Rata-rata tersenyum riang apabila menu Rahmah diperkenalkan.
Program Menu Rahmah dilancarkan 31 Januari lalu, menyasarkan keperluan makanan harian bagi golongan berpendapatan rendah.
Menu ini ialah hidangan tengah hari atau malam yang seimbang dan lengkap dengan karbohidrat daripada nasi, sumber protein seperti ayam atau ikan dan sayuran.
Ia menawarkan harga berpatutan iaitu RM 5.00 sepinggan dan dilaporkan, hampir 15,000 premis makanan di seluruh negara melalui program ini.
Formulanya lebih kurang sama seperti formula menu untuk rakyat yang pernah diperkenalkan kerajaan 12 tahun dulu. Namanya sahaja berubah. Pun begitu sekurang-kurangnya rakyat ada pilihan.
Hakikatnya, sebarang perubahan itu, boleh sahaja dilakukan, lebih-lebih lagi kalau ia keluar daripada arahan kerajaan.
Lebih penting, sekurang-kurangnya, kita nampak ada kerjasama antara kerajaan dengan pemain industri makanan dan minuman dalam menjayakan program ini.
Sebenarnya menu Rahmah ini pun tidak jauh berbeza daripada menu yang saya atau kita nikmati hampir setiap hari di tempat kerja atau sekolah. Ada nasi, lauk dan sayur.
Tetapi itulah, harganya kadangkala melebihi RM10. Bila bertanya, selalunya peniaga mengatakan harga naik sebab beli dari pasarpun harganya sudah tinggi. Mahu atau tidak kenalah di jual pada harga berpatutan.
Siapa yang mewajarkan harganya pun tidak ada yang mampu menjawabnya. Sebagai pelanggan, bayar sahajalah. Kalau terasa mahal, dan harga melampau, kita tidak berkunjung lagi buat kali kedua.
Namun, bila menu Rahmah ini diperkenalkan, tiba-tiba ramai pula peniaga yang mampu turunkan harga makanan dijual. Yang nyata harga berkenaan mampu memikat pembeli dan mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.
Lagipun, produk makanan, memang jarang tidak laku. Kalau betul lokasi dan kumpulan sasarannya, Insya-Allah laris.
Kalau sekali dua tidak laku, jangan cepat salahkan kerajaan tidak bijak menangani situasi, sebab risiko dalam perniagaan itu bagaikan isi dengan kuku.
Bercakap mengenai menu Rahmah ini, ia hanyalah suatu pilihan kepada kita, dan jangan beri kebergantungan sepenuh kepadanya.
Janganlah sebab ada Rahmah, kita lupa hingga dapur langsung tidak berasap. Usahakan memasak sendiri untuk keluarga.
Hari ini saya dapati dalam kesukaran hidup, masih ramai suka makan di kedai yang nyata memang tinggi kosnya khususnya bagi orang yang datang berkeluarga.
Buat pesanan makanan bukan sahaja banyak, tetapi langsung tidak berkongsi. Akhirnya tidak termakan dan dibuang begitu sahaja. Rahmahkah perbuatan sedemikan?
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia