Baru-baru ini Mahkamah Sesyen menjatuhi seorang bapa denda RM10,000 dan perintah supaya menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam bermula Rabu lepas, lantaran cuai hingga menyebabkan bayinya yang berusia tiga bulan, maut.
Bayi malang itu dilaporkan jatuh terhempas dari buaian sewaktu bapanya solat, mengakibatkan patahnya paha. Selain mengalami sawan sebanyak dua kali, beberapa bulan selepas itu, sewaktu ingin membawa bayi itu ke klinik, kepalanya pula terkena bingkai kayu pintu sewaktu bapanya mendukungnya sambil berlari.
Insiden itu menyebabkan si kecil dimasukkan ke Pusat Penjagaan Intensif Pediatrik (PICU) dan disahkan mengalami patah tulang selangka kanan selain kesan gigitan pada pipi.
Tak dapat dibayangkan azab menimpa tubuh kecil sekecil itu. Termenung saya mengenangkan apakah garis perbezaan antara cuai dan penderaan? Lebih-lebih lagi kalau kedua-duanya itu boleh meragut nyawa insan tidak berdosa?
Tak lama selepas itu, tular gambar seorang lelaki berkongsi pengalaman mendaki bukit, sambil mendukung anaknya tanpa memakai sebarang alat keselamatan.
Apa yang ingin ditunjukkan? Nak tunjuk kehebatan diri atau kedangkalan? Memang mengundang kecamanlah. Kalau lelaki itu tiba-tiba pitam, bagaimana nasib si kecil?
Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika individu didapati bersalah.
Kadangkala hairan, betapa segelintir individu yang tidak ambil pusingpun mengenai keselamatan bayi dan kanak-kanak. Jaga anak pun kadang-kala sekadar tengok, tetapi tangan sibuk ‘main telefon’. Kalau sudah namanya ingin beraktiviti, persiapkanlah segala-galanya.
Tak kanlah nyawa orang lain hendak dijadikan konten demi meraih perhatian umum? Jangan ambil mudah.
Hukuman perlu dipraktikkan dan dikuatkuasakan lebih-lebih kalau sesuatu perkara itu menjadi viral di media sosial. Perlukah lagi laporan rasmi kalau sudah jelas depan mata dan dikongsi beribu orang?
Bercakap mengenai penjagaan anak ini, saya ingat lagi kalau orang dulu-dulu, didikan ke atas anak orang, barangkali sama dengan anak sendiri.
Kita tidak segan menegur kesilapan anak orang lain sebab ada rasa tanggungjawab dan peranan sebagai jiran tetangga.
Kadangkala kita pun takut buat sesuatu kesilapan atau perkara jahat seperti mencuri rambutan rumah jiran, sebab segan dan takut dimarahi.
Biasanya mak ayah kita akan tahu juga kesalahan kita lakukan sebab orang-orang kampung ini, sistem komunikasi mereka canggih. Tiada telefon pintar pun maklumat akan sampai ke telinga ibu bapa kita.
Agak sedih, melihatkan situasi hari ini, bila kita ‘takut’ menegur kesalahan anak orang lain.
Takut dimarahi ibu bapa anak berkenaan dan takut anak itu yang memberikan reaksi yang tidak kita senangi.
Sudah lebih enam dekad kita Merdeka, rupa-rupanya kita belum sepenuhnya bebas dengan pembangunan nilai ketamadunan dan keibu bapaan. Benarkah kita lebih banyak takut daripada berani?.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana Utusan Malaysia.