Wanita jadi ‘pembersih sungai’ akibat kemiskinan - Utusan Malaysia

Wanita jadi ‘pembersih sungai’ akibat kemiskinan

ADA yang terpaksa turun bekerja mengutip sampah bersama anak-anak kecil. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP hari, Ma Yu, 36, bersama pasukan ‘pembersih sungai’ yang lain menyelongkar sampah dalam anak sungai di Yangon.

Mereka mencari logam sekerap, plastik dan bekas tin minuman untuk dijual.

Kerja keras dan sukar itu dilakukan di bawah terik matahari.

Mereka disertai sekitar 10 lagi penduduk yang terdesak mencari nafkah berikutan krisis ekonomi yang mencengkam Myanmar sejak rampasan kuasa pada tahun 2021.

Mereka mengutip bahan yang boleh dikitar semula untuk dijual kepada peniaga.

Itulah satu-satunya sumber pendapatan mereka sejak kehilangan pekerjaan akibat pemberontakan yang menjejas ekonomi serta mencetuskan keadaan huru-hara dan kacau-bilau yang meluas.

“Tidak ada pekerjaan bagi saya di darat dan saya perlu menyara hidup anak serta kos kesihatan suami saya.

“Jadi saya menyewa polesterin dan jadikannya bot untuk pergi ke sungai bersama jiran saya.

“Pada hari pertama, kami berjaya mengumpul plastik dan bekas tin minuman untuk dijual. Kami begitu gembira,” kata Ma Yu kepada AFP.

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa, ekonomi Myanmar terjejas akibat rampasan kuasa dengan lebih sejuta orang kehilangan pekerjaan.

DI BADAI GELOMBANG
Seperti air yang pasang surut, begitu juga dengan hasil pendapatan mereka.

Ada kalanya seorang pemungut sampah dapat mengutip sampah berjumlah 30,000 kyat (RM62).

Namun, Kyu Kyu Khine, 39, yang pernah mengutip sampah dari jalan-jalan raya di Yangon berkata, pada kebanyakan hari mereka hanya mampu membawa pulang sekitar 6,200 kyat (RM13).

“Sebelum kami mula bekerja, terdapat banyak plastik, tin minuman dan botol di sungai.

“Tetapi kerja di sungai membawa cabaran baru seperti ombak berbahaya,” ujar Kyu Khine.

Mereka juga sering melihat mayat terapung dalam air.

Malah Ma Yu juga pernah berdepan detik hampir-hampir kehilangan nyawanya selepas tercampak ke dalam air akibat dipukul arus deras.

Namun umurnya panjang kerana sempat berpaut dan bernasib baik, bot polistrin nipis dinaikinya tidak pecah.

“Kadang-kadang saya terfikir sekiranya sesuatu berlaku pada diri saya, saya sendirian di sini dan saya tidak dapat lakukan apa-apa.

“Ia bukan satu pekerjaan yang mudah tetapi penting bagi saya memastikan anak saya tidak kebuluran,” tambahnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya