Penggunaan platform media sosial secara meluas pada hari ini secara tidak langsung mewujudkan kerjaya baharu dikenali sebagai pencipta kandungan.
Biarpun kerjaya ini didominasi oleh golongan muda, namun Noor Suhaili Mohamed Amin atau lebih dikenali sebagai Auntie Purple berjaya memecahkan tradisi dengan muncul sebagai pempengaruh pada usia 45 tahun.
Segala-galanya bermula apabila dia yang awalnya merupakan seorang suri rumah cuba berjinak-jinak memuat naik video mengenai kehidupan sehariannya di aplikasi berkenaan.
“Pada awalnya saya membuat video mengenai bekal makanan anak ke sekolah. Pada ketika itu, tontonan yang saya dapat sekitar 120 orang sahaja, tetapi itu pun sudah membuatkan saya gembira.
“Selepas itu, saya mendapat idea untuk membuat video transisi baju-baju raya saya memandangkan pada tahun 2020 ketika itu kita tidak dapat beraya (Perintah Kawalan Pergerakan). Jadi, daripada terbiar sahaja, saya buat video transisi saya tukar-tukar koleksi baju-baju itu. Tidak sangka pula ia mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan,” katanya.
Bertitik tolak daripada situ, dia semakin aktif menghasilkan video-video menarik berkisarkan fesyen dan kecantikan, selain turut memperkenalkan koleksi-koleksi barang miliknya yang kebanyakannya berwarna ungu.
Rentetan itu, dirinya diberi gelaran sebagai Auntie Purple dalam kalangan pengikutnya yang teruja melihat obsesi ibu kepada tiga anak itu mengumpul barangan berwarna ungu yang merupakan warna kegemarannya.
Menariknya, selain perkakas rumah, baju dan tudung, kereta miliknya juga berwarna ungu.
“Netizen yang berikan gelaran Auntie Purple itu. Saya okay sahaja kerana rakan-rakan anak yang sering datang ke rumah pun, panggil saya dengan panggilan aunty.
“Dan kini saya jadikan gelaran itu sebagai jenama saya. Alhamdulillah daripada seorang suri rumah, kini saya sudah bergelar sebagai seorang pencipta kandungan,” katanya lagi.
Selain menjana pendapatan yang memuaskan sebagai seorang pempengaruh media sosial, perkara yang lebih menggembirakan dirinya adalah apabila mendapat respon positif daripada pengikut yang sebaya dengannya serta peniaga-peniaga lain dalam talian.
Realinya, keberaniannya menonjolkan diri dengan video-video kreatifnya, membuka mata terutamanya suri rumah dan wanita lain untuk turut menjadikan media sosial sebagai salah satu platform menjana pendapatan.
“Bila saya buat video-video transisi itu ramai peniaga-peniaga online yang kata mereka mendapat semangat daripada situ. Kata mereka kalau ‘auntie’ boleh, takkan mereka tidak boleh.
“Ada juga yang berkongsi dengan mengatakan, selepas melihat video-video saya, mereka tidak lagi rasa malu untuk menonjolkan diri di media sosial, memandangkan ia perlu terutamanya bagi peniaga dalam talian yang mahu mempromosikan jualan mereka,” ujarnya.
Populariti diraih itu menyebabkan dirinya sering mendapat jemputan, berkongsi pengalaman dalam memperkasa wanita.
‘TERDUDUK’ DENGAN KOMEN
Disebalik kemanisan bergelar pempengaruh, Noor Suhaili pernah rasa terduduk selepas membaca komen kritikan netizen terhadap wajah dan usianya.
Paling tidak boleh dilupakannya, bila ada ada netizen yang memberikan komen jijik melihat rupa paras aslinya yang tidak mengenakan sebarang solekan.
“Memang rasa sedih dan terasa hati dengan komen seperti itu. Sejujurnya saya tidak kalis kecaman, tetapi saya mengambil pendekatan dengan meluahkan rasa kecewa pada suami dan anak-anak.
“Begitupun, saya tidak pernah terfikir untuk berhenti melakukan perkara yang saya lakukan sekarang. Seperti yang suami saya sering katakan, ada beribu lagi komen baik-baik diberikan, tidak perlulah fikir komen kritikan yang satu dua itu,” jelasnya positif.
Empat hari siapkan satu video
Fikiran positifnya sering beranggapan bahawa usia bukanlah penghalang untuk melakukan sesuatu.
Malah tidak ada istilah terlambat dalam mempelajari sesuatu yang baharu.
Berbekalkan semangat itu, Noor Suhaili sentiasa bersemangat menghasilkan video-video transisi baharu yang kebanyakannya akan menjadi trend di aplikasi berkenaan.
Video-video transisi dihasilkannya kebanyakan meraih jutaan tontonan dengan rekod terbanyak mencecah lebih 21 juta tontonan.
Video dihasilkannya tampak sangat kemas dan teliti, seolah-olah hasil penyuntingan dilakukan menggunakan peralatan yang canggih.
Bercakap mengenai penyuntingan video, kata Noor Suhaili beliau tidak mempunyai komputer khas untuk proes penyuntingan, sebaliknya hanya menggunakan telefon pintar.
Kebanyakan idea video dan penyunting dihasilkan sendiri. Namun adakalanya berbincang dan bekerjasama dengan puteri sulungnya yang kini berusia 23 tahun mengenai konsep yang ingin dilakukan.
“Anak sulung saya juga banyak membantu untuk penyuntingan dan sebagainya. Jika penyuntingan advance, selalunya sebab ia dibantu oleh anak saya.
“Kebanyakan teknik menyunting video saya belajar sendiri sahaja. Saya cuba satu persatu teknik dan kebanyakan idea pula saya dapat secara spontan,” ujarnya.
Mengakui kadangkala letih menghasilkan video, namun katanya ia bukan masalah yang besar kerana ia dilakukan berbekalkan minat mendalam dalam bidang berkenaan.
“Tidak mudah menghasilkan sesebuah video transisi. Adakalanya memakan masa hampir empat hari untuk menyiapkan satu video.
“Penggambaran sahaja sudah ambil masa sampai setengah hari. Jika buat video tukar-tukar baju pula, sehari sebelum saya akan gosok dan sediakan baju-baju yang akan dipakai. Memang tidak mudah tapi seronok,” kongsinya.
Hasil penat lelahnya itu membolehkannya menikmati hasil memberangsangkan.
Daripada seorang suri rumah, Noor Suhaili kini mampu menjana pendapatan memuaskan serta turut dipilih menjadi duta jenama kosmetik tempatan.
Lebih membanggakan, dia kini mampu membuat simpanan dan membeli-belah dengan wangnya sendiri dengan hanya menggunakan platform media sosial.
‘Uncle Purple jadi pelengkap’
Noor Suhaili tidak menafikan, sokongan daripada suami turut menjadi pemangkin kejayaanya pada hari ini.
Suami, yang hanya ingin dikenali sebagai Uncle Purple tidak pernah sekali pun menyekat keinginannya untuk melakukan perkara yang diminati.
“Kami menjalani perhubungan jarak jauh (PJJ) selama hampir 20 tahun kerana saya bekerja di Dubai.
“Jadi, pada pendapat saya eloklah isteri mengisi masa lapang dengan melakukan perkara disukainya kerana risau dia sunyi ketika kami berjauhan,” kata Uncle Purple kian menjadi perhatian, selepas kemunculannya sebagai Uncle Purple di Tiktok.