SOALAN:
Sebagai surirumah sepenuh masa, saya rasa rendah diri dengan keadaan saya yang hanya berada di rumah menguruskan keluarga. Situasi itu menyebabkan saya rela tidak keluar rumah kerana tidak mahu dituduh pemalas. Betulkah apa yang saya rasa ini?
Isteri rendah diri
Jawapan:
Tidak semua isteri di dunia ini ditakdirkan menjadi seorang suri rumah sepenuh masa. Puan terpilih oleh Allah untuk menjadi seperti itu.
Sebenarnya puan isteri dan ibu yang sangat hebat, kerana menanggung tugas sorang surirumah ini, sangat berat dan memerlukan ketahanan dari segi mental, fizikal dan emosi.
Tanpa puan, urusan suami akan jadi tunggang langgang.
Puan tidak perlu memfokuskan rasa rendah diri mengikut pandangan orang lain. Ini kerana orang lain tidak akan pernah tahu tentang potensi diri puan.
Orang lain akan hanya tahu menilai dari sisi luaran apa yang mereka lihat, yang kadangkala lebih bersifat negatif terhadap puan, seperti melabel surirumah yang tidak bekerja sebagai pemalas.
Lebih malang lagi puan telah ‘percaya’ dengan kenyataan tersebut.
Untuk puan menjadi lebih tenang dan bahagia dengan cara tersendiri, abaikan kata-kata negatif tersebut serta jangan mempercayainya.
Lalui kehidupan rumahtangga seadanya dan belajar lebih bersyukur.
Untuk suami, hargailah tugas seorang surirumah yang bernilai tinggi dan penuh pengorbanan ini, kerana penghargaan suami juga menyumbang kepada keyakinan seorang isteri.
**Ada masalah? Emelkan keraguan anda kepada kami di [email protected]