan kartun terkenal Hello Kitty. Mengakui perniagaan kocinya meningkat secara mendadak selepas mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pengemarnya dan kebanyakan pelanggan mengadu kepadanya, yang sayang pula untuk dimakan kerana comel.
“Selepas viral memang saya menerima banyak tempahan kuih koci yang saya gelarkan Koci Moci kerana bentuknya saya pinjam rekaan Hello Kitty dengan warna-warna menarik seperti merah dan merah jambu. Ada pelanggan yang bagitahu, geram kerana kecomelannya dan mahu menyimpannya dalam tempoh yang lama,” katanya.
Wanita asal Kota Bharu Kelantan ini, memberitahu, idea memilih rekaan koci ke bentuk Hello Kitty ini lantaran minat terhadap kartun berkenaan.
“Saya peminat Hello Kitty dan ada koleksi kartun comel ini saya jadikan dekorasi kediaman saya,” katanya.
Sebelum hidangan berkenaan viral, kata Dalila dia memang menjual beraneka kuih-muih, kek dan biskut malah pernah membuat bentuk Hello Kitty juga, namun Koci Moci kali inilah, yang paling mendapat sambutan. Malah ‘desak’ rakan media sosiallah yang mendorongnya untuk menjual dalam kuantiti yang banyak.
“Saya juga teruja membuatnya kerana koci adalah kuih warisan yang popular dan lazimnya mempunyai kelongsong daripada daun pisang. Bagaimana pun Koci Moci yang saya buat tidak berbungkus dan mempunyai inti kacang merah,” ujarnya.
Permintaan kuih ini selalunya datang daripada ibu-ibu yang ingin menganjurkan majlis tertentu seperti hari jadi, majlis pertunangan dan perkahwinan.
Ada juga yang membeli untuk dijadikan buah tangan dan hadiah kepada keluarga dan kawan-kawan.
BELAJAR SENDIRI
Dalila yang tamat tingkatan lima di Sekolah Menengah Teknik, Tanah Mereka Kelantan berkata, kuih koci versi Hello Kitty yang diusahakan hasil kreativiti sendiri selepas mencuba bentuk yang sama ke atas kek, kuih pau dan kuih bulan.
“Saya tidak mengikuti mana-mana kelas masakan atau mempunyai guru tertentu namun pernah mengikuti kursus makanan sejuk beku di Pusat Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER , Pasir Mas, Kelantan. Mulanya saya buat suka-suka. Dan ambil gambar untuk kenangan, kemudian sengaja letak di Facebook pada 2021. Saya agak terkejut kerana penerimaan positif daripada orang ramai dan menerima tempahan sehingga 600 bekas dengan anggaran harga RM15 sehingga RM18 mengikut rekaan,” katanya.
Satu bekas ada 12 biji koci dalam bentuk sejuk beku. Tetapi ada juga yang sudah dimasak siap.
Seperti impian peniaga lain, Dalila turut berharap mampu membuka kedai – DDiana Bakery, yang akan menempatkan dan memasarkan kesemua produk keluarannya.
“Saya berharap pada masa akan datang mempunyai sebuah kedai dan mempunyai pembantu untuk meluaskan pasaran.
“Dalam perancangan masa depan, Dalila turut bercadang mempelbagaikan perisa dan inti Koci Moci supaya menepati citarasa pelanggannya,” ujarnya.
Mengenai cabaran mencipta hidangan viral, kata Dalila, realitinya dunia perniagaan ini ada naik dan turunnya.
“Viral dalam bentuk positif itu suatu bonus. Tetapi setiap peniaga, fokuslah kepada kejayaan.
“Carilah pelbagai saluran pemasaran yang betul dan bermanfaat, misalnya di media sosial.
“Jika itu antara teknik pemasaran yang menguntungkan, lakukan,” katanya.